SAR MANGSA SERANGAN BUAYA DIHENTIKAN

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Azyan Azhar,29, yang dilaporkan hilang dibaham buaya di sungai Kampung Meranek ditamatkan susulan penemuan sebahagian daripada mayat dipercayai milik mangsa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mayat iaitu sebahagian penuh paha hingga pergelangan kaki kanan itu ditemui kira-kira 7.5 kilometer (km) dari lokasi mangsa diserang.

"Pencarian yang memasuki hari ketiga hari ini ditingkatkan kepada radius 15km di hulu dan hilir kawasan tempat kejadian dan tempat pakaian mangsa dijumpai.

"Pada jam 12.05, pasukan SAR berjaya menjumpa sebahagian penuh paha hingga pergelangan kaki kanan di muara Sungai Samarahan iaitu 15km dari Pusat Kawalan Bomba dan 7.5km dari lokasi mangsa diserang buaya.

"SAR ditamatkan pada jam 1.45 petang selepas pihak keluarga mangsa mengambil keputusan menyakini bahawa penemuan tersebut adalah milik anaknya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebahagian mayat mangsa yang ditemui itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Hadir sama di lokasi kejadian ialah Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Idris Buang.

Mangsa pada 12 Januari lalu bersama bapanya telah pergi ke Sungai Meranek untuk menarik pukat udang pada jam 3.45 pagi.

Dalam kejadian tersebut mangsa dikatakan disambar buaya dan terus hilang ke dalam sungai.

LapOran berhubung kejadian telah dibuat oleh keluarga mangsa dan operasi SAR terus dilancarkan selepas itu.

No comments:

Post a Comment