KERANA CINTA, LELAKI BAKAR DIRI DI RUMAH KEKASIH DI SIMUNJAN


SIMUNJAN: Dek gelora cinta, seorang lelaki berusia 24 tahun bertindak nekad membakar diri, dengan bahan bakar petrol motosikalnya sendiri di Kampung Sageng, di sini pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, cubaan lelaki tersebut bagaimanapun terhalang oleh tindakan segera penduduk kampung memadam api yang dicetusnya.

“Pihak kita dimaklumkan tentang insiden itu sekitar jam 9.24 pagi daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Simunjan dan Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan segera memberi respons dengan mengatur gerak sebuah jentera LFRT dan sebuah kenderaan Pajero Mitsubishi dengan kekuatan 10 anggota ke lokasi.

Kata Ling Hii, berdasarkan maklumat awal, lelaki terbabit telah bertindak membakar diri di dalam rumah keluarga kekasihnya di Kampung Sageng atas alasan yang tidak dapat dikenal pasti.

“Bagaimanapun, penduduk kampung yang melihat kejadian tersebut segera bertindak memadamkan api yang membakar mangsa menggunakan air.

Selepas diselamatkan, mangsa bertindak menunggang motosikal kembali ke rumahnya di Kampung Lot.

“Pemeriksaan anggota kita mendapati mangsa kemudian mengalami lecur sebanyak 30 peratus akibat kebakaran itu dan telah diserahkan kepada pihak paramedik Hospital Simunjan untuk tindakan selanjutnya.

Tinjauan di rumah kekasihnya di Kampung Sageng pula kata Ling Hii, mendapati api hanya membakar lantai rumah tersebut.

Sumber : sarawakvoice.com