Showing posts with label Sukan. Show all posts
Showing posts with label Sukan. Show all posts

AFF SUZUKI CUP : MALAYSIA 3 - 1 LAOS


KUALA LUMPUR: Norshahrul Idlan Talaha sekali lagi menjadi penyelamat apabila meledak dua gol untuk Malaysia bangkit mengatasi Laos 3-1, dalam aksi kedua Kumpulan A Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Ia jaringan ketiga penyerang berpengalaman itu yang turut dikenali sebagai Mat Yo, selepas meledak gol tunggal menewaskan Kemboja 1-0, di Phnom Penh pada perlawanan pembukaan, Khamis lalu.

Selepas aksi pertama di Phnom Penh, Cheng Hoe melakukan sedikit perubahan dengan memasukkan Syafiq Ahmad bagi mengambil posisi tengah Syamer Kutty Abba.

Manakala Mohamadou Sumareh yang mengalami kecederaan digantikan dengan Syazwan Zainon di bahagian sayap.

Di atas kertas, Laos yang berada di ranking 181 dunia seharusnya menjadi ‘lubuk’ mata buat Malaysia (ranking ke-169), apatah lagi anak buah bekas jurulatih Singapura, V Sundram Moorthy itu tumpas 0-3 kepada Vietnam pada aksi pertama.

Namun, sebaliknya berlaku apabila Laos mengejutkan penyokong tuan rumah dengan gol pertama menerusi sepakan percuma Phithack Kongmathilath yang cukup deras menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di gawang pada minit ke-7.


Pemain Malaysia, Mohamad Zaquan Adha Abd Razak meraikan gol pertama pada Perlawanan Piala AFF Kumpulan A antara Malaysia menentang Laos yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila bola hantaran lintang Syahmi Safari dari sebelah kanan berjaya ditolak masuk kapten pasukan, Zaquan Adha Abd Radzak pada minit ke-14.

Laos kemudian lebih banyak bertahan dengan mereka hanya berkubu di kawasan sendiri dan cuba menekan Malaysia menerusi serangan balas pantas.

Skuad negara berpeluang untuk menambah jaringan, namun rembatan deras Safawi Rasid dalam kotak penalti sedikit tersasar pada minit ke-21.

Buntu dengan kedudukan itu, Cheng Hoe menggunakan kesemua pemain penyerang yang ada dengan memasukkan Akhyar Rashid, Shahrel Fikri Md Fauzi dan Ahmad Hazwan Bakri menggantikan Syazwan, Safawi dan Syafiq.  


Pemain Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha (tengah) diasak pemain Laos pada Perlawanan Piala AFF Kumpulan A antara Malaysia menentang Laos yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Skuad negara mengasak hebat kubu Laos dengan penjaga gol berusia 22 tahun, Outthilath Nammakhot seperti berjuang keseorangan menyelamatkan keadaan.

Sekurang-kurangnya tujuh peluang terbaik disia-siakan pemain negara termasuk tandukan Aidil Zafuan Abd Radzak yang terkena tiang gol, manakala bola tolakan Hazwan di depan pintu gol tersasar.

Bagaimanapun Mat Yo yang beraksi pada penampilan kelima dalam saingan Piala AFF sejak membantu negara menjulang trofi pada 2010 membuktikan bisanya dengan menyumbat gol pada minit ke-86 dan masa tambahan.

Kemenangan ini meletakkan Malaysia dalam kedudukan terbaik dalam misi memburu tempat ke separuh akhir, apabila akan bertemu Vietnam di Hanoi Jumaat ini dan Myanmar pada aksi terakhir di Bukit Jalil pada 24 November. - Berita Harian

AFF SUZUKI CUP : KEMBOJA 0 - 1 MALAYSIA


KUALA LUMPUR : Penyerang Norshahrul Idlan Talaha membuktikan dirinya masih berbisa apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan 1-0 ke atas Kemboja untuk membantu skuad Harimau Malaya membuka langkah kanan dalam kempen Piala AFF di Stadium Olimpik Phnom Penh sebentar tadi.

Kemenangan itu cukup penting buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam misi melepasi halangan Kumpulan A di mana mereka bakal berdepan Laos, Vietnam dan Myanmar selepas ini.

Ini pertemuan ketiga Malaysia dan Kemboja dalam saingan Piala AFF dengan skuad negara turun dengan rekod kemenangan 3-2 dalam dua perlawanan pada edisi 2000 dan 2016.

Cheng Hoe tiada masalah menurunkan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan diterajui kapten Zaquan Adha Abd Radzak, Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia Safawi Rasid dan pemain naturalisasi dari Gambia Mohamadou Sumareh.

Bagaimanapun, pemain yang mencuri tumpuan adalah penyerang berusia 32 tahun, Norshahrul atau Mat Yo yang meledak menerusi tandukan jarak dekat pada minit ke-30 selepas dia melepaskan peluang terbaik lapan minit sebelum itu.

Gol itu meredakan tekanan skuad negara selepas pasukan tuan rumah kendalian Felix Gonzalez lebih banyak menguasai bola bermain di atas padang tiruan namun hanya penyudah penyerang mereka Reung Bunheing dan Chan Vathanaka kurang tajam.

Malaysia, juara edisi 2010 sebenarnya boleh mendahului permainan lebih awal namun bola rembatan kaki kiri Safawi terkena tiang kanan gawang Kemboja ketika Um Vichet sudah tertewas di minit ke-26.

Bersambung babak kedua, permainan bertambah rancak dengan kedua-dua pasukan mengatur serangan untuk mendapatkan gol.

Selepas minit ke-70, Cheng Hoe kemudian memasukkan Shahrel Fikri dan Ahmad Hazwan Bakri dan mengeluarkan Zaquan dan Norshahrul bagi menguatkan jentera serangan.

Peluang terbaik skuad Harimau Malaya untuk menggandakan jaringan hadir pada minit ke-80 namun Sumareh yang melakukan larian di sebelah kanan gagal menewaskan Um Vichet serta percubaannya pada masa tambahan terkena tiang untuk kedudukan kekal 1-0.

Dengan format baharu tanpa tuan rumah, Malaysia akan kembali ke tanah air dari Phnom Penh untuk berdepan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Isnin ini, disusuli Vietnam di Hanoi (16 November) dan Myanmar di SNBJ (24 November). - Berita Harian

MAT REDHO JULANG NAMA MALAYSIA


Bekas juara Fear Factor Malaysia, Mohd Redha Rozlan mencipta sensasi di bumi Australia apabila menjuarai saingan Grand Final Liga Cabaran Ninja 2018 (NCL) selepas menewaskan 95 peserta lain, Isnin lepas (5 November 2018).

Dia yang lebih dikenali sebagai Mat Redho diangkat sebagai juara selepas mengungguli pentas akhir dengan melepasi semua halangan dalam tempoh 5 minit 13.09 saat (s).

MOHD Redha Rozlan (tengah) ungguli saingan Grand Final Liga Cabaran Ninja 2018.

Walaupun tidak diletakkan harapan tinggi selepas sekadar menduduki tempat kelapan pada peringkat kedua, pakar teknologi maklumat berusia 30 tahun itu jauh mengatasi pemenang tempat kedua Jake Murray dengan perbezaan masa 10s.

Malah, Mat Redho muncul satu-satunya peserta yang berjaya menghabiskan semua rintangan di pentas akhir sekali gus melayakkan dia memenangi anugerah 'Last Man Standing' ketika Murray gagal menghabiskannya.

"Saya berasa hebat dan terima kasih kepada halangan ini, ia amat menarik dan sudah pasti saya akan kembali ke sini pada tahun depan," kata Mat Redho.

Mat Redho hadir ke sana hanya ditemani isteri dan anaknya yang menjadi sumber kekuatan buatnya untuk mengatasi perasaan gemuruh.

Malah, pengorbanannya itu nyata berbaloi apatah lagi selepas membelanjakan wang sendiri untuk ke kejohanan berkenaan.

NCL menyediakan tiga peringkat yang berbeza dari segi tahap kesukaran, manakala peserta perlu melepasi semua peringkat sebelum layak ke final.

Antara rintangan yang perlu dilalui adalah lompat berhalangan, memanjat tali dan memanjat dinding.

Sumber : Berita Harian

SARAWAK REGATTA 2018


Sarawak Regatta 2018 berlangsung di Tebingan Kuching, Sarawak bermula 2 hingga 4 November 2018 dengan mempertandingkan 14 kategori yang melibatkan 24 perlumbaan dan 12 pusingan akhir.
Regatta Sarawak 2018 menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM240,000. Acara tahunan ini disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta dan peserta dari Indonesia dan Brunei.

Sudah semestinya, gelaran Raja Sungai menjadi rebutan semua pasukan yang menawarkan hadiah wangtunai sebanyak RM10,000.

Acara Regatta Sarawak ini sebenarnya sudah bermula sejak tahun 1987 lagi semasa pemerintahan James Brooke. 

Kemeriahan acara ini dihadiri oleh segenap lapisan masyarat pelbagai kaum dari seluruh negeri Sarawak.

Acara tahunan berakhir pada 4 November dan gelaran Raja Sungai dimenangi oleh Puteri Dang Balai dari Yayasan Sarawak.

Berikut merupakan gambar yg sempat dirakam sekitar acara berkenaan berlangsung.
























































Sumber Photo : Qirsan Picture