TUN Dr Mahathir Mohamad ketika sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan di
Universiti Brunei Darussalam hari ini. - Foto BERNAMA
BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia dan Brunei secara dasarnya mencapai persetujuan bahawa Projek Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tidak akan dibina merentasi negara ini.
Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Sultan Hassanal Bolkiah yang berlangsung di Istana Nurul Iman, di sini hari ini sempena lawatan rasminya ke Brunei Darussalam.
Dr Mahathir berkata, persetujuan itu bersandarkan beberapa faktor berkaitan, khususnya kekangan kos, selain isu imigresen sekiranya lebuh raya itu dibina merentasi negara ini.
“Memang rancangannya kita meneruskan pembinaan lebuh raya ini kerana kepentingannya kepada Sabah dan Sarawak, namun tidak akan merentasi Brunei Darussalam seperti perancangan asalnya.
“Pendirian Malaysia berhubung perkara itu cukup difahami oleh Sultan Brunei selepas mengambil kira kekangan yang kita hadapi. Baginda tiada masalah jika ia mahu dibina merentasi negaranya, namun baginda memahami kesukaran kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Istana Qashr Munee, di sini petang tadi sebelum mengakhiri lawatan kerja dua harinya ke Brunei.
Dr Mahathir ketika mengulas lanjut, berkata keputusan itu juga bagi memudahkan perjalanan, termasuk menjimatkan masa kerana tidak perlu melalui sekurang-kurangnya 12 kali pemeriksaan imigresen dari Sarawak ke Sabah merentasi Brunei.
Beliau berkata, malah pihak berkaitan sedang meneliti jajaran alternatif bagi pelaksanaan projek lebuh raya itu yang dinanti-nantikan sejak sekian lama oleh rakyat kedua-dua negeri berkenaan, selain mampu merangsang pembangunan serta sosio ekonomi Sabah dan Sarawak.
Ditanya sama ada kerajaan sedang meneliti mekanisme tertentu bagi menangani isu pemeriksaan imigresen berkenaan, Dr Mahathir menjelaskan sekiranya lebuh raya berkenaan dibina merentasi Brunei, peraturan imigresen negara itu perlu sentiasa dihormati.
“Atas sebab itu, kita mempertimbangkan hasrat membina jajaran alternatif bagi mengelak isu berkenaan,” katanya.
Sementara itu, beliau sedia maklum mengenai kelewatan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.
“Kita akan tetap melaksanakan projek ini, namun akan mengambil sedikit masa berikutan situasi kewangan dihadapi negara.
“Kita sedang meneliti isu kelewatan projek ini di Sabah kerana peruntukan dana sudah pun dikeluarkan. Kita mahu kenal pasti apa punca kelewatan itu,” katanya.
Dalam pertemuan sama juga, Dr Mahathir berkata, persetujuan turut dicapai berhubung kerjasama penerokaan dan carigali bersama Brunei di dua blok minyak yang diserahkan kepada negara itu ketika era kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.
“Kerjasama ini mampu memberi impak positif kepada prestasi PETRONAS, ” katanya tanpa menyatakan secara terperinci dua blok minyak berkenaan.
Dr Mahathir yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke negara ini turut diringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei Darussalam, Rafedah Abdul Aziz.
Ia lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke negara ini sebagai kunjungan balas terhadap Sultan Brunei ke atas beliau selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri, Mei lalu. - Berita Harian
No comments:
Post a Comment