Showing posts with label Sihat. Show all posts
Showing posts with label Sihat. Show all posts

BUAH OREN LAWAN JANGKITAN KUMAN


SEBIJI buah oren mampu membekalkan pelbagai nutrien makanan semula jadi, selain penting untuk membekalkan serat dan meningkatkan kesihatan usus, berbanding pil vitamin C yang hanya mempunyai satu nutrien semata-mata

Pengerusi Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, Prof Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed, berkata buah oren dijadikan pilihan diet berdasarkan saranan Panduan Pemakanan Malaysia oleh Kementerian Kesihatan sekurang-kurangnya dua hidangan sehari.

Katanya, selain vitamin C dan mineral sama seperti buah-buahan lain, kandungan oren ‘phytonutrients’ seperti flavonoid iaitu bahan kimia semula jadi daripada tumbuhan mempunyai fungsi tertentu untuk penjagaan kesihatan.

Pengambilannya dalam diet harian memberi nilai ditambah kepada individu yang mengambilnya sebagai diet harian.

“Sebiji oren bersaiz sederhana (130g) mempunyai kalori yang sedikit (60 kalori) tetapi mampu membekalkan jumlah vitamin C kira-kira 70 mg (USDA Online Food Database).

“Menariknya, jumlah ini bersamaan saranan pengambilan Vitamin C (Recommended Nutrient Intakes for Malaysia, 2017) sehari untuk individu dewasa.

“Pengambilan sebiji oren membekalkan keperluan vitamin C sehari untuk seorang dewasa,” katanya.

Dr Hamid Jan berkata, vitamin C adalah nutrien penting berfungsi meningkatkan sel terutamanya di mukosa seterusnya melawan jangkitan kuman.

Vitamin C juga sejenis antioksidan berkesan mengurangkan kerosakan sel tubuh akibat kimia bahaya di persekitaran dan diet tidak sihat.

Oren mempunyai kandungan air, serat yang tinggi dan bagus untuk membantu proses pembuangan najis dengan mencegah sembelit.

“Serat membantu memastikan kesihatan usus dengan sempurna. Kaya vitamin A dan mineral seperti kalium,” katanya.

Dr Hamid berkata, mengenai jumlah terbaik pengambilan oren untuk orang dewasa, ia ada panduan pemakanan berdasarkan jenis buah.

Panduan umum mengambil pelbagai pilihan buah-buahan kerana mempunyai kebaikan dan zat tersendiri kepada tubuh jika diambil secara berterusan.

“Oren tidak boleh disamakan dengan jus oren komersial kerana katanya, kedua-dua pilihan itu mempunyai kandungan zat berbeza. Jus yang dijual secara komersial mengandungi gula yang tinggi.

“Individu boleh menghasilkan jus oren hasil perahan sendiri yang boleh diminum terus tanpa tambahan gula. Namun, kandungan serat lebih rendah apabila buah oren dijadikan jus kerana ditapis dan diasingkan daripada jus.

INFO

* Limonoids sitrus - kaya kalium, mineral elektrolit bertanggungjawab meningkatkan kesihatan jantung.

* Sebatian vitamin A (karotenoid) - mencegah degenerasi makula - membuatkan penglihatan semakin baik

* Vitamin C - melindungi sel dengan meneutralkan radikal bebas yang menyebabkan penyakit kanser dan jantung.

* Hesperidin flavonoid - mengawal tekanan darah tinggi dan magnesium mengekalkan tekanan darah.

* Beta karotena - bersifat antioksidan yang kuat melindungi sel-sel kulit daripada rosak dan radikal bebas, serta melambatkan proses penuaan.

GIGI RONGAK PERLU DIGANTI, GANGGU STRUKTUR GUSI


SETIAP kali mencabut gigi, anda mungkin tidak pernah terfikir bahawa gigi yang sudah dicabut itu perlu diganti baharu sama ada dengan kaedah menggunakan gigi palsu atau menanamnya, menerusi prosedur implan.

Kegagalan berbuat demikian menyebabkan pelbagai kesulitan hingga memberi kesan kepada ketidakseimbangan pada struktur gusi.

Gigi yang sudah dicabut tidak sepatutnya dibiarkan rongak tanpa digantikan kerana boleh mendatangkan kesan lebih buruk ke atas gigi sedia ada.

Ini kerana kawasan lompong menyebabkan gigi yang tinggal menjadi tidak rata susunannya dan berlapis.

Prosthodontist dan Pensyarah Kanan Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Natasya Ahmad Tarib, berkata gigi asal akan bergerak ke ruang yang dibiarkan kosong, akhirnya menyebabkan gigi kelihatan tidak tersusun.

Sekiranya gigi rongak dibiarkan, beliau berkata keadaan itu menjadikan ruang kosong bertambah besar atau menjadi kecil.

“Tulang rahang cepat mengecut dan seterusnya menjadikan sokongan gigi berkurangan, kesannya gigi sedia ada menjadi longgar dan mudah tercabut.

“Susunan gigi yang tidak teratur menjejaskan penampilan dan membuatkan tidak selesa ketika makan,” katanya.

Justeru, penggunaan gigi palsu penting untuk menggantikan gigi yang hilang supaya seseorang boleh bercakap dengan yakin dan menikmati makanan dengan sempurna.

Gigi palsu kekalkan penampilan

Walaupun gigi sudah lama dicabut dan terbiar kosong, ini bukan alasan untuk tidak menggunakan gigi palsu malah mana-mana gigi yang rongak boleh digantikan.

Pembuatan gigi palsu tidak terhad kepada gigi utama saja, malah mana-mana gigi yang rongak boleh digantikan dengan gigi palsu. Gigi palsu walaupun tidak akan sama dengan gigi asal tetapi membantu untuk makan dan bercakap dengan lebih selesa.

“Sekiranya cuma satu gigi yang hilang, kebiasaannya doktor mencadangkan kaedah dibina jambatan atau implan.

“Sebaliknya jika banyak gigi yang hilang, gigi palsu mungkin lebih sesuai selain kosnya lebih efektif.,” katanya.

Kehilangan lebih satu gigi bermakna kita kehilangan tulang di kawasan rahang sebanyak 40 peratus dalam tempoh enam bulan pertama,” katanya.

Dr Natasya berkata, ini bermakna sekiranya seseorang kehilangan lebih satu gigi, bentuk wajah berubah selain membuatkan anda kelihatan lebih berusia.

Kulit mengendur selepas gigi dicabut

Wajah kelihatan tua kerana kulit mengendur selepas tubuh menerima isyarat mengurangkan tulang rahang bagi kegunaan bahagian tubuh lain sebaik gigi dicabut.

Justeru, perubahan ketara dapat dilihat menerusi wajah selepas seseorang menggunakan gigi palsu yang membolehkan individu kelihatan lebih muda.

“Kehilangan gigi juga mengganggu pertuturan yang menyebabkan sebutan beberapa perkataan kurang jelas bergantung kepada bahagian gigi yang hilang.

“Ini juga bergantung kepada bahagian mana di dalam mulut yang mempunyai jurang lebih besar kerana gigi hadapan dan lidah bergerak di dalam ruang itu bagi membentuk perkataan dengan betul,” katanya.

Sukar menggigit, makanan tidak hadam

Sebaik gigi dicabut, secara sedikit demi sedikit berlaku proses pergerakan gigi yang tinggal untuk ‘mengisi’ bahagian yang kosong itu.

Ini menyebabkan gigi tidak tersusun dan menyebabkan masalah kesukaran menggigit yang serius dan memerlukan rawatan pakar membetulkannya.

Tabiat menggigit hanya pada satu bahagian gigi berlaku tanpa disedari dan secara tidak langsung makanan yang tidak digigit dengan betul meningkatkan risiko tercekik atau masalah penghadaman seperti refluks asid.

Kawasan berlubang menjadi tempat pembiakan bakteria yang menyebabkan berlaku plak atau karang gigi. Terdapat pelbagai cara bagi mengatasi masalah selepas kehilangan gigi seperti menggunakan gigi palsu, bridge, crown atau menanam gigi.

Info

*Kaedah penggantian gigi

1. Gigi palsu -kos rendah

2. Bridge

3. Implan

PERIA KATA PENAWAR PENYAKIT


PERIA atau nama saintifiknya Momordica Charantia, sejenis sayuran pahit rasanya tetapi memiliki seribu satu khasiat kepada kesihatan manusia.

Dalam perubatan Ayurveda misalnya, masyarakat India menggunakan peria katak bagi merawat ekzema dan jangkitan kulit, manakala masyarakat Amerika pula memanfaatkan khasiat peria untuk mengubati malaria dan demam.

Bagi masyarakat Melayu, selain dijadikan ulam, peria katak umpamanya, berperanan sebagai jus minuman harian kerana dipercayai menjadi penawar diabetes.

Sebenarnya, sejak zaman purba, peria banyak digunakan bagi merawat asma, sembelit, malaria, demam, selesema, cacing, batu karang, buah pinggang, buasir dan kulit melecur lantas menunjukkan kebaikan tumbuhan ini untuk dijadikan makanan harian.

Bantu rawat diabetes

Penyelidik mendapati peria memberi kesan hipoglisemik dan bertindak menurunkan paras gula dalam darah.

Cara paling mudah membantu merawat diabetes adalah dengan mengambil jus peria setiap pagi.

Bagi mengurangkan rasa pahit, peria boleh dicampurkan dengan epal hijau dan oren.

Khasiat peria katak

1. Membantu menyerapkan bahan terkandung pada peria ke dalam hati dan otot seterusnya merangsang kandungan glikogen untuk tenaga.

2. Melewatkan pengosongan uncang perut, meningkatkan sel beta dalam pankreas dan seterusnya melambatkan kadar penyerapan glukosa.

3. Mengandungi phytoinsulin yang boleh menurunkan kadar gula dan mampu menangani masalah berat badan berlebihan.

4. Kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, magnesium, folat, zink dan kadar Vitamin dua kali ganda berbanding brokoli.

5. Ada sejenis multi vitamin semula jadi kerana sarat dengan nutrisi dan 20 bahan kimia aktif bertindak sebagai anti HIV, anti diabetes dan anti kanser.

Keburukan peria katak

1. Cara penyediaan penting. Perlu dimasak dengan betul bagi mengelak kandungan racun yang boleh menyebabkan kesan toksik seperti cirit-birit, hipoglisemia, muntah dan jika tidak dirawat mungkin menyebabkan maut.

2. Sesuai dimakan bagi mengawal masalah diabetes tetapi perlu direbus atau direndam dengan air garam terlebih dahulu.

3. Penghidap diabetes yang bergantung pada ubat perlu merujuk kepada doktor terlebih dahulu kerana dibimbangi mengalami masalah hipoglisemia. Ia tidak boleh dicampur dengan ubat moden.