PROJEK LEBUHRAYA PAN BORNEO DIPANTAI - BARU BIAN

MENTERI Kerja Raya Baru Bian (tengah). - Foto BERNAMA

SIBU: Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, beliau secara peribadi akan memantau projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan.

Beliau berkata, itu adalah komitmennya untuk memastikan projek mega meliputi Sarawak dan Sabah itu dilaksanakan dengan jayanya dan mengikut jadual.

"Buat permulaan, saya merancang untuk melakukan lawatan ke tapak-tapak pembinaan dari Telok Melano (Lundu), Kuching ke Miri di bahagian Sarawak bersama-sama dengan pegawai kementerian bagi fasa pertama pembinaan.

"Kemudian kami akan melakukan lawatan ke bahagian di Sabah bermula dari Limbang (Sarawak). Jadualnya sedang diaturkan," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi selepas merasmikan sambutan Hari Guru Daerah Selangau.

Lebuhraya sepanjang 2,325-kilometer itu membabitkan kos kira-kira RM29 bilion dijadual siap pada 2021. Kos itu bagaimanapun sedang disemak semula.

Sementara itu, Baru berkata kedudukannya sebagai Menteri Kerja Raya telah meningkatkan, pengetahuannya terutamanya tentang sistem rangkaian jalan raya dan bangunan-bangunan kerajaan di seluruh negara.

"Tetapi bagi Sarawak, ia masih ketinggalan. Adalah menjadi agenda kerajaan baharu PH di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membaikinya di sebalik kekangan kewangan," katanya.

Menurutnya, kerajaan PH fokus pada pendekatan holistik, bebas amalan rasuah dan salah guna kedudukan bagi semua projek yang akan dilaksanakan secara pengurusan telus menerusi tender terbuka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment