Bermula di waktu pagi, kita sudah bangkit dan melakukan aktiviti harian kita. Bersolat, mandi, makan dan bekerja menjadi satu amalan tetap.
Pagi ke petang. Petang ke malam. Malam pula kembali ke waktu pagi. Sistem yang sama dan terus bergerak.
Semua inginkan hidup yang teratur dan tidak mahu terjejas. Kerja mahu bagus. Makan minum terjaga. Segala urusan ingin siap segera.
Senang cakap, tak mahu ada masalah. Hendak mudah sahaja.
Tetapi, itu hanya di fikiran kita. Kesenangan yang dimahu hanya sebentar dan diselang seli dengan secebis kesusahan.
Jika tiada masalah dalam bentuk besar, ada kesusahan dari sudut yang ringan dan kecil.
Tayar pancit, hilang fail penting, ada kecurian dan pelbagai lagi. Memang tidak dijangka. Munculnya tidak dirancang tetapi ia tetap datang.
Kenapa hidup selalu diuji sebegitu?
"Ada mengeluh. Ada yang menangis.
Kadang berhari-hari mengenangkan nasib
yang disebut ‘malang tidak berbau"
Memang tidak berbau kerana munculnya tanpa petanda kepada kita.
Inilah hakikat sebuah kehidupan di dunia. Kita tahu bukan? Dunia sifatnya sementara. Segala isinya akan hilang dan pergi.
Bila? Hanya Allah swt yang tahu.
Yang sementara jangan diharapkan semuanya berjalan sempurna. Kerana dunia bukannya syurga.
Jika syurga pun, ia tetap disebut ‘syurga dunia’. Tidak hanya satu kata. Ia dua kata.
Ya, memang syurga tetapi berakhir dengan perkataan dunia. Dunia ada awal dan akhirnya. Ada manis ada pahit.
Seperti yang disebut di dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.” (Surah Ghafir ayat 39)
Bersabarlah menghadapi ujian Allah di dunia. Ia bersifat sementara sahaja. Paling lama 50, 60, atau 80 sahaja tempoh umur kita.
Jika lebih, anggaplah itu peluang Allah mahu kita perbanyakkan ibadah dan beramal soleh.
Maka, tidak dapat tidak kita harus hidup dalam keadaan diuji. Dan dunia tempat ujian. Kehidupan ini pun ujian.
Jadi, hikmah ujian ada kebahagiaan di sebaliknya. Kita menjadi semakin dekat dengan Allah SWT.
Doa dimohon, sujud di sejadah semakin lama dan khusyuk. Air mata yang dahulu jarang mengalir, kini mudah bercucuran membasahi pipi.
Jadikanlah ujian ini sebagai pengalaman hidup. Pengalaman yang mematangkan diri.
Biar hati kental mengharungi
cabaran dunia agar diri tidak cepat rebah
dan tersungkur ke tanah.
Pengalamanlah yang membuatkan hidup kita menjadi tidak beku dan sepi. Mustahil hidup tidak pernah dilambung ombak.
Bahkan, filem dan drama tanpa ada konflik pun terasa bosan dan tidak menarik. Pasti ada konflik yang dimasukkan untuk menjadi sesuatu cerita itu lebih gah dan diminati ramai penonton.
Begitulah juga hidup kita. Apa guna mahu hidup di dunia senang, jika syurga tidak jauh bezanya.
Dibanding ujian hidup dengan nikmat syurga, sungguh bandingannya ibarat langit dan bumi.
Semoga kita tidak kalah. Bangkit dan teruskan melangkah.
Wallahua’alam.