KONTRAKTOR PAN BORNEO PERLU PIKUL TANGGUNGJAWAB


BINTULU: Kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo, khususnya membabitkan jajaran menghubungkan Selangau dan Bintulu digesa agar membaiki segera kerosakan laluan berkenaan atas faktor keselamatan pengguna lalu lintas di kawasan terbabit.

Tinjauan BH semalam mendapati laluan itu mengalami kerosakan teruk, termasuk berlubang disebabkan pergerakan keluar masuk kenderaan berat di kawasan itu, yang dikhuatiri boleh menyebabkan kemalangan jika tidak dibaiki segera.

Menurut Farisson Fong, 55, beliau cukup resah setiap kali berulang alik antara Bintulu dan Sibu menggunakan laluan berkenaan, terutama ketika melakukan pemanduan pada waktu malam.

"Bila malam, memang sukar melihat lokasi jalan yang berlubang kerana keadaan agak gelap. Ini tentunya mendatangkan bahaya, termasuk risiko tayar pancit atau kenderaan terbabas semata-mata mahu mengelak lubang," katanya.

Malah, pernah tayar kenderaan dipandunya pancit selepas terperosok ke dalam lubang yang agak dalam di laluan berkenaan berhampiran kawasan Sungai Arip.

Bagi penduduk setempat, Rubin Belaja, 50, meminta kontraktor dilantik bagi melaksanakan projek mega itu agar lebih bertanggungjawab, terutama dalam memastikan keselamatan orang ramai yang menggunakan laluan berkenaan.

"Laluan itu satu-satunya jalan penghubung di kawasan ini. Sementara menunggu projek siap, kontraktor perlu memastikan mereka menyelenggara laluan sedia ada dengan baik demi keselamatan dan kemudahan orang ramai.

"Cukup kita bimbang kerana terdapat banyak lubang besar serta jalan pecah yang amat berbahaya, terutama pada waktu malam atau selepas hujan. Bila hujan, susah kita mahu kenal pasti kedudukan lubang itu kerana ditenggelami air," katanya.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan memantau pergerakan jentera berat, termasuk lori pengangkut bahan binaan agar menggunakan laluan berkenaan secara berhemah dan mengikut peraturan lalu lintas bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.

"Selain kawasan berhampiran Jambatan Mukah/Selangau, laluan lain yang mengalami kerosakan teruk ialah berhampiran Jambatan Balingian/Tepus dan Sungai Selabi, Sungai Kemena, Sungai Aping Balingian, Sungai Arip dan Sungai Buluh," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment