Showing posts with label Fadillah Yusof. Show all posts
Showing posts with label Fadillah Yusof. Show all posts

PEMBINAAN LEBUH RAYA PAN BORNEO BERJALAN LANCAR


KUCHING : Projek Lebuh Raya Pan Borneo di negeri ini, membabitkan 11 pakej kerja yang dilaksanakan melalui konsep Rakan Pelaksana Projek (PDP), berjalan lancar.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata keseluruhannya projek infrastruktur mega itu mendahului jadual, kecuali empat pakej kerja mengalami kelewatan sedikit disebabkan beberapa perkara teknikal.

Katanya, empat pakej kerja itu membabitkan jajaran Jalan Nyabau ke Persimpangan Bakun, selain Bulatan Serian ke Persimpangan Pantu, diikuti Batang Skrang ke Jambatan Sg Awik dan Jambatan Sg Awik ke Persimpangan Bintangor. 

"Kita memantau rapi projek ini dan saya tahu ada beberapa cabaran, terutama berkaitan isu pengambilalihan tanah, tetapi saya percaya kontraktor dilantik dapat menyiapkannya mengikut jadual," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Komuniti dan Belia Bersama Pemimpin di Surau Al-Ansar Taman Yen-Yen, di sini hari ini. 

Bagi memastikan kelancaran pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, Fadillah turut mengingatkan kontraktor supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), khususnya membabitkan pengurusan trafik. 

Katanya, aspek pematuhan SOP itu penting bagi memastikan kelancaran projek, selain memastikan keselamatan pengguna lalu lintas.

"Tujuh lagi pakej kerja yang mendahului jadual ialah jajaran Telok Melano - Sematan, Sematan - Sungai Moyan, Persimpangan Bintangor - Persimpangan Julau dan Lapangan Terbang Sibu - Jambatan Sungai Kua.

"Tidak ketinggalan laluan menghubungkan Jambatan Sg Kua ke Jambatan Sungai Arip, Jambatan Sungai Arip - Persimpangan Lapangan Terbang Bintulu, Batu 5 - Jejambat Nyabau - Persimpangan Jalan Bakun - Sungai Tangap dan Sg Tangap ke Jalan Link dan Jalan Pujut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, kerja menaik taraf jalan dan Jambatan Emart menuju ke Stapok, Batu Kawa juga berjalan dengan lancar. 

Jelasnya, pembinaan jambatan sudah siap sepenuhnya dan kini dalam proses menyiapkan sistem perparitan dan jalan. 

"Mengikut kontrak, projek ini patut disiapkan menjelang penghujung bulan depan. Projek ini sudah mencapai kemajuan 90 peratus. Dengan adanya projek ini, kita berharap dapat menangani masalah kesesakan trafik," katanya. - Berita Harian

PROJEK LEBUHRAYA PAN BORNEO IKUT JADUAL


KUCHING: Sebanyak 10 daripada keseluruhannya 11 pakej Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak, yang dilaksanakan di bawah konsep Rakan Pelaksana Projek (PDP) adalah mendahului jadual ditetapkan.

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pembinaan lebuh raya itu yang juga antara projek infrastruktur mega di negeri ini, dipantau dari ke semasa ke semasa, malah mendahului tempoh ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan hanya pakej membabitkan jajaran dari Telok Melano, Sematan ke Bandaraya Kuching menghadapi sedikit kelewatan sebelum ini disebabkan isu pemilikan tanah, namun berjaya diselesaikan dan kerja-kerja pembinaan kini berjalan mengikut jadual.

"Kita memantau rapi perkembangan projek ini, malah syarikat pengendali projek, Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) sentiasa mengambil tindakan proaktif menyelesaikan segala kekangan bagi memastikan setiap pakej disiapkan mengikut jadual dirancang.

"Keseluruhannya, Kerajaan Persekutuan melalui kementerian saya berpuas hati dengan perjalanan projek, dengan 10 pakej kerja daripada jumlah keseluruhan pakek berjaya dilaksanakan mendahului jadual," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan mengejut ke salah satu tapak pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Batu 15, Jalan Kuching-Serian, di sini petang tadi.

Sementara itu, Fadillah berkata hasil pemantauan pihaknya mendapati berlaku sedikit kelewatan pelaksanaan projek Batu 15, Jalan Kuching Serian, yang sepatutnya sudah mencapai 75 peratus siap.

Katanya, antara faktor kelewatan yang dikenalpasti menimbulkan kekangan itu ialah cabaran untuk mengalihkan kemudahan utiliti berkaitan, selain beberapa masalah teknikal.

"Semua masalah ini dapat diselesaikan dan kita sudah mengerahkan pihak kontraktor untuk mencari jalan bagaimana untuk mempercepatkan pelaksanaan projek," katanya.

Dalam lawatan mengejut beliau, Fadillah turut menegur pihak kontraktor supaya memastikan semua program pengurusan trafik dipatuhi bagi memastikan keselamatan dan keselesaan kepada pengguna jalan raya walaupun dalam tempoh pembinaan projek.

"Teguran saya untuk mereka mempertingkatkan sistem kerja. Keseluruhannya, saya boleh katakan agak berpuas hati dengan kerja dilaksanakan pihak kontraktor. Untuk pakej Batu 15, Jalan Kuching-Serian, kita menjangkakan projek ini dapat disiapkan pada April tahun depan," katanya.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya kemudiannya melakukan lawatan mengejut ke tapak pembinaan Jambatan Batang Samarahan bagi melihat sendiri pelaksanaan projek itu.

"Setakat ini, laporan atas kertas mengatakan projek ini berjalan agak lancar, cuma kami nak melihat sendiri pelaksanaan projek berkenaan," katanya.

DANA RM500 JUTA UNTUK SUB KONTRAKTOR LEBUHRAYA PAN BORNEO


KUCHING: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (PENERAJU) hari ini memeterai perjanjian dengan empat institusi kewangan bagi menyediakan kemudahan pembiayaan dan pinjaman kepada kontraktor Bumiputera yang menjalankan pakej sub-kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo.

Menerusi kerjasama itu, Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) akan menyediakan kemudahan khas jaminan pinjaman untuk membantu kontraktor Bumiputera mendapatkan pembiayaan dana khas daripada RHB Islamic Bank Bhd dan SME Bank yang bernilai RM500 juta.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata program itu diyakini dapat membantu pembabitan kontraktor Bumiputera yang berkelayakan untuk melaksanakan projek mega itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, (tengah) bergambar selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman berkenaan Program Kemudahan Pembiayaan Kontraktor di bawah Lebuhraya Pan Borneo di Hotel Hilton, Kuching. - Foto NSTP/Che Rani Che Din
"Ini adalah sebahagian daripada inisiatif TERAJU di bawah pelan pelaksanaan `carve out and compete' sejajar dengan hasrat kerajaan menyediakan ekosistem yang kondusif bagi merangsang penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara.

"Lebih 50 kontraktor Bumiputera dijangka mendapat manfaat daripada program itu yang membantu meningkatkan kelayakan syarikat Bumiputera untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Dokumen antara TERAJU dengan SME Bank, RHB Islamic Banki Berhad, CGC dan SJPP, di sini,hari ini.

Fadillah berkata, program berkenaan akan memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera tempatan untuk mengambil bahagian dalam pelbagai peringkat projek Lebuhraya Pan Borneo dari perundingan hingga ke pembangunan vendor dan pembekal.

"Lebuhraya Pan Borneo akan bertindak sebagai pengganda ekonomi setempat selain menghubungkan Sarawak, Sabah dan negara jiran, Brunei, sekali gus akan menggalakkan kewujudan peluang ekonomi yang lebih dinamik serta mendorong pertumbuhan sektor sektor ekonomi seperti perkhidmatan dan pelancongan.

"Banyak pusat kegiatan ekonomi baharu akan wujud sepanjang lebuh raya itu nanti yang akan mendorong lebih banyak syarikat Bumiputera untuk berkembang maju, malah Lebuhraya Pan Borneo juga akan meningkatkan integrasi perdagangan antarabangsa merentasi negara jiran seperti Brunei dan Kalimantan Barat," katanya. - Berita Harian

FASA 2 PAN BORNEO BERMULA HUJUNG TAHUN


PETRA JAYA: Pelaksanaan fasa dua projek Lebuh Raya Pan Borneo dijangka bermula hujung tahun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ia bergantung kepada jawatankuasa tertinggi kerajaan untuk memutuskan jajaran laluan menghubungkan Limbang dan Lawas di utara Sarawak itu.

"Belum ada keputusan muktamad sama ada projek itu akan melalui Brunei atau membuka laluan alternatif tanpa perlu melalui negara itu.

"Jika semua rundingan selesai dan keputusan muktamad dibuat, projek itu dilaksanakan hujung tahun ini," katanya ketika ditemui pada rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Petra Jaya Heights di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian serta Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Mengenai perkembangan fasa pertama projek mega itu, Fadillah berkata, secara purata 10 peratus projek sudah disiapkan.

"Beberapa masalah tanah seperti yang berlaku di Bintulu sudah diselesaikan dan projek berjalan lancar," katanya.