PROJEK PAN BORNEO TETAP DITERUSKAN


KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan akan meneruskan projek Lebuhraya Pan Borneo berdasarkan terma kontrak yang sudah dipersetujui antara pihak berkepentingan.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata bagaimanapun, mekanisme dan pelaksanaan projek pembinaan tertakluk kepada hasil penelitian semula yang sedang dijalankan bersama antara kementeriannya dengan Kementerian Kewangan.

“Kerja pembinaan bagi 11 pakej projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1, membabitkan laluan dari Teluk Melano hingga ke Miri dengan jarak anggaran sepanjang 786 kilometer (km) akan tetap diteruskan,” katanya ketika wawancara khas bersama NSTP, di pejabatnya, di sini.

Utama Jalan Persekutuan

Ketika ditanya keutamaan kementerian untuk menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo tanpa membantu kerajaan negeri membina jalan pesisir di Sarawak, Bian berkata, kerajaan mengutamakan untuk menaik taraf Jalan Persekutuan.

“Jalan Pesisir Pantai (Coastal Road) di Sarawak adalah jalan negeri iaitu di bawah bidang kuasa kerajaan Sarawak.

“Kementerian kini menumpukan usaha dalam menaik taraf Jalan Persekutuan sedia ada memandangkan ada kekangan kewangan kerajaan, namun sedia menyumbangkan nasihat dan kepakaran teknikal dalam pelaksanaan projek infrastruktur di Sarawak khususnya pembinaan Jalan Pesisir Pantai,” katanya.

Bian berkata, sebagai kerajaan beliau tidak akan menghukum tetapi akan tetap menghulurkan bantuan kepada kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ahli Parlimen Selangau itu berkata, Kerajaan Pusat sudah menyiapkan beberapa jambatan di Jalan Persisiran Sarawak iaitu Jambatan Sadong, Jambatan Kota Samarahan dan Jambatan Pusar.

Katanya, tiga lagi jambatan di laluan Persekutuan iaitu Jambatan Rambungan, Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Igan tertakluk kepada Bajet 2019 yang akan diumumkan November ini.

“Disebabkan keadaan kewangan negara kita agak ketat dan juga selaras dengan pekeliling Kementerian Kewangan bertarikh 29 Jun, jadi kita tertakluk dengan panduan itu.

“Sekiranya tiada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau surat perjanjian dikeluarkan, projek pembinaan jambatan akan ditangguhkan sementara sehingga keadaan kewangan negara pulih,” katanya.

Janji manifesto BN

Lebuhraya Pan Borneo adalah janji manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan menghubungkan Sabah dan Sarawak melalui Brunei serta rangkaian jalan raya Lebuhraya Trans-Kalimantan, Indonesia.

Lebuhraya sejauh 2,325km menyediakan laluan empat lorong dua hala itu dijadualkan siap pada 2022. Projek itu dibiayai Kerajaan Pusat dengan kos anggaran RM29 bilion.

Laporan sehingga 25 Mei lalu mengesahkan kira-kira 22 peratus pembinaan projek di Sarawak sudah siap dan ia merekodkan dua peratus ke depan mendahului jadual asalnya.

Bagaimanapun, kerja pembinaan sangat lambat di Sabah dengan kelewatan antara satu peratus hingga 36 peratus, bergantung kepada fasanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment