TENTERA 'TAWAN' JAKARTA


JAKARTA: Puluhan ribu tentera dikerah ke Jakarta, semalam, menjelang tarikh akhir pencabar presiden memfailkan aduan rasmi di Mahkamah Perlembagaan mencabar keputusan Joko Widodo (Jokowi) memenangi pilihan raya presiden.

AFP melaporkan, Prabowo Subianto mempunyai masa sehingga esok untuk memfailkan aduan itu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Khamis lalu, mengumumkan Jokowi memenangi pilihan raya dengan meraih lebih 85 juta daripada 154 undi, mengatasi Prabowo dengan kelebihan 10 peratus.

Prabowo, 67, mendakwa berlaku penipuan undi besar-besaran dalam pilihan raya 17 April lalu.

Dalam rusuhan malam kelmarin, perusuh memecahkan konkrit pejalan kaki, merosakkan papan tanda jalan raya dan membakar gerai serta melempar batu serta mercun ke arah polis.

Jumlah perusuh pada sebelah malam bagaimanapun berkurangan dan polis membalas dengan tembakan gas pemedih mata.

Sekurang-kurangnya enam orang, termasuk seorang pelajar berusia 17 tahun terbunuh manakala ratusan lagi cedera dalam rusuhan antara penyokong Prabowo sejak kelmarin.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan berkata, enam kematian itu berlaku ketika rusuhan pertama pada sebelah siang, kelmarin, yang tertumpu di kawasan Tanah Abang.

Menurut pihak berkuasa, mangsa terbunuh akibat tembakan atau pukulan objek tumpul namun polis menafikan melepaskan tembakan ke arah perusuh.

Jalan raya sekitar Jakarta kembali tenang semalam, dengan kehadiran tentera yang ramai itu namun bangunan penting, termasuk ibu pejabat KPU serta istana presiden dikawal ketat.

Hampir 60,000 anggota keselamatan, sebahagian besarnya tentera dikerah ke Jakarta, hampir sekali ganda berbanding dua hari lalu selepas Jokowi menegaskan kerajaan tidak lagi akan bertolak ansur terhadap rusuhan.

Pihak berkuasa mendakwa rusuhan itu dicetuskan dalang dari luar Jakarta yang mengapi-apikan perusuh.

“Kita sudah menahan lebih 300 suspek dan mereka sedang disoal siasat,” kata Jurucakap polis, Muhamad Iqbal.

Reuters melaporkan, sebahagian besar perusuh datang dari luar Jakarta dan polis menemui sampul berisi wang daripada mereka yang diperiksa,

“Ini bukan rusuhan spontan, ia perhimpunan dan rusuhan yang dirancang. Ada bukti perusuh dibayar untuk melakukan kekacauan,” katanya.

Ketika sidang media semalam, polis menunjukkan bom petrol, panah buatan sendiri dan beberapa senjata lain serta sampul berisi wang. Malah, polis turut merampas dua raifal dengan peredam bunyi serta dua pistol.

Sumber : MyMetro

No comments:

Post a Comment