Showing posts with label Kuching. Show all posts
Showing posts with label Kuching. Show all posts

KUIH BUNGKO SIBO BILAL MASJID AT TAQWA GITA, KUCHING, SARAWAK

Diusahakan oleh pemuda, Ahmad Nazib Bin Zaidi yang juga merupakan Bilal di Masjid At-Taqwa Kampung Gita Kuching, Kuih Bungko Sibo tidak asing lagi bagi ahli masjid dan surau sekitar Kuching.

Memiliki rasa yang tersendiri dan jarang didapati ditempat lain Kuih Bungko Sibo ini merupakan hasil sentuhan bapa mertua beliau.

Rasa yang sedap dan harga yang berpatutan merupakan kunci sebenar Kuih Bungko Sibo ini diminati ramai dan seringkali menerima tempahan daripada orang ramai. Tidak kurang juga ada yang membeli dengan niat untuk bersedekah ke masjid-masjid dan surau di sekitar Kuching.



Semoga rezeki anak muda ini dipermudahkan dan mungkin Kuih Bungo Sibo boleh berkembang maju dan terbang jauh kehadapan.

PELAJAR SPM SMK PETRA JAYA JATUH DARI TINGKAT TIGA BAGUNAN SEKOLAH

Hari pertama sesi persekolahan di SMK Petra Jaya di sini bertukar tragedi apabila salah seorang pelajar jatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah tersebut.

Kejadian yang dipercayai berlaku sekitar jam 6.30 pagi, ketika pelajar berkenaan berada berhampiran bilik darjahnya.

Mangsa yang berusia 17 tahun dari Kampung Tupong Batu di sini kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak menggunakan ambulans dan keadaan dilaporkan stabil.

Hari ini merupakan hari pertama persekolahan, untuk calon-calon yang mengambil peperiksaan awam.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

SEKITAR PANTAI DAMAI DAN SUNSET


Mengambil masa kira-kira 40 minit perjalanan dari Kuching, Pantai Damai ini terletak di kaki Gunung Santubong dan bersebelahan dengan Kampung Budaya Sarawak (Sarawak Culture Village) yang merupakan lokasi berlangsungnya Rainforest World Music Festival yang diadakan setiap tahun.

Selain daripada itu, pemandangan mentari senja atau sunset juga menarik ratusan pengunjung berkumpul dihadapan pantai ini setiap hari dan keadaan semakin meriah pada hujung minggu.









AIR PANCUT BERIRAMA MEMANG MENELAN KOS BESAR


KUCHING : Kos besar sememangnya diperlukan untuk pembinaan air pancut berirama, jelas Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip.

“Sangat mengejutkan Yang Berhormat bagi Pending mendakwa projek Musical Fountain Darul Hana ini dapat disiapkan dengan kos hanya RM5 juta jika dilaksanakan secara tender terbuka,” jelasnya dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.

Antara contoh projek air pancut berirama yang mahal adalah Song of the Sea di Pantai Siloso, Sentosa di Si-ngapura (RM91 juta/$30 juta dolar Singapura) dibina pada 2017 dan Dubai Fountain (RM910 juta/AS$218 juta) dibina pada 2009.

“Ini kos pembinaan dan teknologi 10 tahun yang lepas, sekarang sudah tentu kosnya jauh lebih tinggi,” jelas beliau.

Kerajaan Sarawak katanya, bersedia berkongsi reka bentuk dengan pembangkang untuk melaksanakan projek ini dengan kos RM5 juta.

Beliau menambah, projek bernilai RM31 juta itu sangat kompleks dan memerlukan kepakaran khusus kerana beroperasi menggunakan teknologi terkini dengan pontun selebar 100 meter berserta 372 ‘nozzle’ khas dengan keupayaan pancutan air ‘central spray’ setinggi 60 meter dan ‘cascade fountain’ 25 meter.

Ia juga dilengkapi ciri-ciri unik dengan dinding air berketinggian sembilan meter dan 80 meter panjang sebagai latar belakang pancutan air.

Takungan air di bahagian dinding air direka bersama jubin khas, memberi sentuhan semula jadi terhadap projek ini.

“Ia dilengkapi dengan ‘water screen’ untuk tayangan audio visual. Projek ini juga melibatkan pembinaan ‘walkway waterfront’, bilik kawan berkomputer, ‘sub-station’ elektrik, sistem cahaya serta bunyi dan hiasan landskap,” jelasnya.

Projek telah dilaksanakan melalui kaedah reka dan bina dan mematuhi prosedur operasi standard DBKU dan Regulation 221 Part VII Local Authorities Financial Regu-lation 1997.

Di samping itu, kos projek telah dibentang dan melalui ‘Special Cost Committee’ yang dipengerusikan setiausaha kewangan negeri.

Skop kontrak juga meliputi dua tahun kos penyelenggaraan dan lima tahun jaminan rekaan.

Mengenai isu projek solar hibrid, isu sedang ditangani Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di mana beberapa saksi telah dipanggil untuk diambil keterangan. 

Projek adalah untuk membekalkan tenaga elektrik kepada luar bandar di Sarawak melibatkan syarikat swasta iaitu Jepak Holdings.

“Dakwaan mengatakan ada usaha untuk menutup kes ini ternyata sekali satu tohmahan berniat jahat untuk mencalar imej baik Kerajaan Sarawak. Inilah kerja mereka yang penuh dengan agenda politik tanpa mengira kesannya kepada rakyat,” tegas beliau.

Menurut Talib, objektif pembangkang adalah untuk menanam di pemikiran rakyat secara konsisten agar rakyat terpengaruh dengan tohmahan mereka tanpa sebarang bukti, tidak kira sama ada cerita tersebut benar atau tidak. - Utusan Borneo

PERGINYA ANAK SYURGA BUAT SELAMANYA - KUCHING, SARAWAK


Hyla Maghfiratul Jannah yang bermaksud Petunjuk Syurga dilahirkan pada 25 Oktober 2018 dengan penuh kesempurnaan sehingga disahkan menghidapi masalah jantung sebelah kiri Hypoplastic left syndrome - HLHS

Setelah 9 hari hadir ke dunia anak syurga ini menghembuskan nafas terakhir nya pada 2 November tepat jam 7.35 malam dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Semariang, Kuching pada 3 November. Kisah ini dikongsikan sendiri oleh bapa kepada anak syurga ini di ruangan facebok miliknya.



Tarikh pengebumian anak syurga ini iaitu 3 November sepatutnya diadakan majlis doa selamat dan solat hajat. Segala persediaan untuk majlis berkenaan telah dirancang dan hanya menunggu hari untuk berlangsungnya majlis kesyukuran itu. Namun, kehendak Allah mengubah segala aturan manusia, majlis doa selamat bertukar ke majlis tahlil. 

Namun begitu, bapa kepada anak syurga ini tetap tabah dan redha atas pemergian anak tercinta dan besyukur atas pemberian anugerah terindah dari Allah itu walaupun hanya sekejap. Arwah Hyla Maghfirahtul Jannah sempat menggengam erat tangan bapanya sebelum pergi buat selamanya.

Sekitar April lalu, saya juga turut menceritakan berkenaan Anak Syurga : Khabar Gembira Kepada Ibu Bapa Dari Allah.







Semoga keluarga anak syurga ini tabah menghadapai dugaan ini. Al-Fatihah.


AREA 24 : MASAKAN BARAT DI HIDANG DALAM TALAM DI KUCHING. WAJIB TRY!!


AREA 24, mungkin ramai yang kenal dan mungkin juga pertama kali anda mendengar perkataan 'AREA 24'.

Kedai makanan yang menyediakan makanan ala barat ini beroperasi di Lorong 1 Taman Matang Jaya, Kuching bermula 4 petang.

Berdasarkan pengalaman merasi sendiri hidangan yang disediakan di sini, memang padu beb.. 5 bintang memang layak untuk hidangan yang disediakan. Kenyang sampai pecah perut. Tak makan 3 hari selepas makan di AREA 24 pun tak apa. Haha

Selain itu, komen-komen positif melalui review di facebook juga menunjukkan bahawa semua masakan di sini berada dalam kelas tersendiri.


Menu yang disediakan dengan harga kasih sayang.










AKSESORI KESELAMATAN PROJEK PAN BORNEO SASARAN PENCURI


KUCHING: Kecurian aksesori amaran keselamatan yang diletakkan oleh kontraktor projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo negeri ini, menjadi antara punca kurangnya aspek keselamatan di laluan berkenaan yang turut dikhuatiri mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Davina Agnes Enteli berkata, berdasarkan aduan oleh kontraktor, masalah kecurian itu berlaku di beberapa lokasi sepanjang projek mega itu.

Beliau berkata, aksesori yang menjadi sasaran utama pencuri adalah lampu berkelip, penghadang plastik dan papan tanda yang dibuat daripada aluminium atau besi.

"Aksesori amaran dan peringatan yang diletakkan untuk keselamatan pemandu kenderaan di sesetengah laluan Pan Borneo yang sedang dibina sering dicuri, dan setiap kali diganti, ada sahaja yang kena kebas," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Davina berkata, antara lokasi projek yang berhadapan masalah itu adalah di laluan Batu 11 hingga Batu 15, Jalan Kuching-Serian.

Katanya, laluan itu menerima banyak aduan daripada pengguna jalan raya berhubung aspek keselamatan yang kurang memuaskan, terutama pada waktu malam.

"Banyak aduan diterima mengenai projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di laluan ini, mungkin kerana ia di laluan trafik yang aktif.

"Namun, masalah kecurian aksesori amaran dan peringatan turut menjadi punca kepada masalah ini dan bukannya kontraktor semata-mata," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan kontraktor yang melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo, khususnya di laluan trafik yang aktif supaya sentiasa mematuhi Pelan Pengurusan Trafik, untuk memastikan tidak berlaku masalah, terutama dari aspek keselamatan kepada orang ramai.

Selain itu, Davina berkata aduan lain yang sering didengar adalah mengenai terhadap kawalan lalu lintas atau 'flag man' yang tidak mahir.

"Mereka (flag man) sudah diberi latihan oleh polis mengenai cara mengawal lalu lintas, namun agak sukar juga untuk melaksanakan kawalan dengan sempurna, terutama di laluan pembinaan berisiko tinggi," katanya.

PEMBINAAN LEBUH RAYA PAN BORNEO BERJALAN LANCAR


KUCHING : Projek Lebuh Raya Pan Borneo di negeri ini, membabitkan 11 pakej kerja yang dilaksanakan melalui konsep Rakan Pelaksana Projek (PDP), berjalan lancar.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata keseluruhannya projek infrastruktur mega itu mendahului jadual, kecuali empat pakej kerja mengalami kelewatan sedikit disebabkan beberapa perkara teknikal.

Katanya, empat pakej kerja itu membabitkan jajaran Jalan Nyabau ke Persimpangan Bakun, selain Bulatan Serian ke Persimpangan Pantu, diikuti Batang Skrang ke Jambatan Sg Awik dan Jambatan Sg Awik ke Persimpangan Bintangor. 

"Kita memantau rapi projek ini dan saya tahu ada beberapa cabaran, terutama berkaitan isu pengambilalihan tanah, tetapi saya percaya kontraktor dilantik dapat menyiapkannya mengikut jadual," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Komuniti dan Belia Bersama Pemimpin di Surau Al-Ansar Taman Yen-Yen, di sini hari ini. 

Bagi memastikan kelancaran pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, Fadillah turut mengingatkan kontraktor supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), khususnya membabitkan pengurusan trafik. 

Katanya, aspek pematuhan SOP itu penting bagi memastikan kelancaran projek, selain memastikan keselamatan pengguna lalu lintas.

"Tujuh lagi pakej kerja yang mendahului jadual ialah jajaran Telok Melano - Sematan, Sematan - Sungai Moyan, Persimpangan Bintangor - Persimpangan Julau dan Lapangan Terbang Sibu - Jambatan Sungai Kua.

"Tidak ketinggalan laluan menghubungkan Jambatan Sg Kua ke Jambatan Sungai Arip, Jambatan Sungai Arip - Persimpangan Lapangan Terbang Bintulu, Batu 5 - Jejambat Nyabau - Persimpangan Jalan Bakun - Sungai Tangap dan Sg Tangap ke Jalan Link dan Jalan Pujut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, kerja menaik taraf jalan dan Jambatan Emart menuju ke Stapok, Batu Kawa juga berjalan dengan lancar. 

Jelasnya, pembinaan jambatan sudah siap sepenuhnya dan kini dalam proses menyiapkan sistem perparitan dan jalan. 

"Mengikut kontrak, projek ini patut disiapkan menjelang penghujung bulan depan. Projek ini sudah mencapai kemajuan 90 peratus. Dengan adanya projek ini, kita berharap dapat menangani masalah kesesakan trafik," katanya. - Berita Harian

PROJEK LEBUHRAYA PAN BORNEO IKUT JADUAL


KUCHING: Sebanyak 10 daripada keseluruhannya 11 pakej Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak, yang dilaksanakan di bawah konsep Rakan Pelaksana Projek (PDP) adalah mendahului jadual ditetapkan.

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pembinaan lebuh raya itu yang juga antara projek infrastruktur mega di negeri ini, dipantau dari ke semasa ke semasa, malah mendahului tempoh ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan hanya pakej membabitkan jajaran dari Telok Melano, Sematan ke Bandaraya Kuching menghadapi sedikit kelewatan sebelum ini disebabkan isu pemilikan tanah, namun berjaya diselesaikan dan kerja-kerja pembinaan kini berjalan mengikut jadual.

"Kita memantau rapi perkembangan projek ini, malah syarikat pengendali projek, Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) sentiasa mengambil tindakan proaktif menyelesaikan segala kekangan bagi memastikan setiap pakej disiapkan mengikut jadual dirancang.

"Keseluruhannya, Kerajaan Persekutuan melalui kementerian saya berpuas hati dengan perjalanan projek, dengan 10 pakej kerja daripada jumlah keseluruhan pakek berjaya dilaksanakan mendahului jadual," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan mengejut ke salah satu tapak pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Batu 15, Jalan Kuching-Serian, di sini petang tadi.

Sementara itu, Fadillah berkata hasil pemantauan pihaknya mendapati berlaku sedikit kelewatan pelaksanaan projek Batu 15, Jalan Kuching Serian, yang sepatutnya sudah mencapai 75 peratus siap.

Katanya, antara faktor kelewatan yang dikenalpasti menimbulkan kekangan itu ialah cabaran untuk mengalihkan kemudahan utiliti berkaitan, selain beberapa masalah teknikal.

"Semua masalah ini dapat diselesaikan dan kita sudah mengerahkan pihak kontraktor untuk mencari jalan bagaimana untuk mempercepatkan pelaksanaan projek," katanya.

Dalam lawatan mengejut beliau, Fadillah turut menegur pihak kontraktor supaya memastikan semua program pengurusan trafik dipatuhi bagi memastikan keselamatan dan keselesaan kepada pengguna jalan raya walaupun dalam tempoh pembinaan projek.

"Teguran saya untuk mereka mempertingkatkan sistem kerja. Keseluruhannya, saya boleh katakan agak berpuas hati dengan kerja dilaksanakan pihak kontraktor. Untuk pakej Batu 15, Jalan Kuching-Serian, kita menjangkakan projek ini dapat disiapkan pada April tahun depan," katanya.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya kemudiannya melakukan lawatan mengejut ke tapak pembinaan Jambatan Batang Samarahan bagi melihat sendiri pelaksanaan projek itu.

"Setakat ini, laporan atas kertas mengatakan projek ini berjalan agak lancar, cuma kami nak melihat sendiri pelaksanaan projek berkenaan," katanya.

DANA RM500 JUTA UNTUK SUB KONTRAKTOR LEBUHRAYA PAN BORNEO


KUCHING: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (PENERAJU) hari ini memeterai perjanjian dengan empat institusi kewangan bagi menyediakan kemudahan pembiayaan dan pinjaman kepada kontraktor Bumiputera yang menjalankan pakej sub-kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo.

Menerusi kerjasama itu, Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) akan menyediakan kemudahan khas jaminan pinjaman untuk membantu kontraktor Bumiputera mendapatkan pembiayaan dana khas daripada RHB Islamic Bank Bhd dan SME Bank yang bernilai RM500 juta.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata program itu diyakini dapat membantu pembabitan kontraktor Bumiputera yang berkelayakan untuk melaksanakan projek mega itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, (tengah) bergambar selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman berkenaan Program Kemudahan Pembiayaan Kontraktor di bawah Lebuhraya Pan Borneo di Hotel Hilton, Kuching. - Foto NSTP/Che Rani Che Din
"Ini adalah sebahagian daripada inisiatif TERAJU di bawah pelan pelaksanaan `carve out and compete' sejajar dengan hasrat kerajaan menyediakan ekosistem yang kondusif bagi merangsang penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara.

"Lebih 50 kontraktor Bumiputera dijangka mendapat manfaat daripada program itu yang membantu meningkatkan kelayakan syarikat Bumiputera untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Dokumen antara TERAJU dengan SME Bank, RHB Islamic Banki Berhad, CGC dan SJPP, di sini,hari ini.

Fadillah berkata, program berkenaan akan memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera tempatan untuk mengambil bahagian dalam pelbagai peringkat projek Lebuhraya Pan Borneo dari perundingan hingga ke pembangunan vendor dan pembekal.

"Lebuhraya Pan Borneo akan bertindak sebagai pengganda ekonomi setempat selain menghubungkan Sarawak, Sabah dan negara jiran, Brunei, sekali gus akan menggalakkan kewujudan peluang ekonomi yang lebih dinamik serta mendorong pertumbuhan sektor sektor ekonomi seperti perkhidmatan dan pelancongan.

"Banyak pusat kegiatan ekonomi baharu akan wujud sepanjang lebuh raya itu nanti yang akan mendorong lebih banyak syarikat Bumiputera untuk berkembang maju, malah Lebuhraya Pan Borneo juga akan meningkatkan integrasi perdagangan antarabangsa merentasi negara jiran seperti Brunei dan Kalimantan Barat," katanya. - Berita Harian