Semua orang inginkan bentuk badan yang menarik. Kelihatan cantik, stylo dan up-to-date itulah perempuan namanya. Bersungguh-sungguh untuk menjaga pemakanan dan penampilan diri. Pelbagai produk dan supplement harus dicuba bagi mendapatkan bentuk badan yang diidamkan.
Kurus itu terlalu subjektif bagi aku. Sesetengah orang ingin kelihatan langsing disebabkan pelbagai faktor. Antaranya mahu kelihatan sentiasa cantik di mata suami.
Aku? Memang hobinya suka mencuba resepi yang baharu. Makan dan terus makan tanpa mengawal kuantiti dan kalori makanan yang diambil.
Akhirnya berat mencecah 120 kg. Ya Allah, tanpa aku sedari aku telah merosakkan diri sendiri. Tanpa usaha berubah untuk bersenam dan kawal kuantiti pemakanan. Bila sudah sakit, baru tersedar dari lamunan.
Sekarang aku bangkit untuk mengubah pola pemakanan dan rajin bersenam. Sedaya upaya kawal pemakanan yang kadang kala tewas juga dengan nafsu makan.
Setiap hari selepas bangun tidur di awal pagi, aku setkan minda dengan perkara yang positif supaya aku kelihatan bertenaga dan sihat untuk lakukan kerja pada hari tersebut.
Tipulah jika tiada perasaan putus asa dalam diri. Ramai juga yang memerli. “Ala, dia kan diet. Tak makan semua ni. Tambah-tambah makanan manis ni” dan juga ada yang beri kata semangat “Ko nak jogging ke? Jom aku temankan. Baguslah kalau ko nak kurus. Kurus untuk senang beribadah. Aku support ko dari belakang.”
Alhamdulillah.. Kata-kata semangat yang positif atau negatif, aku ambil sebagai peransang untuk lebih istiqamah dan positif. Amat berterima kasih kerana ramai yang menyokong walaupun ada juga yang sebaliknya.
Hari demi hari yang penuh berliku, aku lalui dengan cekal dan tabah. Aku tidak putus berdoa dan usaha, selebihnya aku tawakal kepada Nya agar aku kuat semangat.
Kadang-kadang aku menangis bersendirian apabila perasaan sedih dan terasa bebanan kerana aku kurang yakin dengan diri sendiri disebabkan penampilan aku sebegini.
Hanya berbaki 7 hari nak jejak target aku yang ke-100 hari. Aku mula tekad pada 13 Julai 2018 dengan berat 118kg dan sekarang sudah turun sebanyak 8 kg.
Walaupun dengan sedikit penurunan, alhamdulillh aku bersyukur. Moga aku istiqamah untuk meneruskan misi untuk menurunkan berat agar aku senang untuk beribadah. In shaa Allah.
Tegurlah aku jika aku alpa..
Tegurlah aku jika aku lalai..
Tegurlah aku jika aku sombong dan lupa diri..
Tegurlah aku bila aku sudah mencapai berat ideal nanti jika aku memakai pakaian tidak patuh syariah dengan memakai pakaian yang ketat dan memakai tudung diparas dada.
Lindungilah aku Ya Allah daripada berbuat sedemikian. Jangan berhenti untuk tegur aku kerana aku amat memerlukannya bagi mengubah diri ke arah kebaikan.
Teguran yang positif ku ambil sebagai pembakar semangat aku untuk lebih positif dan berjiwa kental. Niat aku untuk kurus adalah bagi memudahkan serta senang untuk aku beribadah, bukan untuk cantik.
Hal demikian kerana apabila aku obesiti, pergerakan aku menjadi sukar dan terhad untuk bergerak. Moga aku terus istiqamah dan kuat semangat untuk mengharungi pelbagai onak dan duri kehidupan di masa hadapan.
Tegurlah aku kerana aku memerlukan teguran anda supaya aku tidak terus hanyut, lalai dan alpa daripada membuat khilaf kepada diri sendiri. Tegurlah aku ..