GIGI RONGAK PERLU DIGANTI, GANGGU STRUKTUR GUSI


SETIAP kali mencabut gigi, anda mungkin tidak pernah terfikir bahawa gigi yang sudah dicabut itu perlu diganti baharu sama ada dengan kaedah menggunakan gigi palsu atau menanamnya, menerusi prosedur implan.

Kegagalan berbuat demikian menyebabkan pelbagai kesulitan hingga memberi kesan kepada ketidakseimbangan pada struktur gusi.

Gigi yang sudah dicabut tidak sepatutnya dibiarkan rongak tanpa digantikan kerana boleh mendatangkan kesan lebih buruk ke atas gigi sedia ada.

Ini kerana kawasan lompong menyebabkan gigi yang tinggal menjadi tidak rata susunannya dan berlapis.

Prosthodontist dan Pensyarah Kanan Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Natasya Ahmad Tarib, berkata gigi asal akan bergerak ke ruang yang dibiarkan kosong, akhirnya menyebabkan gigi kelihatan tidak tersusun.

Sekiranya gigi rongak dibiarkan, beliau berkata keadaan itu menjadikan ruang kosong bertambah besar atau menjadi kecil.

“Tulang rahang cepat mengecut dan seterusnya menjadikan sokongan gigi berkurangan, kesannya gigi sedia ada menjadi longgar dan mudah tercabut.

“Susunan gigi yang tidak teratur menjejaskan penampilan dan membuatkan tidak selesa ketika makan,” katanya.

Justeru, penggunaan gigi palsu penting untuk menggantikan gigi yang hilang supaya seseorang boleh bercakap dengan yakin dan menikmati makanan dengan sempurna.

Gigi palsu kekalkan penampilan

Walaupun gigi sudah lama dicabut dan terbiar kosong, ini bukan alasan untuk tidak menggunakan gigi palsu malah mana-mana gigi yang rongak boleh digantikan.

Pembuatan gigi palsu tidak terhad kepada gigi utama saja, malah mana-mana gigi yang rongak boleh digantikan dengan gigi palsu. Gigi palsu walaupun tidak akan sama dengan gigi asal tetapi membantu untuk makan dan bercakap dengan lebih selesa.

“Sekiranya cuma satu gigi yang hilang, kebiasaannya doktor mencadangkan kaedah dibina jambatan atau implan.

“Sebaliknya jika banyak gigi yang hilang, gigi palsu mungkin lebih sesuai selain kosnya lebih efektif.,” katanya.

Kehilangan lebih satu gigi bermakna kita kehilangan tulang di kawasan rahang sebanyak 40 peratus dalam tempoh enam bulan pertama,” katanya.

Dr Natasya berkata, ini bermakna sekiranya seseorang kehilangan lebih satu gigi, bentuk wajah berubah selain membuatkan anda kelihatan lebih berusia.

Kulit mengendur selepas gigi dicabut

Wajah kelihatan tua kerana kulit mengendur selepas tubuh menerima isyarat mengurangkan tulang rahang bagi kegunaan bahagian tubuh lain sebaik gigi dicabut.

Justeru, perubahan ketara dapat dilihat menerusi wajah selepas seseorang menggunakan gigi palsu yang membolehkan individu kelihatan lebih muda.

“Kehilangan gigi juga mengganggu pertuturan yang menyebabkan sebutan beberapa perkataan kurang jelas bergantung kepada bahagian gigi yang hilang.

“Ini juga bergantung kepada bahagian mana di dalam mulut yang mempunyai jurang lebih besar kerana gigi hadapan dan lidah bergerak di dalam ruang itu bagi membentuk perkataan dengan betul,” katanya.

Sukar menggigit, makanan tidak hadam

Sebaik gigi dicabut, secara sedikit demi sedikit berlaku proses pergerakan gigi yang tinggal untuk ‘mengisi’ bahagian yang kosong itu.

Ini menyebabkan gigi tidak tersusun dan menyebabkan masalah kesukaran menggigit yang serius dan memerlukan rawatan pakar membetulkannya.

Tabiat menggigit hanya pada satu bahagian gigi berlaku tanpa disedari dan secara tidak langsung makanan yang tidak digigit dengan betul meningkatkan risiko tercekik atau masalah penghadaman seperti refluks asid.

Kawasan berlubang menjadi tempat pembiakan bakteria yang menyebabkan berlaku plak atau karang gigi. Terdapat pelbagai cara bagi mengatasi masalah selepas kehilangan gigi seperti menggunakan gigi palsu, bridge, crown atau menanam gigi.

Info

*Kaedah penggantian gigi

1. Gigi palsu -kos rendah

2. Bridge

3. Implan

No comments:

Post a Comment