TENTERA 'TAWAN' JAKARTA


JAKARTA: Puluhan ribu tentera dikerah ke Jakarta, semalam, menjelang tarikh akhir pencabar presiden memfailkan aduan rasmi di Mahkamah Perlembagaan mencabar keputusan Joko Widodo (Jokowi) memenangi pilihan raya presiden.

AFP melaporkan, Prabowo Subianto mempunyai masa sehingga esok untuk memfailkan aduan itu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Khamis lalu, mengumumkan Jokowi memenangi pilihan raya dengan meraih lebih 85 juta daripada 154 undi, mengatasi Prabowo dengan kelebihan 10 peratus.

Prabowo, 67, mendakwa berlaku penipuan undi besar-besaran dalam pilihan raya 17 April lalu.

Dalam rusuhan malam kelmarin, perusuh memecahkan konkrit pejalan kaki, merosakkan papan tanda jalan raya dan membakar gerai serta melempar batu serta mercun ke arah polis.

Jumlah perusuh pada sebelah malam bagaimanapun berkurangan dan polis membalas dengan tembakan gas pemedih mata.

Sekurang-kurangnya enam orang, termasuk seorang pelajar berusia 17 tahun terbunuh manakala ratusan lagi cedera dalam rusuhan antara penyokong Prabowo sejak kelmarin.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan berkata, enam kematian itu berlaku ketika rusuhan pertama pada sebelah siang, kelmarin, yang tertumpu di kawasan Tanah Abang.

Menurut pihak berkuasa, mangsa terbunuh akibat tembakan atau pukulan objek tumpul namun polis menafikan melepaskan tembakan ke arah perusuh.

Jalan raya sekitar Jakarta kembali tenang semalam, dengan kehadiran tentera yang ramai itu namun bangunan penting, termasuk ibu pejabat KPU serta istana presiden dikawal ketat.

Hampir 60,000 anggota keselamatan, sebahagian besarnya tentera dikerah ke Jakarta, hampir sekali ganda berbanding dua hari lalu selepas Jokowi menegaskan kerajaan tidak lagi akan bertolak ansur terhadap rusuhan.

Pihak berkuasa mendakwa rusuhan itu dicetuskan dalang dari luar Jakarta yang mengapi-apikan perusuh.

“Kita sudah menahan lebih 300 suspek dan mereka sedang disoal siasat,” kata Jurucakap polis, Muhamad Iqbal.

Reuters melaporkan, sebahagian besar perusuh datang dari luar Jakarta dan polis menemui sampul berisi wang daripada mereka yang diperiksa,

“Ini bukan rusuhan spontan, ia perhimpunan dan rusuhan yang dirancang. Ada bukti perusuh dibayar untuk melakukan kekacauan,” katanya.

Ketika sidang media semalam, polis menunjukkan bom petrol, panah buatan sendiri dan beberapa senjata lain serta sampul berisi wang. Malah, polis turut merampas dua raifal dengan peredam bunyi serta dua pistol.

Sumber : MyMetro

TAMBAHAN FERI DAN LANJUTAN MASA OPERASI SEMPENA HARI GAWAI DAN AIDILFITRI 2019


Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk menambah bilangan feri dan melanjutkan masa operasi perkhidmatan feri sepanjang tempoh 25 Mei 2019 sehingga 16 Jun 2019 di pengkalan-pengkalan feri di sepanjang laluan jalan pesisir Sarawak bagi menampung jumlah trafik bersempena musim cuti sekolah, perayaan Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Pengkalan feri tersebut adalah seperti berikut:

1) Feri Sebuyau/Triso di Bahagian Samarahan dan Betong; 
2) Feri Batang Saribas (Pusa/Beladin) di Bahagian Betong; 
3) Feri Sg. Sian, Bintangor di Bahagian Sarikei;
4) Feri Batang Lawas di Bahagian Limbang; dan
5) Feri Muara Lassa, Feri Batang Paloh dan Feri Kuala Igan di Bahagian Mukah

Masa operasi bagi kelima-lima pengkalan feri berkaitan adalah seperti berikut;

A. Pengkalan Feri Sebuyau/Triso Bahagian Samarahan dan Betong

1. Feri Pertama masa operasi dilanjutkan sehingga 12 tengah malam;

2. Feri Kedua akan dilanjutkan sehingga keesokkan 2 pagi; dan

3. Feri Ketiga akan beroperasi seperti biasa dari jam 8 pagi sehingga 10 malam.

B. Pengkalan Feri Batang Saribas (Pusa/Beladin) Bahagian Betong

1. Feri Pertama akan dilanjutkan sehingga 12 tengah malam; dan 
2. Feri Kedua sehingga keesokan 2 pagi.

C. Pengkalan Feri Sungai Sian, Bintangor Bahagian Sarikei

1. Feri Pertama bermula seawal jam 5 pagi dan dilanjutkan sehingga 12 tengah malam.
2. Feri tambahan kedua juga akan beroperasi sepanjang tempoh ini dari jam 6 pagi sehingga 10 malam.

D. Pengkalan Feri Batang Lawas Bahagian Limbang

1. Feri Pertama dilanjutkan dari 8 malam sehingga 12 tengah malam.
2. Feri tambahan kedua juga akan turut beroperasi di pengkalan ini dari jam 6 pagi sehingga 8 malam.

E. Pengkalan Feri Muara Lassa, Batang Paloh dan Kuala Igan Bahagian Mukah

1. Feri Pertama dan Feri Kedua akan dilanjutkan masa operasi sehingga 12 tengah malam. Sepanjang tempoh ini, pertambahan satu lagi feri, iaitu
2. Feri Ketiga akan beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 8 malam.

Langkah ini diambil bagi menampung jumlah kenderaan yang semakin banyak menggunakan perkhidmatan feri. Langkah ini juga dilihat mampu mengurangkan masa menunggu di pengkalan feri ini pada waktu puncak iaitu ketika musim perayaan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri serta musim cuti sekolah.

Pengguna-penguna jalan raya yang menggunakan perkhidmatan feri di seluruh Sarawak dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan keselamatan feri dan memberi kerjasama supaya tidak memotong barisan serta mengikut arahan krew feri yang bertugas terutama semasa kenderaan keluar masuk feri.

Juga diingatkan bahawa, hanya pemandu sahaja dibenarkan berada di dalam kenderaan dengan cermin dibuka sepenuhnya manakala semua penumpang lain tidak dibenarkan berada di dalam kenderaan masing-masing ketika feri sedang bergerak. Ketika kenderaan berada di dalam feri, enjin hendaklah dimatikan, brek tangan ditarik dengan ketat dan pengguna dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap lokasi alat bantuan kecemasan seperti jaket, pelampung dan rakit keselamatan.

SULTAN AHMAD SHAH MANGKAT


SULTAN Pahang kelima, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah mangkat di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Almarhum baginda menghembuskan nafas terakhir 8.50 pagi pada usia 89 tahun

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan rasminya memohon rakyat mendoakan roh Almarhum baginda ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

“Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya dengan ini mengumumkan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah.

“Almarhum mangkat pada 8.50 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur,” katanya.

Difahamkan jenazah Almarhum baginda akan dibawa ke Istana Negara untuk dimandikan sebelum dibawa pulang ke Pekan.