KUCHING: Pakatan Harapan (PH) Sarawak memberi jaminan projek Lebuhraya Pan Borneo tidak akan terjejas walaupun Kerajaan Persekutuan sudah bertukar.
Pengerusinya, Chong Chieng Jen, berkata ramai penduduk negeri ini bimbang projek bernilai berbilion ringgit akan dihentikan jika kerajaan bertukar.
"Saya tahu ramai tertanya-tanya sama ada projek itu akan dihentikan. Jadi, saya memberi jaminan ia akan diteruskan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Chieng Jen berkata, proses audit membabitkan kontraktor utama dan subkontraktor akan dijalankan.
"Kami akan mengkaji proses pelantikan kontraktor dan proses tender kontrak. Kami mahu memastikan mereka yang melakukan kerja dibayar dengan harga kontrak dan tidak mahu wang masuk ke dalam poket peribadi kroni," katanya sambil mengharapkan projek mega itu dapat disiapkan mengikut jadual.
Ahli Parlimen Stampin itu berkata, pihaknya dimaklumkan berlaku kelewatan projek itu disebabkan kelewatan pembayaran kepada subkontraktor.
"Kami akan cuba menyelesaikan masalah itu dan mempercepatkan projek apabila Kabinet Persekutuan dibentuk sepenuhnya," katanya.
Apabila ditanya sama ada bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan abangnya, Tan Sri Bustari Yusof disiasat berhubung kelewatan pembayaran kepada subkontraktor, Chieng Jen berkata, beliau tidak dapat mengesahkannya.
"Saya fikir kita perlu menyemak dengan Suruhanjaya Pencegarah Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum saya boleh membuat sebarang pengesahan," katanya.
Bustari adalah pemilik Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd yang melaksanakan projek pembinaan lebuh raya bernilai RM27 bilion. - Berita Harian
No comments:
Post a Comment