SAMSUNG NOTE 2 PECIK API DALAM PESAWAT


Sebuah telefon pintar jenis Samsung Note 2 mengeluarkan asap dan percikan api dalam penerbangan dari Singapura ke selatan India, kata sebuah syarikat penerbangan.

Telefon itu ditemui di dalam sebuah beg penumpang yang tersimpan di dalam kabin penyimpanan barang di dalam pesawat selepas seorang penumpang lain terbau asap, kata IndiGo.

Bagaimanapun, tiada kebakaran dilaporkan hanya percikan api dan asap yang keluar dari telefon berkenaan.

Anak kapal menggunakan alat pemadam api dan merendam telefon itu di dalam bekas di dalam tandas pesawat, kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Pesawat selamat mendarat di lapangan terbang Chennai dan semua penumpang dalam keadaan baik.

Insiden membabitkan Samsung Note 2 pernah dilaporkan pada tahun 2012 membabitkan bateri gantian.

"Kami sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengumpul lebih maklumat dan menyiasat sekiranya ia membabitkan faktor luar," kata kenyataan itu.

Samsung baru-baru ini memanggil semula 2.5 juta telefon Note 7 selepas menerima puluhan laporan membabitkan bateri terbakar.

Pihak berkuasa di beberapa negara sudah mengharamkan penggunaannya di dalam pesawat. - AP

AREA 24 : MASAKAN BARAT DI HIDANG DALAM TALAM DI KUCHING. WAJIB TRY!!


AREA 24, mungkin ramai yang kenal dan mungkin juga pertama kali anda mendengar perkataan 'AREA 24'.

Kedai makanan yang menyediakan makanan ala barat ini beroperasi di Lorong 1 Taman Matang Jaya, Kuching bermula 4 petang.

Berdasarkan pengalaman merasi sendiri hidangan yang disediakan di sini, memang padu beb.. 5 bintang memang layak untuk hidangan yang disediakan. Kenyang sampai pecah perut. Tak makan 3 hari selepas makan di AREA 24 pun tak apa. Haha

Selain itu, komen-komen positif melalui review di facebook juga menunjukkan bahawa semua masakan di sini berada dalam kelas tersendiri.


Menu yang disediakan dengan harga kasih sayang.










TEGURLAH AKU JIKA AKU SILAP DAN LALAI.


Semua orang inginkan bentuk badan yang menarik. Kelihatan cantik, stylo dan up-to-date itulah perempuan namanya. Bersungguh-sungguh untuk menjaga pemakanan dan penampilan diri. Pelbagai produk dan supplement harus dicuba bagi mendapatkan bentuk badan yang diidamkan.

Kurus itu terlalu subjektif bagi aku. Sesetengah orang ingin kelihatan langsing disebabkan pelbagai faktor. Antaranya mahu kelihatan sentiasa cantik di mata suami.

Aku? Memang hobinya suka mencuba resepi yang baharu. Makan dan terus makan tanpa mengawal kuantiti dan kalori makanan yang diambil.

Akhirnya berat mencecah 120 kg. Ya Allah, tanpa aku sedari aku telah merosakkan diri sendiri. Tanpa usaha berubah untuk bersenam dan kawal kuantiti pemakanan. Bila sudah sakit, baru tersedar dari lamunan.

Sekarang aku bangkit untuk mengubah pola pemakanan dan rajin bersenam. Sedaya upaya kawal pemakanan yang kadang kala tewas juga dengan nafsu makan.

Setiap hari selepas bangun tidur di awal pagi, aku setkan minda dengan perkara yang positif supaya aku kelihatan bertenaga dan sihat untuk lakukan kerja pada hari tersebut.

Tipulah jika tiada perasaan putus asa dalam diri. Ramai juga yang memerli. “Ala, dia kan diet. Tak makan semua ni. Tambah-tambah makanan manis ni” dan juga ada yang beri kata semangat “Ko nak jogging ke? Jom aku temankan. Baguslah kalau ko nak kurus. Kurus untuk senang beribadah. Aku support ko dari belakang.”

Alhamdulillah.. Kata-kata semangat yang positif atau negatif, aku ambil sebagai peransang untuk lebih istiqamah dan positif. Amat berterima kasih kerana ramai yang menyokong walaupun ada juga yang sebaliknya.

Hari demi hari yang penuh berliku, aku lalui dengan cekal dan tabah. Aku tidak putus berdoa dan usaha, selebihnya aku tawakal kepada Nya agar aku kuat semangat.

Kadang-kadang aku menangis bersendirian apabila perasaan sedih dan terasa bebanan kerana aku kurang yakin dengan diri sendiri disebabkan penampilan aku sebegini.

Hanya berbaki 7 hari nak jejak target aku yang ke-100 hari. Aku mula tekad pada 13 Julai 2018 dengan berat 118kg dan sekarang sudah turun sebanyak 8 kg.

Walaupun dengan sedikit penurunan, alhamdulillh aku bersyukur. Moga aku istiqamah untuk meneruskan misi untuk menurunkan berat agar aku senang untuk beribadah. In shaa Allah.

Tegurlah aku jika aku alpa..
Tegurlah aku jika aku lalai..
Tegurlah aku jika aku sombong dan lupa diri..

Tegurlah aku bila aku sudah mencapai berat ideal nanti jika aku memakai pakaian tidak patuh syariah dengan memakai pakaian yang ketat dan memakai tudung diparas dada.

Lindungilah aku Ya Allah daripada berbuat sedemikian. Jangan berhenti untuk tegur aku kerana aku amat memerlukannya bagi mengubah diri ke arah kebaikan.

Teguran yang positif ku ambil sebagai pembakar semangat aku untuk lebih positif dan berjiwa kental. Niat aku untuk kurus adalah bagi memudahkan serta senang untuk aku beribadah, bukan untuk cantik.

Hal demikian kerana apabila aku obesiti, pergerakan aku menjadi sukar dan terhad untuk bergerak. Moga aku terus istiqamah dan kuat semangat untuk mengharungi pelbagai onak dan duri kehidupan di masa hadapan.

Tegurlah aku kerana aku memerlukan teguran anda supaya aku tidak terus hanyut, lalai dan alpa daripada membuat khilaf kepada diri sendiri. Tegurlah aku ..

COKLAT RANGSANG EMOSI GEMBIRA


“Coklat? manis sangat, makan nanti gemuk”, itu ucapan biasa apabila ditawarkan coklat kepada mereka.

Hakikatnya apa saja manisan sekiranya dimakan berlebihan menyumbang kepada masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Bagaimanapun, pakar kimia dari Jerman, Justus Von Liebig mengesahkan coklat adalah makanan sempurna, di sebalik rasanya yang enak, kaya nutrisi tambahan yang memulihkan tenaga.

Amalan memakan coklat juga baik kerana dapat merembeskan hormon endorfin ke dalam otak yang merangsang emosi gembira, sekali gus mengatasi masalah kemurungan secara semula jadi.

Coklat pahit yang berwarna hitam antara yang terbaik kerana belum dicampur zat tambahan lain. Sekeping coklat pahit mempunyai 70 hingga 85 peratus koko, mengandungi 11 gram serat, 67 peratus zat besi, 58 peratus magnesium, 98 peratus mangan, kalium dan fosforus.

Lebih menarik apabila di dalamnya terkandung lemak tidak tepu baik untuk kesihatan. Coklat pahit kaya dengan antioksidan seperti polifenol, flayanol dan catechin, baik untuk kesihatan selain melindungi sel tubuh daripada radikal bebas.

Kandungan flayanol dalam coklat pahit berupaya merangsang endothelium yang digunakan untuk menghasilkan nitrik oksida yang berupaya melambatkan proses penuaan selain merendahkan tekanan dan melancarkan aliran darah.

Kesan kebaikan pengambilan coklat dalam menu harian, Harriston muncul sebagai pengeluar pertama di Asia memasarkan coklat keempat dunia, iaitu coklat ruby.

Coklat Ruby putih ditemui kira-kira 80 tahun lalu sebelum coklat gelap dan susu.

Sekali pandang, coklat Ruby seperti dicampur pewarna merah jambu atau perisa strawberi. Hakikatnya warna rubi itu terhasil daripada kekacang koko Ruby tanpa sebarang perisa atau pewarna tambahan.

Pengarah Eksekutifnya Harriston, Queenie Teng, berkata pihaknya bekerjasama dengan syarikat pengeluar coklat terkemuka dunia, Barry Callebaut untuk memasarkan manisan ini.

“Kami percaya keunikan rasa coklat Ruby memenuhi keinginan peminat manisan, khususnya pelanggan wanita. Jika sebelum ini kita agak stereotaip dengan pilihan coklat sedia ada, kekal dengan rasa manis dan susu, kini ada variasi rasa beri daripada biji koko asli.

“Coklat ini lebih menarik dan disukai wanita kerana rasa dan warnanya unik selain tinggi kandungan nutrisi.

“Malah mengeratkan hubungan kasih sayang antara pasangan atau keluarga dengan menikmatinya bersama-sama ,” katanya.

Info

Coklat gelap

* Mengandungi serat - 11 gram (gm)

* Zat besi - 67 peratus

* Magnesium - 58 peratus

* mangan, kalium dan fosforus - 98 peratus

Perbezaan coklat:

* Coklat putih

- Mengandungi kalsium bagi menguatkan tulang dan gigi.

- Membantu jantung, otot dan saraf untuk berfungsi normal.

- Antioksidan - meningkatkan kesihatan kardiovaskular

- Menurunkan tekanan darah.

- Mencegah hipertensi

- Tidur lebih nyenyak

- Meningkatkan daya ingatan.

* Coklat putih mengandungi mentega koko (20 peratus), pepejal susu (14 peratus), lemak susu (3.5 peratus) dan tidak lebih gula atau pemanis lain (55 peratus).

Coklat gelap

* Kandungan mentega koko tinggi

* Kurang susu berbanding coklat lain

* Antioksidan seperti polifenol

* Rendah gula.

* Flavanols merangsang endothelium iaitu lapisan arteri menghasilkan sejenis gas nitrik oksida.

* Mengurangkan tekanan darah.

PROJEK LEBUH RAYA PAN BORNEO IKUT JADUAL


KUCHING: Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak berjalan dengan lancar mengikut jadual sebagaimana diumumkan Menteri Kerja, Raya Baru Bian baru-baru ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chien Jen menafikan laporan sebuah akhbar bahasa Cina bahawa berlaku kelewatan pada kerja-kerja projek lebuh raya tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini hari ini.

Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,325 kilometer yang bermula dari Telok Melano di Bahagian Kuching hingga Lawas di utara Sarawak dibina dengan anggaran kos RM29 bilion.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika lawatan kerja ke Brunei Darussalam awal minggu ini mengesahkan jajaran lebuhraya itu tidak akan melalui negara itu selepas mengambil kira kekangan kewangan dan isu imigresen.

Dalam perkembangan lain, Chong berkata, setakat ini kementeriannya tidak menerima sebarang aduan mengenai perniaga yang menaikkan harga barangan yang tidak harus dikenakan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) semenjak pelaksanaannya pada 1 September lepas.

Orang ramai atau pengguna yang ingin membuat sebarang aduan berkaitan, boleh terus ke portal rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna atau terus WhatsApp ke nombor rasmi aduan 019-2279 4317. -- BERNAMA

JAJARAN BAHARU JIMATKAN MASA, KOS PEMBINAAN


KUCHING: Pembangunan Sarawak, khususnya di pedalaman dan luar bandar di wilayah utara negeri ini mampu terus diperkasakan menerusi pembinaan jajaran baharu Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing, berkata keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya projek itu diteruskan tanpa perlu merentasi negara jiran seperti rancangan asal, sangat praktikal.

Bagi Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak, keputusan itu mampu memberi banyak manfaat kepada masyarakat pedalaman dan luar bandar di negeri ini kerana membuka akses perhubungan ke kawasan berkenaan.

“Kita melihat potensi jajaran baharu ini bermula dari Marudi terus ke Long Terawan, Baram, seterusnya disambungkan ke Taman Negara Mulu.

“Dari situ, jajaran diteruskan ke Sungai Hulu Limbang dan Sungai Hulu Trusan sebelum memasuki Lawas serta disambungkan ke jajaran di Sabah.

“Ini tentunya membuka akses perhubungan ke kawasan terpencil di wilayah utara Sarawak yang selama ini sukar untuk kita sampai ke sana, khususnya di bahagian atas Limbang dan Lawas,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini semalam.

Kelmarin, Dr Mahathir selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan memaklumkan keputusan meneruskan projek lebuh raya itu tanpa merentasi Brunei sebagai langkah penjimatan kos pembinaannya, selain kekangan isu imigresen.

Sekiranya cadangan asal itu diteruskan, ia bukan sahaja mendatangkan beban kewangan kepada kerajaan, malah pasport pengguna laluan itu perlu dicop sebanyak 16 kali untuk perjalanan ulang-alik dari Sarawak ke Sabah.

Masing ketika mengulas lanjut, berkata jajaran baharu sepanjang 250 kilometer itu membabitkan kos kira-kira RM3.5 bilion, jauh lebih rendah berbanding jajaran asal jika ia dibina merentasi Brunei.

“Ini tentunya memberi manfaat kepada penduduk di pedalaman dan luar bandar di sepanjang jajaran direntasi lebuh raya ini, seterusnya membantu memperkasakan sosioekonomi setempat,” katanya. - Berita Harian

LEBUHRAYA PAN BORNEO TIDAK MERENTASI BRUNEI DARULSALAM

TUN Dr Mahathir Mohamad ketika sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan di
Universiti Brunei Darussalam hari ini. - Foto BERNAMA

BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia dan Brunei secara dasarnya mencapai persetujuan bahawa Projek Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tidak akan dibina merentasi negara ini.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Sultan Hassanal Bolkiah yang berlangsung di Istana Nurul Iman, di sini hari ini sempena lawatan rasminya ke Brunei Darussalam.

Dr Mahathir berkata, persetujuan itu bersandarkan beberapa faktor berkaitan, khususnya kekangan kos, selain isu imigresen sekiranya lebuh raya itu dibina merentasi negara ini.

“Memang rancangannya kita meneruskan pembinaan lebuh raya ini kerana kepentingannya kepada Sabah dan Sarawak, namun tidak akan merentasi Brunei Darussalam seperti perancangan asalnya.

“Pendirian Malaysia berhubung perkara itu cukup difahami oleh Sultan Brunei selepas mengambil kira kekangan yang kita hadapi. Baginda tiada masalah jika ia mahu dibina merentasi negaranya, namun baginda memahami kesukaran kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Istana Qashr Munee, di sini petang tadi sebelum mengakhiri lawatan kerja dua harinya ke Brunei.

Dr Mahathir ketika mengulas lanjut, berkata keputusan itu juga bagi memudahkan perjalanan, termasuk menjimatkan masa kerana tidak perlu melalui sekurang-kurangnya 12 kali pemeriksaan imigresen dari Sarawak ke Sabah merentasi Brunei.

Beliau berkata, malah pihak berkaitan sedang meneliti jajaran alternatif bagi pelaksanaan projek lebuh raya itu yang dinanti-nantikan sejak sekian lama oleh rakyat kedua-dua negeri berkenaan, selain mampu merangsang pembangunan serta sosio ekonomi Sabah dan Sarawak.

Ditanya sama ada kerajaan sedang meneliti mekanisme tertentu bagi menangani isu pemeriksaan imigresen berkenaan, Dr Mahathir menjelaskan sekiranya lebuh raya berkenaan dibina merentasi Brunei, peraturan imigresen negara itu perlu sentiasa dihormati.

“Atas sebab itu, kita mempertimbangkan hasrat membina jajaran alternatif bagi mengelak isu berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beliau sedia maklum mengenai kelewatan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

“Kita akan tetap melaksanakan projek ini, namun akan mengambil sedikit masa berikutan situasi kewangan dihadapi negara.

“Kita sedang meneliti isu kelewatan projek ini di Sabah kerana peruntukan dana sudah pun dikeluarkan. Kita mahu kenal pasti apa punca kelewatan itu,” katanya.

Dalam pertemuan sama juga, Dr Mahathir berkata, persetujuan turut dicapai berhubung kerjasama penerokaan dan carigali bersama Brunei di dua blok minyak yang diserahkan kepada negara itu ketika era kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

“Kerjasama ini mampu memberi impak positif kepada prestasi PETRONAS, ” katanya tanpa menyatakan secara terperinci dua blok minyak berkenaan.

Dr Mahathir yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke negara ini turut diringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei Darussalam, Rafedah Abdul Aziz.

Ia lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke negara ini sebagai kunjungan balas terhadap Sultan Brunei ke atas beliau selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri, Mei lalu. - Berita Harian

PROJEK PAN BORNEO TETAP DITERUSKAN


KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan akan meneruskan projek Lebuhraya Pan Borneo berdasarkan terma kontrak yang sudah dipersetujui antara pihak berkepentingan.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata bagaimanapun, mekanisme dan pelaksanaan projek pembinaan tertakluk kepada hasil penelitian semula yang sedang dijalankan bersama antara kementeriannya dengan Kementerian Kewangan.

“Kerja pembinaan bagi 11 pakej projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1, membabitkan laluan dari Teluk Melano hingga ke Miri dengan jarak anggaran sepanjang 786 kilometer (km) akan tetap diteruskan,” katanya ketika wawancara khas bersama NSTP, di pejabatnya, di sini.

Utama Jalan Persekutuan

Ketika ditanya keutamaan kementerian untuk menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo tanpa membantu kerajaan negeri membina jalan pesisir di Sarawak, Bian berkata, kerajaan mengutamakan untuk menaik taraf Jalan Persekutuan.

“Jalan Pesisir Pantai (Coastal Road) di Sarawak adalah jalan negeri iaitu di bawah bidang kuasa kerajaan Sarawak.

“Kementerian kini menumpukan usaha dalam menaik taraf Jalan Persekutuan sedia ada memandangkan ada kekangan kewangan kerajaan, namun sedia menyumbangkan nasihat dan kepakaran teknikal dalam pelaksanaan projek infrastruktur di Sarawak khususnya pembinaan Jalan Pesisir Pantai,” katanya.

Bian berkata, sebagai kerajaan beliau tidak akan menghukum tetapi akan tetap menghulurkan bantuan kepada kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ahli Parlimen Selangau itu berkata, Kerajaan Pusat sudah menyiapkan beberapa jambatan di Jalan Persisiran Sarawak iaitu Jambatan Sadong, Jambatan Kota Samarahan dan Jambatan Pusar.

Katanya, tiga lagi jambatan di laluan Persekutuan iaitu Jambatan Rambungan, Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Igan tertakluk kepada Bajet 2019 yang akan diumumkan November ini.

“Disebabkan keadaan kewangan negara kita agak ketat dan juga selaras dengan pekeliling Kementerian Kewangan bertarikh 29 Jun, jadi kita tertakluk dengan panduan itu.

“Sekiranya tiada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau surat perjanjian dikeluarkan, projek pembinaan jambatan akan ditangguhkan sementara sehingga keadaan kewangan negara pulih,” katanya.

Janji manifesto BN

Lebuhraya Pan Borneo adalah janji manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan menghubungkan Sabah dan Sarawak melalui Brunei serta rangkaian jalan raya Lebuhraya Trans-Kalimantan, Indonesia.

Lebuhraya sejauh 2,325km menyediakan laluan empat lorong dua hala itu dijadualkan siap pada 2022. Projek itu dibiayai Kerajaan Pusat dengan kos anggaran RM29 bilion.

Laporan sehingga 25 Mei lalu mengesahkan kira-kira 22 peratus pembinaan projek di Sarawak sudah siap dan ia merekodkan dua peratus ke depan mendahului jadual asalnya.

Bagaimanapun, kerja pembinaan sangat lambat di Sabah dengan kelewatan antara satu peratus hingga 36 peratus, bergantung kepada fasanya. - Berita Harian

9 TIPS ELAK KECURIAN DALAM BELON.


Ramai beranggapan apabila sudah berada dalam pesawat, semua barangan peribadi yang berharga termasuk wang tunai dan gajet berada dalam keadaan selamat sebaik sahaja meletakkan di dalam tempat penyimpanan barang

Keyakinan itu menyebabkan anda tidak terfikir kemungkinan ada penumpang nakal lain yang mencuri barangan berharga apabila alpa kerana menganggap semuanya dalam keadaan baik.

Digelar flights thieves atau pencuri penerbangan dilakukan individu mahir mencuri, namun tindakan licik mereka ada kalanya tidak dapat dihidu oleh sekumpulan kru pesawat bertugas atau penumpang lain sibuk dengan aktiviti sendiri.


Lazimnya, sasaran pencuri adalah penumpang yang dikenal pasti bergaya dan yakin membawa banyak wang tunai, gajet mahal dan barang kemas.

Aktiviti mereka lazimnya bermula ketika pesawat memulakan penerbangan dan lampu dimalapkan. Pencuri sentiasa memerhatikan gerak-geri mangsa dan mengambil kesempatan apabila mangsa pergi ke tandas.

Ketika itu pencuri bertindak seolah-olah hendak mengambil barangan mereka di tempat penyimpanan barang di bahagian atas. Aksi profesional pencuri ini tangkas menyelongkar barang peribadi mangsa.

Letakkan barangan berharga di tempat yang sukar dijejaki pencuri. - Gambar hiasan
Sebagai contoh, dalam kejadian baru-baru ini membabitkan penerbangan dari Johannesburg, Afrika Selatan ke Hong Kong, apabila ada penumpang cemas memberitahu kru, barang peribadi miliknya dicuri selepas menyedari kehilangan barangan berharga ketika masih berada di dalam pesawat.


Rakaman kamera litar tertutup (CCTV), menunjukkan beberapa penumpang berkelakuan pelik dan mencurigakan, berada di tempat mangsa meletakkan barangannya.

Beberapa individu disyaki mencuri itu pastinya antara penumpang penerbangan pesawat dan dilihat membuka ruang penyimpanan bagasi ketika penumpang lain sedang tidur lena.

Dalam kejadian itu, pihak berkuasa berjaya beberapa individu di pintu masuk di lapangan terbang Hong Kong, bagaimanapun tiada apa yang ditemui bersama mereka.

Bagaimanapun, barangan berharga milik mangsa itu kemudiannya ditemui ditemui kakitangan pembersihan di atas kapal terbang dan dikembalikan kepada pelancong.


Panduan keselamatan elak kecurian
  1. Ketika dalam kapal terbang letakkan barang berharga secara terbalik di dalam bagasi penyimpanan. Cara ini lebih menyukarkan dicuri atau tidak menarik perhatian orang ramai.
  2. Gunakan kunci atau mangga di setiap beg.
  3. Letakkan wang dan barang berharga di bahagian paling bawah di dalam beg elak dicuri. Pencuri memerlukan masa untuk memunggah pakaian.
  4. Wang tunai dan telefon sentiasa dipegang penumpang.
  5. Penumpang perlu berwaspada sepanjang masa.
  6. Elak mengeluarkan barangan berharga pada saat akhir sebelum pesawat berlepas.
  7. Berhati-hati ketika menjalani pemeriksaan imbasan keselamatan di lapangan terbang. Ketika anda sibuk mengeluarkan barangan berharga pencuri mengambil kesempatan mengambil barangan peribadi.
  8. Periksa semua barangan berharga pada saat akhir sebelum menaiki pesawat.
  9. Jika anda berada di barisan belakang, perhatian gerak-geri penumpang di barisan hadapan anda, dikhuatiri ada pencopet licik.