KENAK PERLU PINDAH RUMAH SELEPAS NIKAH? YANG BARUK KAWEN WAJIB BACA.



Perkahwinan adalah dunia baru bagi pasangan yang berkahwin. Dari hari pertama bernikah anda mula mengenali hati budi dan sikap pasangan yang selama ini hanya diketahui secara luaran. Namun apabila tinggal bersama dapat memberi peluang pasangan pengantin mengatur kehidupan dengan baik dan menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan isteri.

1. Menjadi Dilema Pasangan
Walau bagaimanapun, berpindah selepas berkahwin sering kali menjadi dilema bagi pasangan pengantin baru. Ini kerana terdapat beberapa faktor dan halangan sebelum anda boleh berpindah serta memulakan kehidupan yang baru. Antaranya masalah kewangan, Ini kerana ekonomi belum mantap dan banyak menggunakan duit masa berkahwin membuatkan anda terpaksa menumpang keluarga.

2. Kos Sara Hidup
Ditambah pula dengan kos hidup yang tinggi dan harga rumah sewa yang mahal, jauh dari tempat kerja serta tidak mempunyai kenderaan menjadikan pasangan yang baru berkahwin berhadapan dengan beberapa masalah yang perlu difikirkan sebelum berpindah.

3. Mengajar Berdikari
Mengajar pasangan berdikari dan tidak bergantung pada keluarga. Jika selama ini bergantung pada keluarga, bila masuk alam berumah tangga semuanya mesti dibuat sendiri. Ia mengajar anda untuk belajar berdikari serta belajar menyelesaikan masalah. Memberikan peluang merancang kehidupan berumah tangga serta ada privasi. Pasangan akan ada lebih masa bersama dan boleh membuat banyak perkara bersama tanpa ada campur tangan keluarga.

4. Menjaga Ekonomi keluarga
Pasangan baru berkahwin boleh belajar menjaga ekonomi dalam rumah tangga. Berbelanja ikut kemampuan diri. Jika dulu tidak ada duit minta keluarga, sekarang bila sudah berkahwin, susah senang anda tanggung bersama.

5. Keluarga tidak masuk campur
Jika ada perselisihan faham, hanya pasangan yang tahu. Keluarga tidak boleh masuk campur kerana rumah berasingan. Pasangan juga belajar berkompromi bertolak ansur serta menguruskan konflik keluarga tanpa ada campur tangan orang lain.

Kahwin Bukan Keran Cinta Sahaja, Amanah Dan Tanggungjawab Juga! Dah ‘READY’?
Kita hanya akan benar-benar mengenali seseorang SETELAH KAHWIN dengannya, tidur sebantal, makan sepinggan, duduk sebumbung. Baru tahu masa itu dia tidur berdengkur, baru tahu rupanya jenis lepas berak tak reti ‘flush’, baru tahu cepat stres kalau ada masalah, baru tahu pemarah apabila ditegur, baru tahu, baru tahu.

1. Bercinta sahaja Tidak Cukup
Bercinta hatta 10 tahun, gayut tiap-tiap malam, dating tiap-tiap hari BELUM CUKUP untuk mengenali seseorang. Kahwin bukan hanya tentang dating halal, snap gambar romantik dapat konvo sama-sama, boleh pegang-pegang tangan, boleh makan bersuap, semua yang manis-manis.

2. Banyak Yang Ambil Mudah
Kalau kamu lihat yang INDAH-INDAH daripada kawan yang baru kahwin, itu semuanya hanya apa yang dia mahu perlihatkan kepada dunia. Realitinya susah payah perit air mata yang disembunyikan. Siapa yang tahu? Kita hidup di alam realiti, bukan fantasi. Jangan hanya berangan yang indah-indah tanpa memikirkan AMANAH dan TANGGUNGJAWAB yang bakal dipersoalkan.

3. Alasan Untuk Elak Maksiat
Alasan sudah kenal lama sangat atau untuk ‘elak maksiat‘ saja TIDAK CUKUP untuk kahwin segera. Sebab jika masa bujang gunakan alasan kahwin untuk pelihara maruah bagaimana kamu yakin kamu dapat menjaga maruah selepas nikah? Kalau sebelum kahwin tidak mampu bersabar atau bertahan dengan ujian yang kecil atau sedikit, bagaimana kamu jangkakan untuk bersabar dan bertahan dengan ujian yang besar dan banyak selepas berkahwin?

4. Sudah Mampu Bersabar?
Bolehkah kamu TETAP TERSENYUM, menyinsing lengan memasak di dapur kemudian menyuapkan makanan ke mulut isteri kamu yang juga lapar, urus kencing berak dan mandikan anak-anak untuk beri isteri ruang untuk dirinya? Basuh, lipat baju yang menimbun? Atau kamu akan sengaja pulang lewat sebab mahu lari dari menjaga anak-anak dan makan sahaja di luar?

5. Sudah Sedia Menjadi Taat
Yang perempuan sudah bersediakah untuk mentaati seorang lelaki yang baru hadir dalam hidup, bersediakah menanggung jerit perih alahan mengandung, sakit bersalin, berpantang, realiti anak mahu mengempeng berjam-jam sampai badan menggigil lapar dan lesu yang amat?

6. Bukan Sesuatu Yang Mudah
Apabila kamu membentak marahkan orang tua, kenapa susahkan orang nak kahwin. Padahal kamu tidak sedar. Ibu bapa sedang mendidik kamu bahawa kehidupan selepas kahwin itu BUKAN MUDAH sebab itu mereka mahu kamu berdikari sekurang-kurangnya cuba hadapi susah sendiri tanpa harapkan orang lain sebab kahwin memang senang tetapi menjadi ketua keluarga dan ibu rumah tangga itu tidak mudah!

Sumber : Ismi Ualm Raja

BUAH OREN LAWAN JANGKITAN KUMAN


SEBIJI buah oren mampu membekalkan pelbagai nutrien makanan semula jadi, selain penting untuk membekalkan serat dan meningkatkan kesihatan usus, berbanding pil vitamin C yang hanya mempunyai satu nutrien semata-mata

Pengerusi Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, Prof Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed, berkata buah oren dijadikan pilihan diet berdasarkan saranan Panduan Pemakanan Malaysia oleh Kementerian Kesihatan sekurang-kurangnya dua hidangan sehari.

Katanya, selain vitamin C dan mineral sama seperti buah-buahan lain, kandungan oren ‘phytonutrients’ seperti flavonoid iaitu bahan kimia semula jadi daripada tumbuhan mempunyai fungsi tertentu untuk penjagaan kesihatan.

Pengambilannya dalam diet harian memberi nilai ditambah kepada individu yang mengambilnya sebagai diet harian.

“Sebiji oren bersaiz sederhana (130g) mempunyai kalori yang sedikit (60 kalori) tetapi mampu membekalkan jumlah vitamin C kira-kira 70 mg (USDA Online Food Database).

“Menariknya, jumlah ini bersamaan saranan pengambilan Vitamin C (Recommended Nutrient Intakes for Malaysia, 2017) sehari untuk individu dewasa.

“Pengambilan sebiji oren membekalkan keperluan vitamin C sehari untuk seorang dewasa,” katanya.

Dr Hamid Jan berkata, vitamin C adalah nutrien penting berfungsi meningkatkan sel terutamanya di mukosa seterusnya melawan jangkitan kuman.

Vitamin C juga sejenis antioksidan berkesan mengurangkan kerosakan sel tubuh akibat kimia bahaya di persekitaran dan diet tidak sihat.

Oren mempunyai kandungan air, serat yang tinggi dan bagus untuk membantu proses pembuangan najis dengan mencegah sembelit.

“Serat membantu memastikan kesihatan usus dengan sempurna. Kaya vitamin A dan mineral seperti kalium,” katanya.

Dr Hamid berkata, mengenai jumlah terbaik pengambilan oren untuk orang dewasa, ia ada panduan pemakanan berdasarkan jenis buah.

Panduan umum mengambil pelbagai pilihan buah-buahan kerana mempunyai kebaikan dan zat tersendiri kepada tubuh jika diambil secara berterusan.

“Oren tidak boleh disamakan dengan jus oren komersial kerana katanya, kedua-dua pilihan itu mempunyai kandungan zat berbeza. Jus yang dijual secara komersial mengandungi gula yang tinggi.

“Individu boleh menghasilkan jus oren hasil perahan sendiri yang boleh diminum terus tanpa tambahan gula. Namun, kandungan serat lebih rendah apabila buah oren dijadikan jus kerana ditapis dan diasingkan daripada jus.

INFO

* Limonoids sitrus - kaya kalium, mineral elektrolit bertanggungjawab meningkatkan kesihatan jantung.

* Sebatian vitamin A (karotenoid) - mencegah degenerasi makula - membuatkan penglihatan semakin baik

* Vitamin C - melindungi sel dengan meneutralkan radikal bebas yang menyebabkan penyakit kanser dan jantung.

* Hesperidin flavonoid - mengawal tekanan darah tinggi dan magnesium mengekalkan tekanan darah.

* Beta karotena - bersifat antioksidan yang kuat melindungi sel-sel kulit daripada rosak dan radikal bebas, serta melambatkan proses penuaan.

LEBUHRAYA PAN BORNEO MAMPU DISIAPKAN MENGIKUT JADUAL


MIRI: Kementerian Kerja Raya (KKR) yakin projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak dapat disiapkan mengikut jadual, dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menterinya, Baru Bian berkata, keyakinan itu berdasarkan tinjauannya yang mendapati pelaksanaan projek itu berjalan lancar termasuk pakej pertama menghubungkan Sematan ke Telok Melano sepanjang 33 Kilometer dijangka siap hujung tahun ini.

Beliau berkata, walaupun berlaku sedikit kelewatan di beberapa kawasan dari Telok Melano ke Miri, beliau yakin ia diatasi oleh Rakan Penyampai Projek (PDP), Lebuhraya Borneo Utara (LBU) Sdn Bhd.

“Hasil tinjauan sepanjang laluan projek itu, diakui memang ada berlaku sedikit kelewatan dengan dengan bulatan bertingkat di Serian mengalami kelewatan kira-kira enam peratus manakala di beberapa tempat lain di belakang jadual antara satu hingga dua peratus sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutupan program FT Roadpedia anjuran Kementeriannya di sini, malam tadi

Program tiga hari itu yang disertai kira-kira 100 pengurusan kanan KKR dan LBU meninjau keseluruhan projek dari Kampung Telok Melano, penempatan penduduk yang terakhir di sebelah barat Sarawak ke Miri di utara negeri ini sejak Sabtu lalu.

Projek Lebuhraya Pan Borneo yang masih dalam pembinaan. - Foto ihsan LBU
Turut serta dalam tinjauan selama tiga hari bermula Sabtu lalu itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob dan timbalannya, Datuk Abdul Razak Jaafar; Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid danSetiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Industri dan Perdagangan Sarawak, Datuk Safri Zainuddin.

Rombongan terbabit memulakan tinjauan untuk melihat lebih dekat pembinaan laluan bertingkat di Batu 5 dan Batu 6, Jalan Kuching-Serian, Sabtu lalu sebelum meneruskan perjalanan ke Bau dan Sematan.

Mereka kemudiannya meninjau projek Sematan-Telok Melano yang kini sudah lebih 80 peratus siap dan dijangka dibuka secara rasmi kepada laluan kenderaan awam, Januari depan.

Pada Ahad, rombongan itu meneruskan perjalanan ke wilayah tengah Sarawak untuk meninjau perkembangan projek antaranya bulatan di Serian serta projek melebarkan Jambatan Durin di Sibu.

Rombongan itu kemudiannya meninjau laluan Sibu ke Miri dan mendapatkan gambaran lebih jelas perkembangan projek melebarkan Jambatan Tatau serta projek di persimpangan Nyabau ke Bakun di Bintulu.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786 Kilometer dilaksanakan dalam 11 pakej dengan lebih 100 jambatan dibina sepanjang laluan berkenaan. - Berita Harian