Keseluruhan projek yang dibahagikan kepada beberapa pakej menelan kos sekitar RM90 juta menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).
SADONG JAYA : Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohammad Yusoff berkata projek menaik taraf 30 sekolah daif di seluruh Sarawak siap selewat-lewatnya akhir 2017.
Khair semasa melawat dan meninjau SK Haji Bujang Rawangan Putin berkata, keseluruhan projek yang dibahagikan kepada beberapa pakej menelan kos sekitar RM90 juta menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).
SK Haji Rawangan Putin siap dalam tempoh 19 hari menggunakan produk konkrit IBS sepenuhnya menelan kos sekitar RM1.5 juta.
Dikenal pasti terdapat 183 sekolah daif yang mendesak di Sarawak untuk dibaik pulih dan dipertingkatkan prasarananya demi kesejahteraan guru dan pelajar.
Terdapat beberapa sekolah diganti dengan bangunan baru yang menggunakan teknologi IBS, sementara yang lain masih diperbaiki mengikut pembinaan biasa.
Kini, penubuhan kementerian baharu dalam barisan kabinet negeri menjadikan Sarawak lebih fokus terhadap isu pendidikan di negeri ini.
Pada rombakan kabinet awal Mei lepas, portfolio pelajaran diletakkan di bawah Kerajaan Negeri dengan Datuk Sri Michael Manyin menggalas jawatan sebagai Menteri Pelajaran, Sains dan Teknologi Penyelidikan.
Selain isu membaik pulih sekokah daif, kerajaan juga sedang memberi fokus kepada isu penggabungan beberapa Sekolah Kurang Murid (SKM).
SKM ditangani demi kebaikan kebajikan pelajar, guru dan ibu bapa, mengelak berlaku keciciran dan urid terabai selain menjimatkan sumber tenaga.