MIRI: Kementerian Kerja Raya (KKR) yakin projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak dapat disiapkan mengikut jadual, dalam tempoh tiga tahun lagi.
Menterinya, Baru Bian berkata, keyakinan itu berdasarkan tinjauannya yang mendapati pelaksanaan projek itu berjalan lancar termasuk pakej pertama menghubungkan Sematan ke Telok Melano sepanjang 33 Kilometer dijangka siap hujung tahun ini.
Beliau berkata, walaupun berlaku sedikit kelewatan di beberapa kawasan dari Telok Melano ke Miri, beliau yakin ia diatasi oleh Rakan Penyampai Projek (PDP), Lebuhraya Borneo Utara (LBU) Sdn Bhd.
“Hasil tinjauan sepanjang laluan projek itu, diakui memang ada berlaku sedikit kelewatan dengan dengan bulatan bertingkat di Serian mengalami kelewatan kira-kira enam peratus manakala di beberapa tempat lain di belakang jadual antara satu hingga dua peratus sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penutupan program FT Roadpedia anjuran Kementeriannya di sini, malam tadi
Program tiga hari itu yang disertai kira-kira 100 pengurusan kanan KKR dan LBU meninjau keseluruhan projek dari Kampung Telok Melano, penempatan penduduk yang terakhir di sebelah barat Sarawak ke Miri di utara negeri ini sejak Sabtu lalu.
Projek Lebuhraya Pan Borneo yang masih dalam pembinaan. - Foto ihsan LBU
Turut serta dalam tinjauan selama tiga hari bermula Sabtu lalu itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob dan timbalannya, Datuk Abdul Razak Jaafar; Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid danSetiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Industri dan Perdagangan Sarawak, Datuk Safri Zainuddin.
Rombongan terbabit memulakan tinjauan untuk melihat lebih dekat pembinaan laluan bertingkat di Batu 5 dan Batu 6, Jalan Kuching-Serian, Sabtu lalu sebelum meneruskan perjalanan ke Bau dan Sematan.
Mereka kemudiannya meninjau projek Sematan-Telok Melano yang kini sudah lebih 80 peratus siap dan dijangka dibuka secara rasmi kepada laluan kenderaan awam, Januari depan.
Pada Ahad, rombongan itu meneruskan perjalanan ke wilayah tengah Sarawak untuk meninjau perkembangan projek antaranya bulatan di Serian serta projek melebarkan Jambatan Durin di Sibu.
Rombongan itu kemudiannya meninjau laluan Sibu ke Miri dan mendapatkan gambaran lebih jelas perkembangan projek melebarkan Jambatan Tatau serta projek di persimpangan Nyabau ke Bakun di Bintulu.
Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786 Kilometer dilaksanakan dalam 11 pakej dengan lebih 100 jambatan dibina sepanjang laluan berkenaan. - Berita Harian
No comments:
Post a Comment