RM63 UPAH KURUS UNTUK SETIAP KILO BERAT BADAN YANG BERJAYA DITURUNKAN



Beijing: Sebuah syarikat di China memulakan satu program diet yang memberikan ganjaran kepada pekerjanya yang berjaya mengurangkan berat badan - biarpun bos di syarikat itu sendiri gagal menurunkan berat perut yang buncit.

Program yang dimulakan oleh Xian Jingtian Investment Consulting di Xian, wilayah Shaanxi itu memberi ganjaran kepada setiap pekerja 100 yuan (RM63) bagi setiap kilogram yang berjaya diturunkan, lapor CNWest.com.

Acara bulanan yang bertujuan untuk mempromosikan penurunan berat badan yang sihat itu dilancarkan pada Mac dan penurunan berat badan yang paling minimum untuk layak mendapat ganjaran wang adalah 3kg, tulis laporan.

Pekerja, Zhou Wei berkata, setakat ini, lebih dari separuh dari pekerja sudah berjaya mengumpul ganjaran itu setiap bulan.

Dia sendiri berjaya mengurangkan 20kg dalam masa dua bulan lepas, menjadikan ganjaran terkumpul sebanyak 2,000 yuan (RM1,260).

"Hari ini, saya makan kulat dan juga telur (sahaja)," katanya. "Sebelum ini, saya mesti kena makan daging, setiap kali makan mesti kena ada daging."

Selain diet, Zhou juga berkata dia mula pergi ke gym setiap hari untuk mempercepatkan penurunan berat badan.

Bos kepada syarikat itu, Wang Xuebao menyifatkan hasil dari program itu 'melebihi dari jangkaannya'.

"Saya merasa dukacita bila melihat pekerja kami selalu duduk sahaja di dalam pejabat, dan mereka tidak bergerak secukupnya - termasuk saya - jadi mereka terlebih berat. Melalui aktiviti penurunan berat ini, kita boleh buat satu budaya dan melibatkan diri dalam persaingan yang sihat."

Wang bagaimanapun tidak mampu menurunkan berat badannya sendiri biarpun dia yang memulakan inisiatif tersebut.

Kata Wang, dia juga bermatlamat untuk menurunkan berat badan supaya dia juga boleh layak untuk memenangi ganjaran acara terbabit.

No comments:

Post a Comment