JAJARAN BAHARU JIMATKAN MASA, KOS PEMBINAAN


KUCHING: Pembangunan Sarawak, khususnya di pedalaman dan luar bandar di wilayah utara negeri ini mampu terus diperkasakan menerusi pembinaan jajaran baharu Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing, berkata keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya projek itu diteruskan tanpa perlu merentasi negara jiran seperti rancangan asal, sangat praktikal.

Bagi Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak, keputusan itu mampu memberi banyak manfaat kepada masyarakat pedalaman dan luar bandar di negeri ini kerana membuka akses perhubungan ke kawasan berkenaan.

“Kita melihat potensi jajaran baharu ini bermula dari Marudi terus ke Long Terawan, Baram, seterusnya disambungkan ke Taman Negara Mulu.

“Dari situ, jajaran diteruskan ke Sungai Hulu Limbang dan Sungai Hulu Trusan sebelum memasuki Lawas serta disambungkan ke jajaran di Sabah.

“Ini tentunya membuka akses perhubungan ke kawasan terpencil di wilayah utara Sarawak yang selama ini sukar untuk kita sampai ke sana, khususnya di bahagian atas Limbang dan Lawas,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini semalam.

Kelmarin, Dr Mahathir selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan memaklumkan keputusan meneruskan projek lebuh raya itu tanpa merentasi Brunei sebagai langkah penjimatan kos pembinaannya, selain kekangan isu imigresen.

Sekiranya cadangan asal itu diteruskan, ia bukan sahaja mendatangkan beban kewangan kepada kerajaan, malah pasport pengguna laluan itu perlu dicop sebanyak 16 kali untuk perjalanan ulang-alik dari Sarawak ke Sabah.

Masing ketika mengulas lanjut, berkata jajaran baharu sepanjang 250 kilometer itu membabitkan kos kira-kira RM3.5 bilion, jauh lebih rendah berbanding jajaran asal jika ia dibina merentasi Brunei.

“Ini tentunya memberi manfaat kepada penduduk di pedalaman dan luar bandar di sepanjang jajaran direntasi lebuh raya ini, seterusnya membantu memperkasakan sosioekonomi setempat,” katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment