7 KEUNIKAN SARAWAK YANG HARUS ANDA TAHU



Negeri Sarawak juga dikenali sebagai Bumi Kenyalang. Negeri ini merupakan negeri yang terbesar di Malaysia dengan keluasan kira-kira 124,449.51 km2 dan terletak di Pulau Borneo iaitu di Malaysia Timur. Kuching merupakan ibu negerinya dan Sungai Rajang yang merupakan sungai yang terpanjang di Malaysia terdapat di negeri ini. Sarawak terkenal dengan pecahan kumpulan etnik yang tersendiri iaitu kira-kira 27 kumpulan. Antara etnik yang terdapat di Sarawak ialah Iban, Bidayuh, Melanau, Kayan, Kenyah, Lun Bawang, Penan, Kelabit, Kedayan, Bisaya, Berawan, Lahanan, Sekapan, Kejaman, Punan, Baketan, Ukit, Sihan, Tagal, Tabun, Saban, Lisum, Longkiput dan lain-lain.

Sarawak mempunyai 31 kawasan Parlimen, 71 Dewan Undangan Negeri dan 11 Bahagian meliputi 28 daerah seperti Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Sarikei, Limbang, Kapit, Bintulu, Samarahan, Mukah dan Betong. Unjuran penduduknya pada tahun 2010 adalah seramai 2,506,500 orang. Sarawak menawarkan pelbagai destinasi pelancongan menarik. Akronim CAN (Culture, Adventure dan Nature) menjelaskan alam Sarawak iaitu budaya, kembara dan alam semula jadi. Daripada budaya moden di bandar-bandar kepada budaya arkaik di pedalaman Sarawak, penduduknya menyambut pelbagai jenis perayaan setiap tahun. Namun, sambutan perayaan yang sangat sinonim dengan Sarawak ialah Hari Gawai. Warisan Sarawak yang kaya meliputi alam liar rimba ke dunia bawah air tersohor yang menggambarkan batu karang yang masih terpelihara. Antara destinasi yang sering menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke Sarawak ialah Pantai Damai, Muzium Islam, Rumah Panjang, Kuching Waterfront, Pusat Kraftangan Sarawak, Taman Negara Bako, River Safaris, dan Lemaknak River Safari.

7 KEUNIKAN SARAWAK YANG HARUS ANDA TAHU

1. TAK ADA CUTI DEEPAVALI

Walaupun kaum India merupakan kaum ke-3 paling ramai di Malaysia, tapi di Sarawak susah betul nak nampak kelibat mereka. Kalau ada pun di Kuching, sekitar India Street.

Jadi, mungkin sebab itulah Sarawak menjadi satu-satunya negeri dalam Malaysia yang tidak mengisytiharkan Hari Deepavali sebagai cuti umum di negeri tersebut. Sebaliknya, mengambil cuti 2 hari untuk perayaan Hari Gawai.

2. GERAI MAKANAN MUSLIM & NON-MUSLIM BAWAH SATU BUMBUNG

Memang Sarawak terkenal dengan makanan unik dan sedap seperti mee kolok, manuk pansuh, midin belacan, laksa sarawak, kek lapis, umai, dan macam-macam lagi.

Tapi, yang uniknya ialah terdapat gerai-gerai non-Muslim yang mempunyai bahagian tertentu khusus untuk menjual makanan halal. Jadi, tiada masalah kalau rakan-rakan berbangsa Iban, Melayu, Cina, atau Melanau nak makan semeja!

Sebab itulah mereka ini sangat rapat antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama. Kadang-kadang, sampai susah nak kenal yang mana Melayu, Iban, Cina, atau sebagainya. Semuanya mesra bersama!


Kredit photo : TEASPOON

3. PELBAGAI BAHASA & DIALEK PERIBUMI

Umumnya di Malaysia kita terkenal dengan masyarakat berbilang bangsa. Tetapi di Sarawak ini unik kerana Bahasa Iban masih kukuh digunakan bukan saja dipakai dalam kegunaan harian, tetapi juga dalam papan notis, surat khabar, dan majalah-majalah ‘mainstream’.

Malah, ramai artis Iban seperti Melissa Francis yang sangat terkenal di bumi Sarawak sehingga lagu-lagu ini dimainkan dalam radio-radio kontemporari setiap hari.

Sejak November 2015, Sarawak diumumkan sebagai negeri pertama yang bakal menggunakan Bahasa Inggeris dalam urusan rasmi kerajaan.

Selain itu, Bahasa Melayu Sarawak juga digunakan secara meluas oleh ramai yang lain selain bahasa Cina dan bahasa peribumi yang lain.



Kredit : Azlan Rumadi

4. ADA PRODUK SENDIRI

Di Semenanjung, mungkin anda biasa dengan rangkaian makanan seperti Mc D, KFC, atau Pizza dan macam-macam lagi rangkaian besar. Tapi, lagi senang nak cari SugarBun atau SCR berbanding dengan McD yang hanya ada beberapa cawangan, walaupun di bandar besar.

Sebenarnya, mereka patut bangga kerana kebanyakan jenama yang bertapak di Sarawak merupakan jenama tempatan yang diusahakan oleh anak Sarawak. Boleh dikatakan ‘self-sustained’ juga ekonomi mereka. Selain itu, banyak kedai rangkaian lain yang hanya dapat dijumpai di Sarawak seperti SuperSave, 100%, dan CCK.


5. PERTAMA DI MALAYSIA TERSENARAI DALAM UNESCO

Sebelum George Town dan Melaka (2008) dan Lenggong (2012) dianugerahkan dengan status Tapak Bersejarah Dunia oleh UNESCO, Taman Negara Gunung Mulu terlebih dahulu telah memiliki status ini sejak tahun 2000, bersama Taman Negara Gunung Kinabalu pada tahun yang sama.

Selain Gunung Mulu, Sarawak masih mempunyai banyak khazanah alam untuk diterokai, seperti ‘sea stack’ yang terdapat di Taman Negara Bako, Kuching dan juga tanah tinggi di Borneo Highlands. Sekali pandang, nampak macam di luar negara bukan? Mengagumkan!




Kredit photo : Borneo Highland

6. MEMPUNYAI LEBIH 14 LAPANGAN TERBANG!

Oleh kerana bentuk muka buminya yang masih belum diterokai sepenuhnya, ia mungkin menjadikan laluan terasa jauh dan sedikit sukar untuk menghabiskan pengembaraan anda di Sarawak dalam 1-2 hari.

Dari segi pengangkutan, pengangkutan darat masih lagi menjadi sistem utama untuk menghubungkan sesuatu tempat. Namun, di sesetengah tempat terpencil, masih lagi bergantung kepada penggunaan feri atau sampan sebagai satu-satunya laluan untuk menyeberanginya.

Kalau nak paling cepat, kenalah gunakan laluan udara. Maka, bilangan lapangan terbang juga paling banyak di Sarawak iaitu 14 buah sepeti di entry sebelum ini.

Biasanya VIP atau pegawai tertinggi kerajaan pakai helikopter untuk memudahkan urusan. 

7. TIDAK ADA BUNYI HON KERETA.

Adalah menjadi satu kejanggalan di Sarawak jika kita membunyikan hon kereta. Kebiasaannya hon kereta akan dibunyikan sebagai isyarat pemergian kita selepas melawat atau lebih manis disebut hon untuk persaudaraan.

Walau sesak bagaimana sekalipun, pemandu di Sarawak tetap tabah menempuh kesesakan lalu lintas.