KEPESATAN
dunia hari ini menuntut sebahagian individu untuk berada jauh daripada
keluarga. Antara faktor menyumbang fenomena ini ialah peluang pekerjaan
berstatus tetap di lokasi berbeza, jenis dan skop pekerjaan yang mempunyai
komitmen di lokaliti tertentu dan keperluan sesetengah jawatan penting di
kawasan ditetapkan.
Bagaimanapun, pandemik
COVID-19 yang melanda dunia menyebabkan lebih ramai orang terpaksa mengalami
perhubungan jarak jauh ini. Ibu ayah terpisah daripada anak-anak, suami tidak
berjumpa isteri untuk tempoh lama dan anak-anak lebih memilih untuk tidak
bersua orang tua kerana bimbang akan keselamatan mereka.
Justeru,
bagaimanakah kita dapat mengekalkan perhubungan jarak jauh ini terutama yang
disebabkan faktor COVID-19.
Pertama,
sentiasa berfikiran positif dan kekal berhubung ialah asas kepada pengukuhan
hubungan berkenaan. Walaupun tidak mampu menyamai perasaan ketika berada
berhampiran, kiriman ingatan seperti makanan kegemaran ataupun hadiah melalui
aplikasi pesanan dalam talian dapat meredakan ketegangan emosi ahli keluarga
tinggal berjauhan.
Kedua, penggunaan servis
kejutan hari istimewa disediakan pihak tertentu boleh menjadi antara usaha
mengeratkan kasih sayang sesama mereka.
Ketiga, di
sebalik kesibukan menjalani rutin harian, ingatan ringkas melalui pesanan suara
dan video pendek mampu menjadi penghapus kerinduan. Bagi anak yang tidak dapat
berada bertemu dengan ibu bapa disebabkan kekangan COVID-19, mereka boleh
bertanya khabar secara berterusan mengenai perihal mereka adalah satu kemestian.
Keempat, kita
perlu mengenali individu yang tinggal dalam kawasan kejiranan ibu bapa dapat
memastikan mereka sekeluarga tidak terputus hubungan.
Tidak
dinafikan, kehidupan suami isteri tinggal berjauhan adalah sesuatu mencabar
kerana tanggungjawab dipikul ada kalanya menjadi lebih berat apabila
bersendirian.
Justeru, tips
kelima adalah dengan bercerita mengenai kehidupan seharian antara sesama
pasangan dapat membuatkan ikatan menjadi lebih utuh. Contohnya, meluahkan
kelelahan di rumah ataupun tempat kerja dan berkongsi masalah dapat membuatkan
bebanan perasaan sedikit ringan.
Manusia ada
waktunya memerlukan sokongan daripada kumpulan. Oleh itu, tips keenam adalah
dengan menyertai kelompok mereka yang terbabit dalam hubungan jarak jauh ini,
mereka boleh berkongsi petua dan kekuatan serta menguatkan mental untuk
menempuhi hari mendatang.
Segala usaha
untuk menguatkan ikatan kekeluargaan ini akan tercapai apabila semua pihak cuba
untuk saling berhubung dan mengirimkan ingatan tidak kira dengan apa cara sekalipun.