JALAN menghubungkan Bintulu-Sibu terputus setelah ditenggelami air banjir petang tadi.
- Foto ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat
SIBU : Banjir yang melanda Sarawak sejak menenggelamkan beberapa laluan utama, termasuk Jalan Persekutuan menghubungkan wilayah selatan ke utara negeri ini.
Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pihaknya memantau rapi situasi banjir di negeri ini, dengan ada di antara laluan terjejas turut membabitkan jajaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.
"Kita menasihatkan semua pengguna jalanraya agar lebih berhati-hati ketika melalui lokasi banjir ini, dan perlu sentiasa peka terhadap papan tanda amaran penunjuk arah sebagai langkah keselamatan.
"Malah, pengguna lalulintas juga dinasihatkan menggunakan laluan alternatif berhampiran kawasan masing-masing bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pihak kontraktor dan pasukan pengurusan trafik sentiasa diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan, malah bersedia membuka semula laluan terjejas selepas banjir surut.
Sementara itu, laluan menghubungkan Sibu - Bintulu berhampiran Sungai Arip, di sini ditenggelami banjir sedalam 1.2 meter lewat petang tadi berikutan hujan lebat yang berterusan sejak pagi.
Malah, laluan berkenaan ditutup kepada semua lalu lintas atas faktor keselamatan, termasuk arus banjir yang deras.
Ketua Zon 4 Bomba dan Penyelamat Sarawak, Misran Bisara ketika dihubungi sebentar tadi memaklumkan keadaan itu menyebabkan laluan darat menghubungkan Sibu dan Bintulu terjejas.
"Zon 4 Bomba dan Penyelamat Sarawak kinisedang berusaha memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir.
"Malah, semua pegawai dan anggota dikerahkan bertugas 24 jam bagi memantau keadaan, selain membantu mangsa banjir menggunakan semua aset dimiliki ke kawasan selamat," katanya. - Berita Harian
No comments:
Post a Comment