DANA RM500 JUTA UNTUK SUB KONTRAKTOR LEBUHRAYA PAN BORNEO


KUCHING: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (PENERAJU) hari ini memeterai perjanjian dengan empat institusi kewangan bagi menyediakan kemudahan pembiayaan dan pinjaman kepada kontraktor Bumiputera yang menjalankan pakej sub-kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo.

Menerusi kerjasama itu, Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) akan menyediakan kemudahan khas jaminan pinjaman untuk membantu kontraktor Bumiputera mendapatkan pembiayaan dana khas daripada RHB Islamic Bank Bhd dan SME Bank yang bernilai RM500 juta.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata program itu diyakini dapat membantu pembabitan kontraktor Bumiputera yang berkelayakan untuk melaksanakan projek mega itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, (tengah) bergambar selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman berkenaan Program Kemudahan Pembiayaan Kontraktor di bawah Lebuhraya Pan Borneo di Hotel Hilton, Kuching. - Foto NSTP/Che Rani Che Din
"Ini adalah sebahagian daripada inisiatif TERAJU di bawah pelan pelaksanaan `carve out and compete' sejajar dengan hasrat kerajaan menyediakan ekosistem yang kondusif bagi merangsang penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara.

"Lebih 50 kontraktor Bumiputera dijangka mendapat manfaat daripada program itu yang membantu meningkatkan kelayakan syarikat Bumiputera untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Dokumen antara TERAJU dengan SME Bank, RHB Islamic Banki Berhad, CGC dan SJPP, di sini,hari ini.

Fadillah berkata, program berkenaan akan memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera tempatan untuk mengambil bahagian dalam pelbagai peringkat projek Lebuhraya Pan Borneo dari perundingan hingga ke pembangunan vendor dan pembekal.

"Lebuhraya Pan Borneo akan bertindak sebagai pengganda ekonomi setempat selain menghubungkan Sarawak, Sabah dan negara jiran, Brunei, sekali gus akan menggalakkan kewujudan peluang ekonomi yang lebih dinamik serta mendorong pertumbuhan sektor sektor ekonomi seperti perkhidmatan dan pelancongan.

"Banyak pusat kegiatan ekonomi baharu akan wujud sepanjang lebuh raya itu nanti yang akan mendorong lebih banyak syarikat Bumiputera untuk berkembang maju, malah Lebuhraya Pan Borneo juga akan meningkatkan integrasi perdagangan antarabangsa merentasi negara jiran seperti Brunei dan Kalimantan Barat," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment