Perlu basuh dahulu atau tidak telur ayam sebelum disimpan? Atau perlu basuh hanya ketika mahu menggunakannya sahaja? Ini adalah antara beberapa persoalan yang sering berada dalam fikiran kita. Mana tidaknya, ada orang yang cakap kalau mahu telur tidak cepat rosak, ada dinasihatkan tidak membasuh telur tersebut. Jadi, untuk merungkai kepada persoalan ini jom kita baca perkongsian dari pakar.
JAWAPAN PAKAR
“Doktor, betul ke kalau nak telur tak cepat rosak, jangan cuci telur tu?”
Macam-macam pendapat, ada yang kata basuh dulu sebelum simpan sebab nak elak pencemaran dari tahi ayam. Ada pula yang kata jangan basuh dulu sebab nanti telur cepat rosak. Mana yang betul? Jom lihat penjelasan pada kedua-dua pendapat ini.
1. JANGAN BASUH SEBELUM SIMPAN
Kalau kalian nak tahu, semasa proses bertelur ayam keluarkan sejenis cecair dikenali sebagai egg bloom atau cuticle. Ianya umpama protective layer yang melitupi liang-liang di seluruh permukaan telur untuk elak kemasukan kuman ke dalam telur selain bantu kekal kelembapan dengan cara mencegah air dari meruap keluar dari kulit telur.
Jika basuh sebelum disimpan protective layer ni akan menipis / hilang. Inilah asas kepada pendapat yang tak galakkan telur dibasuh sebelum disimpan. Tapi… kalau ada najis pada kulit telur, takkan nak simpan terus? Kotor dan berkuman, kan?
2.BASUH SEBELUM SIMPAN
Najis dan kulit telur boleh tercemar dengan kuman seperti Salmonella, dan ia boleh berpindah kepada makanan lain yang disimpan dalam peti sejuk. Walaupun peti sejuk berada suhu yang rendah (4°C ke bawah) yakni bebas dari zon suhu bahaya (5°C-63°C), kita tetap perlu beringat!
Pada suhu itu, kuman tidak mati. Mereka hanya dorman(kurang aktif). Maka, kerosakan pada telur boleh berlaku walaupun pada kadar yang rendah. Jadi perlu basuh buang najis pada kulit telur agar bersih dan tiada kontaminasi silang. Kalau simpan diluar pula, telur lagi akan cepat rosak.
3. AMALAN MANA YANG BETUL?
Tak usah gaduh-gaduh. Dua-dua betul dan boleh diamalkan. Kita ambil sikap diplomatik dan dasar terbuka. Kahkahkah macam politik pulak! Kalau ada tahi yang jelas kelihatan, basuhlah telur-telur yang tercemar itu terlebih dahulu. Kita pun tak mahu peti sejuk kita dicemari kuman.
Tak perlulah sental kuat-kuat kulit telur tu sampai hilang semua protective layer-nya. Sekadar hilangkan najis. Kemudian simpan dalam bekas bertutup. Bila nak memasak nanti, beri keutamaan pada telur yang telah dibasuh dahulu kerana ia lebih berpotensi dimasuki kuman dan rosak.
Telur yang tidak dibasuh sebelum simpan, hendaklah dibasuh sebelum digunakan. Nak sental sampai berkilat pun tak apa, asalkan tak guna wax kereta suami kalian. Hehe. Oh ya! Pastikan masak telur dengan sempurna untuk elakkan keracunan.
Semoga bermanfaat!