STRUKTUR PELAKSANAAN LEBUHRAYA PAN BORNEO DI KAJI SEMULA

PETER Anthony (tiga dari kanan) mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Kerja Raya, Baru Bian di pejabat Kementerian Kerja Raya, di Kuala Lumpur. - Foto Ihsan Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dan Kementerian Kerja Raya (KKR) bersetuju untuk mengkaji semula struktur model pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo di negeri ini.

Persetujuan itu dicapai hasil perbincangan selepas kunjungan hormat Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony ke atas Menteri Kerja Raya, Baru Bian di Kuala Lumpur, semalam.

Peter menerusi kenyataan di sini hari ini, berkata kerajaan negeri menekankan supaya projek lebuh raya itu perlu diteruskan untuk mengurangkan jurang indeks pembangunan jalan raya (RDI) antara Sabah dengan negeri lain.

Bagaimanapun, katanya, kementeriannya mendapati model pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo di negeri ini yang membabitkan pelantikan Rakan Pelaksana Projek (PDP) sebagai agensi pelaksana adalah satu pembaziran wang rakyat.

Beliau berkata, sehingga RM1 bilion boleh dijimatkan jika projek itu diurus selia sendiri oleh KKR dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah, iaitu daripada fi dan bayaran balik PDP, selain dijangka sejumlah besar penjimatan dapat diperoleh jika kaedah perolehan adalah secara tender terbuka.

"Berdasarkan perbincangan kedua-dua pihak, kami bersetuju supaya struktur model pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo (Sabah) ini dikaji semula.

"Menteri Kerja Raya menyarankan supaya Kementerian Pembangunan Infrastruktur menyediakan kertas cadangan berkenaan kaedah pelaksanaan terbaik untuk dikemukakan kepada KKR dan seterusnya dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan," katanya.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan dalam tiga fasa sepanjang 1,236 kilometer (km) dengan anggaran kos bagi Fasa 1 yang mempunyai 35 pakej ialah RM12,864 bilion meliputi 706 kilometer, manakala Fasa 2 dan 3 membabitkan laluan sepanjang 413 km lagi kini dalam peringkat perancangan.

Sementara itu, Peter berkata, perbincangan penyelenggaraan jalan persekutuan Sabah turut dibincangkan dengan fokus kepada kontrak penswastaan serta pelantikan konsesi pelaksana.

Beliau berkata, pihaknya mendapati, penyambungan kontrak sudah ditandatangani walaupun kontrak kerja penyelenggaraan belum lagi tamat tempoh.

"Menteri Kerja Raya sudah mengarahkan supaya perkara ini dikaji semula di mana pihak Kementerian Pembangunan Infrastruktur diminta untuk menilai prestasi konsesi pelaksana terlebih dahulu sebelum penyambungan kontrak dipersetujui.

"Kementerian kami akan menyediakan kertas cadangan dan laporan bagi pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo dan kontrak penyelenggaraan jalan persekutuan ini dengan melihat ketirisan pelaksanaan projek dan kontrak dapat diminimumkan," katanya. - Berita Harian