AMARAN TERAKHIR KEPADA KONTRAKTOR PAN BORNEO


KUCHING: Kementerian Kerja Raya memberi amaran terakhir kepada kontraktor terbabit dalam pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang gagal memenuhi syarat kontrak mereka.

Amaran itu dikeluarkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof terhadap kontraktor yang gagal mematuhi terma serta gagal menjalankan tugas mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Kementerian tidak teragak-agak untuk memotong pembayaran kontrak mereka, yang akan digunakan oleh Rakan Penyampaian Projek atau PDP (Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd) melantik pihak ketiga dan menyelesaikan tugas itu dengan sewajarnya.

"Bagaimanapun, tindakan itu hanya akan diambil terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan langkah keselamatan selepas mereka diberi peluang sebelum ini," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama kontraktor projek Lebuh Raya Pan Borneo di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, yang mendakwa ada kontraktor terbabit dalam projek itu yang mengabaikan aspek keselamatan pengguna jalan raya.

Fadillah berkata, tindakan itu bukan satu proses mencari kesalahan tetapi ia lebih kepada penyelesaian baik untuk memastikan projek itu siap mengikut jadual, selain memastikan keselamatan pengguna jalan raya ketika pembinaan lebuh raya berkenaan.

Mengenai perkara yang berkaitan, Fadillah berkata, beberapa kes kemalangan yang dilaporkan berlaku di kawasan terbabit dalam pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak adalah kerana kecuaian pengguna jalan raya.

"Berdasarkan laporan polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, semua kes kemalangan itu adalah disebabkan oleh kecuaian pemandu dan bukan kerana pembinaan lebuh raya itu," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment