AKSESORI KESELAMATAN PROJEK PAN BORNEO SASARAN PENCURI


KUCHING: Kecurian aksesori amaran keselamatan yang diletakkan oleh kontraktor projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo negeri ini, menjadi antara punca kurangnya aspek keselamatan di laluan berkenaan yang turut dikhuatiri mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Davina Agnes Enteli berkata, berdasarkan aduan oleh kontraktor, masalah kecurian itu berlaku di beberapa lokasi sepanjang projek mega itu.

Beliau berkata, aksesori yang menjadi sasaran utama pencuri adalah lampu berkelip, penghadang plastik dan papan tanda yang dibuat daripada aluminium atau besi.

"Aksesori amaran dan peringatan yang diletakkan untuk keselamatan pemandu kenderaan di sesetengah laluan Pan Borneo yang sedang dibina sering dicuri, dan setiap kali diganti, ada sahaja yang kena kebas," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Davina berkata, antara lokasi projek yang berhadapan masalah itu adalah di laluan Batu 11 hingga Batu 15, Jalan Kuching-Serian.

Katanya, laluan itu menerima banyak aduan daripada pengguna jalan raya berhubung aspek keselamatan yang kurang memuaskan, terutama pada waktu malam.

"Banyak aduan diterima mengenai projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di laluan ini, mungkin kerana ia di laluan trafik yang aktif.

"Namun, masalah kecurian aksesori amaran dan peringatan turut menjadi punca kepada masalah ini dan bukannya kontraktor semata-mata," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan kontraktor yang melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo, khususnya di laluan trafik yang aktif supaya sentiasa mematuhi Pelan Pengurusan Trafik, untuk memastikan tidak berlaku masalah, terutama dari aspek keselamatan kepada orang ramai.

Selain itu, Davina berkata aduan lain yang sering didengar adalah mengenai terhadap kawalan lalu lintas atau 'flag man' yang tidak mahir.

"Mereka (flag man) sudah diberi latihan oleh polis mengenai cara mengawal lalu lintas, namun agak sukar juga untuk melaksanakan kawalan dengan sempurna, terutama di laluan pembinaan berisiko tinggi," katanya.

No comments:

Post a Comment