Showing posts with label Tips Makan. Show all posts
Showing posts with label Tips Makan. Show all posts

TIPS REBUS TELUR SUPAYA MUDAH DIKUPAS DAN TAK MELEKAT

Nampak mudah tetapi sebenarnya, proses untuk merebus telur ini memerlukan teknik yang teliti. Mana tidaknya, jika tidak direbus dalam masa yang cukup, mestilah tidak menjadi telur rebus tersebut dan proses nak kupas kulit pun jadi rumit. Akhir sekali, bila nak masak rupa telur yang dikupas pun jadi tidak menarik.

Oleh itu, jika anda merupakan peminat telur rebus dan sering menggunakan telur rebus dalam masakan, anda kena cuba teknik untuk mendapatkan telur rebus yang cantik apabila dikupas. Barulah ‘flawless’ telur tu!

1.BASUH TELUR


Mula-mula, macam biasa basuhkan telur bersih-bersih dan masukkan ke dalam periuk dan tambah air. Tak perlu air mendidih baru nak masukkan telur ya.

2.GUNA GARAM DAN MINYAK MASAK

Kemudian, masukkan 1 sudu garam dan 1 sudu minyak masak. Inilah rahsianya yang menjadikan kulit telur mudah terasing daripada isinya.

3. REBUS

Tunggu telur siap direbus lebih kurang 10-15 minit atau sehingga air menggelegak.

4.RENDAM DAN KUPAS

Akhir sekali, rendamkan dalam air biasa sekejap untuk hilangkan panas. Bila dah agak suam, boleh terus kupas macam biasa. Hasilnya memang memuaskan dan memudahkan kerja!

Semoga bermanfaat!


5 RESEPI BERASAKAN TELUR YANG ANDA KENA CUBA.


Di kala perut tengah lapar, buka peti sejuk ada telur sahaja yang boleh dijadikan ‘juara’ utama dalam masakan. Apa yang boleh dimasak hanya dengan menggunakan telur? Mudah dan cepat, ini adalah antara 5 resipi yang lain dari lain berasaskan telur yang anda boleh cuba di rumah.

1. EGG DROP SOUP

Ini adalah antara menu ‘panas’ yang boleh dijumpai di mana-mana restoran makanan ala Cina. Bukan sahaja boleh dimakan atau dihirup begitu sahaja, egg droup soup ini juga sangat sesuai untuk dijadikan juadah kepada anak-anak yang kurang makan makanan pedas. Tapi, kalau anda suka rasa pedas boleh tambah cili padi dalam sup.

Untuk maklumat lanjut boleh klik entry ini >>   Resepi : Egg Drop Soup

2. PAJERI TELUR

Mungkin ramai dalam kalangan kita yang kurang familiar atau agak pelik dengan menu ini tetapi anda boleh mencubanya! Telur adalah salah satu alternatif yang boleh digunakan untuk masak pajeri selain dari nanas dan terung. Belum cuba belum tahu, mungkin anda bakal menggemari menu rare ini.

Untuk maklumat lanjut boleh klik entry ini >> Resepi : Pajeri Telur

3.  TELUR MASAK SOS

Ini merupakan menu wajib bagi orang bujang yang sangat popular. Paling senang untuk dimasak, jika ada telur sahaja dalam peti sejuk pun dah boleh dapat juadah makan tengahari atau makan malam yang sangat enak!

Untuk maklumat lanjut boleh klik entry ini >>  Resepi : Telur Masak Sos

4. TELUR BISTIK



Selalu pesan di restoran sahaja kan? Telur bistik ini boleh dikatakan antara juadah yang lengkap sama ada untuk makan tengahari atau makan malam. Boleh diubahsuai sama ada anda mahu letakkan isi bungkusan telur dengan ayam atau seafood, anak-anak pun akan suka dengan rasa telur bistik yang kurang pedas dan boleh dimakan bersama nasi.

Untuk maklumat lanjut boleh klik entry ini >> Telur Bistik

5. KERABU TELUR DADAR HIRIS


Kalau anda lebih gemarkan makanan yang lebih sihat, apa kata cuba kerabu telur dadar hiris ini. Boleh dimakan begitu sahaja atau bersama nasi, juadah ini memang sesuai dimakan kalau anda nak diet. Malam pun boleh makan lagi.

Untuk maklumat lanjut boleh klik entry ini >>  Resepi : Kerabu Telur Dadar Hiris

COKLAT RANGSANG EMOSI GEMBIRA


“Coklat? manis sangat, makan nanti gemuk”, itu ucapan biasa apabila ditawarkan coklat kepada mereka.

Hakikatnya apa saja manisan sekiranya dimakan berlebihan menyumbang kepada masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Bagaimanapun, pakar kimia dari Jerman, Justus Von Liebig mengesahkan coklat adalah makanan sempurna, di sebalik rasanya yang enak, kaya nutrisi tambahan yang memulihkan tenaga.

Amalan memakan coklat juga baik kerana dapat merembeskan hormon endorfin ke dalam otak yang merangsang emosi gembira, sekali gus mengatasi masalah kemurungan secara semula jadi.

Coklat pahit yang berwarna hitam antara yang terbaik kerana belum dicampur zat tambahan lain. Sekeping coklat pahit mempunyai 70 hingga 85 peratus koko, mengandungi 11 gram serat, 67 peratus zat besi, 58 peratus magnesium, 98 peratus mangan, kalium dan fosforus.

Lebih menarik apabila di dalamnya terkandung lemak tidak tepu baik untuk kesihatan. Coklat pahit kaya dengan antioksidan seperti polifenol, flayanol dan catechin, baik untuk kesihatan selain melindungi sel tubuh daripada radikal bebas.

Kandungan flayanol dalam coklat pahit berupaya merangsang endothelium yang digunakan untuk menghasilkan nitrik oksida yang berupaya melambatkan proses penuaan selain merendahkan tekanan dan melancarkan aliran darah.

Kesan kebaikan pengambilan coklat dalam menu harian, Harriston muncul sebagai pengeluar pertama di Asia memasarkan coklat keempat dunia, iaitu coklat ruby.

Coklat Ruby putih ditemui kira-kira 80 tahun lalu sebelum coklat gelap dan susu.

Sekali pandang, coklat Ruby seperti dicampur pewarna merah jambu atau perisa strawberi. Hakikatnya warna rubi itu terhasil daripada kekacang koko Ruby tanpa sebarang perisa atau pewarna tambahan.

Pengarah Eksekutifnya Harriston, Queenie Teng, berkata pihaknya bekerjasama dengan syarikat pengeluar coklat terkemuka dunia, Barry Callebaut untuk memasarkan manisan ini.

“Kami percaya keunikan rasa coklat Ruby memenuhi keinginan peminat manisan, khususnya pelanggan wanita. Jika sebelum ini kita agak stereotaip dengan pilihan coklat sedia ada, kekal dengan rasa manis dan susu, kini ada variasi rasa beri daripada biji koko asli.

“Coklat ini lebih menarik dan disukai wanita kerana rasa dan warnanya unik selain tinggi kandungan nutrisi.

“Malah mengeratkan hubungan kasih sayang antara pasangan atau keluarga dengan menikmatinya bersama-sama ,” katanya.

Info

Coklat gelap

* Mengandungi serat - 11 gram (gm)

* Zat besi - 67 peratus

* Magnesium - 58 peratus

* mangan, kalium dan fosforus - 98 peratus

Perbezaan coklat:

* Coklat putih

- Mengandungi kalsium bagi menguatkan tulang dan gigi.

- Membantu jantung, otot dan saraf untuk berfungsi normal.

- Antioksidan - meningkatkan kesihatan kardiovaskular

- Menurunkan tekanan darah.

- Mencegah hipertensi

- Tidur lebih nyenyak

- Meningkatkan daya ingatan.

* Coklat putih mengandungi mentega koko (20 peratus), pepejal susu (14 peratus), lemak susu (3.5 peratus) dan tidak lebih gula atau pemanis lain (55 peratus).

Coklat gelap

* Kandungan mentega koko tinggi

* Kurang susu berbanding coklat lain

* Antioksidan seperti polifenol

* Rendah gula.

* Flavanols merangsang endothelium iaitu lapisan arteri menghasilkan sejenis gas nitrik oksida.

* Mengurangkan tekanan darah.

PERIA KATA PENAWAR PENYAKIT


PERIA atau nama saintifiknya Momordica Charantia, sejenis sayuran pahit rasanya tetapi memiliki seribu satu khasiat kepada kesihatan manusia.

Dalam perubatan Ayurveda misalnya, masyarakat India menggunakan peria katak bagi merawat ekzema dan jangkitan kulit, manakala masyarakat Amerika pula memanfaatkan khasiat peria untuk mengubati malaria dan demam.

Bagi masyarakat Melayu, selain dijadikan ulam, peria katak umpamanya, berperanan sebagai jus minuman harian kerana dipercayai menjadi penawar diabetes.

Sebenarnya, sejak zaman purba, peria banyak digunakan bagi merawat asma, sembelit, malaria, demam, selesema, cacing, batu karang, buah pinggang, buasir dan kulit melecur lantas menunjukkan kebaikan tumbuhan ini untuk dijadikan makanan harian.

Bantu rawat diabetes

Penyelidik mendapati peria memberi kesan hipoglisemik dan bertindak menurunkan paras gula dalam darah.

Cara paling mudah membantu merawat diabetes adalah dengan mengambil jus peria setiap pagi.

Bagi mengurangkan rasa pahit, peria boleh dicampurkan dengan epal hijau dan oren.

Khasiat peria katak

1. Membantu menyerapkan bahan terkandung pada peria ke dalam hati dan otot seterusnya merangsang kandungan glikogen untuk tenaga.

2. Melewatkan pengosongan uncang perut, meningkatkan sel beta dalam pankreas dan seterusnya melambatkan kadar penyerapan glukosa.

3. Mengandungi phytoinsulin yang boleh menurunkan kadar gula dan mampu menangani masalah berat badan berlebihan.

4. Kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, magnesium, folat, zink dan kadar Vitamin dua kali ganda berbanding brokoli.

5. Ada sejenis multi vitamin semula jadi kerana sarat dengan nutrisi dan 20 bahan kimia aktif bertindak sebagai anti HIV, anti diabetes dan anti kanser.

Keburukan peria katak

1. Cara penyediaan penting. Perlu dimasak dengan betul bagi mengelak kandungan racun yang boleh menyebabkan kesan toksik seperti cirit-birit, hipoglisemia, muntah dan jika tidak dirawat mungkin menyebabkan maut.

2. Sesuai dimakan bagi mengawal masalah diabetes tetapi perlu direbus atau direndam dengan air garam terlebih dahulu.

3. Penghidap diabetes yang bergantung pada ubat perlu merujuk kepada doktor terlebih dahulu kerana dibimbangi mengalami masalah hipoglisemia. Ia tidak boleh dicampur dengan ubat moden.

PERBEZAAN 4 JENIS YOGURT YANG PALING BIASA DIJUAL DI PASARAN MALAYSIA


Akhir-akhir ini nampaknya makin ramai nak cuba diet dan ubah cara pemakanan. Dalam nak diet tu, biasanya yogurt akan dimasukkan ke dalam salah satu senarai wajib beli. Boleh buat salad dressing, boleh buat overnight oat, atau boleh juga dimakan begitu saja. Selain itu, ada juga mak-mak yang gemar bagi bayi makan yogurt oleh kerana komposisi nutriennya yang baik.

Umumnya, yogurt mengandungi sumber protein kalsium dan probiotik yang bagus untuk pencernaan. Tapi sekarang ni dah macam-macam jenis yogurt yang ada dekat rak pasaraya sampai keliru nak pilih yang mana, kan?

Jadi jom ketahui lebih lanjut tentang 4 jenis yogurt yang paling biasa kita jumpa di pasaran dan apa beza setiapnya.

PERBEZAAN 4 JENIS YOGURT YANG PALING BIASA DIJUAL DI PASARAN MALAYSIA

1. NATURAL / PLAIN YOGURT
Natural atau plain yogurt adalah yogurt kosong yang tidak ditambah sebarang perasa. Oleh sebab itu, yogurt jenis ini adalah pilihan yang paling sering digunakan dalam masakan sama ada jenis pencuci mulut, kek atau lauk-pauk.

Kadangkala, plain yogurt ini juga dilabel dengan perkataan whole milk atau full fat yogurt.

Jangan takut dengan tulisan fat atau lemak pada yogurt jenis ini kerana kajian mendapati lemak yang terdapat dalam yogurt jenis ini adalah lemak sihat dan bukanlah jenis lemak tepu.

Salah satu kebaikan yogurt jenis ini ialah ia jarang ditambah dengan sebarang pemekat atau bahan tambahan yang digunakan dalam low fat atau non fat yogurt. Oleh sebab itu, yogurt jenis ini sesuai untuk diberikan kepada bayi atau anak kecil sebagai makanan tambahan.

Tips: Anda boleh mengolah rasa natural / plain yogurt dengan menggunakan buah-buahan segar seperti strawberry, pisang, mangga dan sebagainya untuk mendapatkan tekstur dan rasa yang lebih sedap!


2. LOW FAT YOGURT / NON FAT YOGURT
Yogurt jenis ini biasanya menjadi pilihan ramai kerana labelnya yang terang-terang tertulis non-fat atau low-fat. Tapi tahukah anda apa sebenarnya maksud di sebalik label ini?

Menurut aboutyogurt.com, yogurt yang diperbuat daripada whole milk memiliki sekurang-kurangnya 3.25% lemak. Low-fat yogurt pula diperbuat daripada susurendah lemak dengan kandungan lemak antara 2% hingga 0% lemak. Sementara itu, non-fat yogurt pula diperbuat daripada susu skim dan memiliki kurang daripada 0.5% lemak.

Wah, adakah ini bermaksud yogurt jenis ini lebih sihat? Tidak juga. Menurut BusinessInsider.com, yogurt jenis ini biasanya akan ditambahkan dengan lebih banyak bahan penstabil / pemekat di samping gula atau bahan pemanis seperti corn syrup, fructose bagi menjadikan rasanya sedap. Ini kerana, dengan membuang kandungan lemak daripada yogurt, tekstur yogurt akan berubah dan rasanya menjadi kurang enak. Selain itu, ia juga mungkin dicampur dengan krim, buttermilk, atau susu skim bagi mendapatkan tekstur yang ideal agar dapat dijual di pasaran.

Tips: Apabila memilih low-fat atau non-fat yogurt, pastikan anda membaca ramuannya dengan teliti sebelum membeli. Lebih pendek senarai bahannya, lebih baik.


3. GREEK YOGURT
Greek yogurt sememangnya makin popular, terutamanya di kalangan anda yang health conscious atau mereka yang tengah diet. Rasanya agak masam berbanding yogurt biasa dan ia memiliki tekstur yang lebih kental.

Jadi, kenapa ia menjadi pilihan ramai sejak akhir-akhir ini? Ini kerana, Greek yogurt memiliki kandungan protein hampir 2 kali ganda dan kurang laktosa / gula di dalamnya.

Menurut LiveStrong.com, proses pembuatan Greek yogurt ini disaring 3 kali berbanding yogurt biasa yang mengalami 2 kali penyaringan. Sisa cairannya (whey) dibuang dalam proses tersebut lalu menjadikan Greek yogurt lebih kental dan tinggi kandungan proteinnya. Maksudnya memang tepatlah pilihan orang yang tengah diet untuk makan yogurt jenis ini kerana nilai kalorinya juga lebih rendah ( sebab kurang gula dan karbbohidrat). Maka, tak hairanlah harganya juga lebih mahal!

Tips: Selain dimakan dengan buah-buahan, ia juga sesuai dijadikan sos dalam sandwich atau salad anda.


4. YOGURT BERPERISA
Yogurt berperisa buah-buahan seperti mangga, strawberry, pic, dan kiwi memang sedap dimakan begitu saja. Ia juga biasa didatangkan dalam bekas yang kecil dan mudah dinikmati di mana-mana. Ada yang jenis low-fat, non-fat, atau jenis yang biasa.

Namun begitu, kebanyakan yogurt berperisa ini memiliki tinggi kandungan gula atau pemanis walaupun ianya versi low-fat atau non-fat. Apa yang perlu anda faham, manfaat yogurt adalah lebih baik sekiranya ia kurang mengalami proses pengolahan sama ada dari segi rasa mahupun tekstur.

Tips: Jika anda salah seorang penggemar yogurt jenis ini, salah satu tips yang boleh anda lakukan adalah dengan mencampurkan yogurt berperisa dengan plain yogurt untuk mengurangkan rasa manisnya dan menambah nutrisinya. Bahagikan semula kepada 2 portion – 1 portion untuk anda makan dan simpankan 1 portion untuk dinikmati kemudian.


JADI, MANA YANG PALING BAGUS?
Memang banyak jenama yogurt yang boleh didapati sama ada keluaran Malaysia ataupun luar negara. Setiapnya memiliki kandungan nutrien yang hampir sama berdasarkan label-label di atas.

Apapun, cara menikmati yogurt yang terbaik adalah
  • memilih yang plain / tanpa perasa
  • perasakan dengan buah-buahan sebenar
  • mengambil dalam kuantiti sederhana

Jangan lupa, periksa dulu label pada setiap pek yogurt bagi memastikan kandungan nutrisinya. Yang penting, pelbagaikan juga hidangan harian anda dengan nutrisi dalam piramid makanan dan amalkan juga cara memasak yang sihat seperti mengukus.

TIPS SUPAYA TELUR SIK CEPAT ROSAK, PERLU BASUH KA SIK?


Perlu basuh dahulu atau tidak telur ayam sebelum disimpan? Atau perlu basuh hanya ketika mahu menggunakannya sahaja? Ini adalah antara beberapa persoalan yang sering berada dalam fikiran kita. Mana tidaknya, ada orang yang cakap kalau mahu telur tidak cepat rosak, ada dinasihatkan tidak membasuh telur tersebut. Jadi, untuk merungkai kepada persoalan ini jom kita baca perkongsian dari pakar.

JAWAPAN PAKAR
“Doktor, betul ke kalau nak telur tak cepat rosak, jangan cuci telur tu?”

Macam-macam pendapat, ada yang kata basuh dulu sebelum simpan sebab nak elak pencemaran dari tahi ayam. Ada pula yang kata jangan basuh dulu sebab nanti telur cepat rosak. Mana yang betul? Jom lihat penjelasan pada kedua-dua pendapat ini.

1. JANGAN BASUH SEBELUM SIMPAN


Kalau kalian nak tahu, semasa proses bertelur ayam keluarkan sejenis cecair dikenali sebagai egg bloom atau cuticle. Ianya umpama protective layer yang melitupi liang-liang di seluruh permukaan telur untuk elak kemasukan kuman ke dalam telur selain bantu kekal kelembapan dengan cara mencegah air dari meruap keluar dari kulit telur.

Jika basuh sebelum disimpan protective layer ni akan menipis / hilang. Inilah asas kepada pendapat yang tak galakkan telur dibasuh sebelum disimpan. Tapi… kalau ada najis pada kulit telur, takkan nak simpan terus? Kotor dan berkuman, kan?

2.BASUH SEBELUM SIMPAN


Najis dan kulit telur boleh tercemar dengan kuman seperti Salmonella, dan ia boleh berpindah kepada makanan lain yang disimpan dalam peti sejuk. Walaupun peti sejuk berada suhu yang rendah (4°C ke bawah) yakni bebas dari zon suhu bahaya (5°C-63°C), kita tetap perlu beringat!

Pada suhu itu, kuman tidak mati. Mereka hanya dorman(kurang aktif). Maka, kerosakan pada telur boleh berlaku walaupun pada kadar yang rendah. Jadi perlu basuh buang najis pada kulit telur agar bersih dan tiada kontaminasi silang. Kalau simpan diluar pula, telur lagi akan cepat rosak.

3. AMALAN MANA YANG BETUL?


Tak usah gaduh-gaduh. Dua-dua betul dan boleh diamalkan. Kita ambil sikap diplomatik dan dasar terbuka. Kahkahkah macam politik pulak! Kalau ada tahi yang jelas kelihatan, basuhlah telur-telur yang tercemar itu terlebih dahulu. Kita pun tak mahu peti sejuk kita dicemari kuman.

Tak perlulah sental kuat-kuat kulit telur tu sampai hilang semua protective layer-nya. Sekadar hilangkan najis. Kemudian simpan dalam bekas bertutup. Bila nak memasak nanti, beri keutamaan pada telur yang telah dibasuh dahulu kerana ia lebih berpotensi dimasuki kuman dan rosak.

Telur yang tidak dibasuh sebelum simpan, hendaklah dibasuh sebelum digunakan. Nak sental sampai berkilat pun tak apa, asalkan tak guna wax kereta suami kalian. Hehe. Oh ya! Pastikan masak telur dengan sempurna untuk elakkan keracunan.

Semoga bermanfaat!

RESEPI : TELUR BISTIK


Bahan-bahan diperlukan:

  • 3 biji telur
  • 1/4 biji capsicum hijau - di dadu kasar
  • 1/4 biji capsicum merah - didadu kasar
  • 1/2 biji tomato - di potong baji
  • 1 keping nenas - di dadu kasar
  • 1 ulas bawang besar - di potong dadu
  • 2 sudu makan cili kisar@ cili boh
  • 3 sudu makan sos cili life @ sos cili thai
  • 2 sudu makan sos tomato
  • 1/2 cawan air
  • garam,gula, secukup rasa

Cara menyediakan dan memasak:

  1. Pukul telur dan masukkan secubit garam. Goreng mcm nak buat telur dadar. Angkat dan ketepikan dalam pinggan
  2. Tumis Bawang, capsicum dan tomato hingga layu. Masukkan cili kisar. goreng hingga pencah minyak. kemudian masukkan sos tomato, sos cili dan sedikit air
  3. Masukkan nenas. Masak sehingga mendidih. boleh letak garam dan gula @ serbuk perasa. Rasala masam manis yang disukai..
  4. Tuang kuah td ke atas telur..Siap sedia utk di makan

MASAK BUBUR 10 MINIT SIAP! BOLEH CUBA.


Ibu-ibu yang mempunyai anak kecil pasti tahu apa perasaan nak masak bubur kan? Mengambil masa lebih kurang 30-45 minit untuk selesai masak bubur nasi adalah perkara yang ingin dielak oleh kaum ibu. Maklumlah, ada yang bekerja atau yang berada di rumah pun masih mempunyai kerja lain untuk disiapkan. Jadi, jom ikut cara ibu ini yang hanya ambil masa selama 10 minit untuk masak bubur untuk anak!

MASAK BUBUR 10 MINIT SIAP!

1. Basuh beras bersih-bersih , masukan dalam bekas dan isikan air.


2. Simpan beras tadi dalam peti sejuk beku semalaman, sebelah tu ayam untuk masak bubur anak, pack siap-siap senang nak masak nanti.

3. Time ni anda boleh letak sayur atau apa-apa bahan lain, agak mengelegak terus masukan beras yang beku tadi.

4. Semua dah bersatu mcm ni tunggu 10 minit pastikan api sederhana kecil tau.


5. Tadaaa..siap..setelah 10minit!


6. Dah siap masak tadi pun Scha blend dan masukan dalam bekas mcmni. Simpan dalam peti sejuk, time anak nak makan keluarkan satu bekas rendam guna air panas. Sehari 3 kali anak pun, Scha makan sebekas beras tadi boleh dapat 5 bekas.


Mudahnya! Tak perlu tunggu lama nak siap masak bubur ni.

RESEPI : TELUR MATA MASAK SOS


Bahan-bahan diperlukan:

  • 2 Biji telur ayam (digoreng menjadi telur mata kerbau)
  • 1 Biji bawang merah (dipotong halus)
  • 2 Ulas bawang putih (dipotong halus)
  • 1 Sudu besar cili boh & giling
  • 2 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos tomato
  • Sedikit garam & gula

Cara menyediakan dan memasak:

  1. Panaskan kuali. Masukkan bawang merah + bawang putih yang sudah dipotong2 halus. Goreng sampai warna kekuning-kuningan & naik bau
  2. Masukkan 1 sudu cili boh (kalau suka pedas, bley tambah lagi). Tumis sehingga lada masak (warna lada bertukar ke merah gelap). Masukkan sedikit gula (membantu masakkan lada tuh… pesan mak)
  3. Tambahkan sedikit air, sos cili dan sos tomato (Kalau nak kuah yang pekat… tambah air sedikit jer). Teruskan menumis.
  4. Masukkan sedikit garam dan telur mata kerbau yang dah digoreng tadi dan teruskan kacau. Biarkan lama sedikit supaya kuah dapat menyerap ke dalam telur. Siap!!

RESEPI : EGG DROP SOUP


Bahan-bahan diperlukan:
Bahan-bahan:
- 2 biji telur
- 1 sudu kecil tepung jagung
- 2 cawan stok ayam
- 1 sudu besar minyak bijan
- Tepung jagung (dibancuh dengan air)
- 1 sudu kecil garam
- Daun bawang (jika mahu)


Cara menyediakan dan memasak:
Cara-cara:
1. Gaul telur dengan 1 sudu kecil tepung jagung.
2. Di dalam periuk, panaskan stok ayam dan minyak bijan.
3. Masukkan bancuhan tepung jagung dan biar mendidih.
4. Tuang adunan telur perlahan-lahan dan teruskan mengacau.
5. Masukkan garam dan kacau.
6. Siap untuk dihidang! Tabur dengan daun bawang jika mahu.

RESEPI : KERABU TELUR DADAR HIRIS


Bahan-bahan diperlukan:
  • 4 biji telur 
  • Garam secukup rasa 
  • 2 sudu makan minyak masak 
  • 10 tangkai daun kesum (Dihiris)
  • 1 labu bawang besar   (Dihiris)
  • 5 biji cili api   (Dihiris)
  • 2 biji cili merah   (Dihiris)
  • 1 batang timun   (Dihiris)
  • 1 kuntum bunga kantan   (Dihiris)
  • 1 sudu makan sos ikan 
  • 2 sudu makan jus limau

Cara menyediakan dan memasak:
  1. Pukul telur bersama sedikit garam. 
  2. Panaskan minyak masak di dalam kuali leper dan dadarkan telur tadi. 
  3. Gulungkan dan hiris nipis. 
  4. Masukkan bahan hiris ke dalam mangkuk besar. 
  5. Masukkan telur, sos ikan, jus limau, dan garam. Gaul rata.
  6. Hidangkan.

RESEPI : PAJERI TELUR


Bahan-bahan diperlukan:

  • 4 biji telur (Direbus) 
  • ½ inci halia (Dihiris)
  • 5 biji bawang merah (Dihiris)
  • 2 ulas bawang putih (Dihiris)
  • 1 inci kulit kayu manis 
  • 3 sudu makan rempah kari ikan (Dibancuh dengan air) 
  • 1 cawan santan pekat 
  • 2 sudu makan kerisik 
  • 2 sudu makan gula  
  • 4 sudu makan minyak masak 
  • Garam secukup rasa

Cara menyediakan dan memasak:

  1. Panaskan minyak di dalam periuk dan tumiskan bahan yang dihiris, 
  2. kulit kayu manis, dan rempah kari sehingga pecah minyak. 
  3. Masukkan santan, telur, kerisik, gula dan garam. 
  4. Masakkan sehingga mendidih dan pekat. 
  5. Sedia dihidangkan.