KUCHING : Projek Lebuh Raya Pan Borneo di negeri ini, membabitkan 11 pakej kerja yang dilaksanakan melalui konsep Rakan Pelaksana Projek (PDP), berjalan lancar.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata keseluruhannya projek infrastruktur mega itu mendahului jadual, kecuali empat pakej kerja mengalami kelewatan sedikit disebabkan beberapa perkara teknikal.
Katanya, empat pakej kerja itu membabitkan jajaran Jalan Nyabau ke Persimpangan Bakun, selain Bulatan Serian ke Persimpangan Pantu, diikuti Batang Skrang ke Jambatan Sg Awik dan Jambatan Sg Awik ke Persimpangan Bintangor.
"Kita memantau rapi projek ini dan saya tahu ada beberapa cabaran, terutama berkaitan isu pengambilalihan tanah, tetapi saya percaya kontraktor dilantik dapat menyiapkannya mengikut jadual," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Komuniti dan Belia Bersama Pemimpin di Surau Al-Ansar Taman Yen-Yen, di sini hari ini.
Bagi memastikan kelancaran pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, Fadillah turut mengingatkan kontraktor supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), khususnya membabitkan pengurusan trafik.
Katanya, aspek pematuhan SOP itu penting bagi memastikan kelancaran projek, selain memastikan keselamatan pengguna lalu lintas.
"Tujuh lagi pakej kerja yang mendahului jadual ialah jajaran Telok Melano - Sematan, Sematan - Sungai Moyan, Persimpangan Bintangor - Persimpangan Julau dan Lapangan Terbang Sibu - Jambatan Sungai Kua.
"Tidak ketinggalan laluan menghubungkan Jambatan Sg Kua ke Jambatan Sungai Arip, Jambatan Sungai Arip - Persimpangan Lapangan Terbang Bintulu, Batu 5 - Jejambat Nyabau - Persimpangan Jalan Bakun - Sungai Tangap dan Sg Tangap ke Jalan Link dan Jalan Pujut," katanya.
Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, kerja menaik taraf jalan dan Jambatan Emart menuju ke Stapok, Batu Kawa juga berjalan dengan lancar.
Jelasnya, pembinaan jambatan sudah siap sepenuhnya dan kini dalam proses menyiapkan sistem perparitan dan jalan.
"Mengikut kontrak, projek ini patut disiapkan menjelang penghujung bulan depan. Projek ini sudah mencapai kemajuan 90 peratus. Dengan adanya projek ini, kita berharap dapat menangani masalah kesesakan trafik," katanya. - Berita Harian
No comments:
Post a Comment