180 KES POSITIF COVID19 DI SARAWAK

Kes positif COVID-19 baharu di Sarawak terus meningkat hari ini iaitu sebanyak 180 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 1,920 setakat ini. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata Sibu merekodkan kes tertinggi 150 kes dengan 148 kes melibatkan Kluster Pasai manakala dua kes lain-lain saringan. 

Miri katanya merekodkan sembilan kes dengan lima daripadanya melibatkan Kluster Jelita, dua kes dari Kluster Bah Sayap, satu kes balik dari Sabah dan satu lagi kes disaring melalui pengesanan kes secara aktif di premis makanan. 

Lain-lain kes direkodkan di Bintulu (4), Kuching (4), Dalat (3), Simunjan (2), Sebauh (2), Limbang, Samarahan, Tebedu, Betong, Sarikei dan Lubok Antu masing-masing satu kes. 

JPBNS turut memaklumkan Daerah Sarikei dan Lubok Antu telah bertukar status  dari Hijau kepada Kuning setelah satu kes baharu dikesan melibatkan jangkitan tempatan. 

Daerah Kuching, Sibu dan Miri kekal berstatus Merah manakala Daerah Sebauh berstatus Jingga. 

Daerah Beluru, Dalat, Selangau, Samarahan, Sri Aman, Bukit Mabong, Meradong, Bintulu dan Limbang kekal berstatus Kuning manakala lain-lain daerah Hijau. 

"Terdapat sembilan kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini iaitu dari Hospital Miri (6) dan Hospital Umum Sarawak (3). 

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj meningkat kepada 1,131 orang,” katanya. 

Manakala jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah seramai 768 orang. 

“Hari ini juga terdapat dua kes COVID-19 yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu di Hospital Miri. Kes dalam keadaan stabil. 

Mengenai kes orang disyaki (PUI) pula, hari ini sebanyak 279 PUI baru dilaporkan dengan 83 PUI masih menunggu keputusan ujian makmal. 

Manakala seramai 368 individu di bawah pengawasan (PUS) mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin. 

No comments:

Post a Comment