KOS PROJEK LEBUHRAYA PAN BORNEO DIKAJI SEMULA


SIBU: Kementerian Kerja Raya akan mengumumkan kos pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang dikaji semula sebaik perbincangan dengan syarikat pengendali projek berkenaan, Lebuhraya Borneo Utara (LBU), selesai.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata sebelum ini pihak LBU mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kewangan bagi membincangkan perkara itu dan diberikan tempoh dua minggu untuk mengemukakan keputusan pihak syarikat berkenaan.

“Saya difahamkan tempoh dua minggu itu sudah berakhir dan pihak syarikat diberikan kebebasan untuk mencari jalan bagaimana kos pembinaan lebuh raya ini dapat diturunkan.

“Perjanjian dan kontrak sudah ditandatangani dan diserahkan kepada LBU. Kini ia adalah hak syarikat berkenaan untuk menawarkan kepada kerajaan kos baharu pembinaan lebuh raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Dewan Suarah Sibu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Baru berkata, pihaknya akan mengumumkan keputusan perbincangan itu selepas mencapai persetujuan antara kerajaan dengan semua pihak berkepentingan.

“Kita berharap mereka mengambil langkah bertolak ansur dan memahami keadaan kewangan negara yang agak ketat sekarang,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan jalan raya di negeri ini yang dikatakan dalam keadaan yang kurang baik kerana faktor tanah gambut, Baru berkata, masalah itu dapat diatasi dengan penggunaan teknologi pembinaan yang ada sekarang.

“Apa yang lebih penting adalah kontraktor yang dilantik perlu melaksanakan kerja mereka dengan penuh dedikasi dan baik,” katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment