BUAH OREN LAWAN JANGKITAN KUMAN


SEBIJI buah oren mampu membekalkan pelbagai nutrien makanan semula jadi, selain penting untuk membekalkan serat dan meningkatkan kesihatan usus, berbanding pil vitamin C yang hanya mempunyai satu nutrien semata-mata

Pengerusi Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, Prof Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed, berkata buah oren dijadikan pilihan diet berdasarkan saranan Panduan Pemakanan Malaysia oleh Kementerian Kesihatan sekurang-kurangnya dua hidangan sehari.

Katanya, selain vitamin C dan mineral sama seperti buah-buahan lain, kandungan oren ‘phytonutrients’ seperti flavonoid iaitu bahan kimia semula jadi daripada tumbuhan mempunyai fungsi tertentu untuk penjagaan kesihatan.

Pengambilannya dalam diet harian memberi nilai ditambah kepada individu yang mengambilnya sebagai diet harian.

“Sebiji oren bersaiz sederhana (130g) mempunyai kalori yang sedikit (60 kalori) tetapi mampu membekalkan jumlah vitamin C kira-kira 70 mg (USDA Online Food Database).

“Menariknya, jumlah ini bersamaan saranan pengambilan Vitamin C (Recommended Nutrient Intakes for Malaysia, 2017) sehari untuk individu dewasa.

“Pengambilan sebiji oren membekalkan keperluan vitamin C sehari untuk seorang dewasa,” katanya.

Dr Hamid Jan berkata, vitamin C adalah nutrien penting berfungsi meningkatkan sel terutamanya di mukosa seterusnya melawan jangkitan kuman.

Vitamin C juga sejenis antioksidan berkesan mengurangkan kerosakan sel tubuh akibat kimia bahaya di persekitaran dan diet tidak sihat.

Oren mempunyai kandungan air, serat yang tinggi dan bagus untuk membantu proses pembuangan najis dengan mencegah sembelit.

“Serat membantu memastikan kesihatan usus dengan sempurna. Kaya vitamin A dan mineral seperti kalium,” katanya.

Dr Hamid berkata, mengenai jumlah terbaik pengambilan oren untuk orang dewasa, ia ada panduan pemakanan berdasarkan jenis buah.

Panduan umum mengambil pelbagai pilihan buah-buahan kerana mempunyai kebaikan dan zat tersendiri kepada tubuh jika diambil secara berterusan.

“Oren tidak boleh disamakan dengan jus oren komersial kerana katanya, kedua-dua pilihan itu mempunyai kandungan zat berbeza. Jus yang dijual secara komersial mengandungi gula yang tinggi.

“Individu boleh menghasilkan jus oren hasil perahan sendiri yang boleh diminum terus tanpa tambahan gula. Namun, kandungan serat lebih rendah apabila buah oren dijadikan jus kerana ditapis dan diasingkan daripada jus.

INFO

* Limonoids sitrus - kaya kalium, mineral elektrolit bertanggungjawab meningkatkan kesihatan jantung.

* Sebatian vitamin A (karotenoid) - mencegah degenerasi makula - membuatkan penglihatan semakin baik

* Vitamin C - melindungi sel dengan meneutralkan radikal bebas yang menyebabkan penyakit kanser dan jantung.

* Hesperidin flavonoid - mengawal tekanan darah tinggi dan magnesium mengekalkan tekanan darah.

* Beta karotena - bersifat antioksidan yang kuat melindungi sel-sel kulit daripada rosak dan radikal bebas, serta melambatkan proses penuaan.

No comments:

Post a Comment