Showing posts with label Nasional. Show all posts
Showing posts with label Nasional. Show all posts

SULTAN AHMAD SHAH MANGKAT


SULTAN Pahang kelima, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah mangkat di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Almarhum baginda menghembuskan nafas terakhir 8.50 pagi pada usia 89 tahun

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan rasminya memohon rakyat mendoakan roh Almarhum baginda ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

“Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya dengan ini mengumumkan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah.

“Almarhum mangkat pada 8.50 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur,” katanya.

Difahamkan jenazah Almarhum baginda akan dibawa ke Istana Negara untuk dimandikan sebelum dibawa pulang ke Pekan.

BELANJAWAN 2019 : USAH GOPOH PERKENAL DASAR BAHARU


BELANJAWAN 2019 yang selesai dibentang baru-baru ini menghadirkan dua isu mendapat perhatian lebih daripada rakyat, iaitu bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi potongan gaji serta subsidi bersasar petrol RON95 bagi kenderaan dengan kapasiti enjin 1,500 cc ke bawah.

Bagi bayaran balik pinjaman PTPTN yang diperdebatkan ialah syarat dikenakan kepada mereka yang memiliki pendapatan lebih RM1,000 dengan kadar potongan ditetapkan bermula dua peratus hingga 15 peratus.


Dari satu aspek, cadangan itu sebenarnya satu pendekatan baharu yang positif diperkenal kerajaan, terutama dalam meningkatkan kutipan daripada peminjam, namun langkah itu bertentangan dengan janji Pakatan Harapan (PH) sendiri untuk menangguhkan bayaran PTPTN kepada peminjam berpendapatan kurang RM4,000 sebulan.

Lebih menghangatkan perdebatan, ialah ketetapan baharu bayaran balik pinjaman berkenaan diumumkan hanya beberapa bulan selepas PH diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan.

Sehari selepas membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakui janji Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebelum ini sukar diteruskan, manakala hujah bagi melaksanakan langkah baharu kutipan itu bertujuan menjamin kelestarian dana PTPTN.

Dengan pengumuman langkah baharu itu, ada kebimbangan berkisar kepada aspek bagaimana kaedah pelaksanaan akan dibuat kelak serta sama ada ia mampu mencapai keberkesanan yang optimum dan menyeluruh.

Perlu pendekatan teliti

Apakah akan ada syarat baharu dikenakan PTPTN untuk memastikan peminjamnya membayar semula hutang pinjaman? Sudah pasti dengan mewajibkan pemotongan gaji, ia memerlukan satu pendekatan teliti, progresif dan menyeluruh.

Pertama, bagaimana PTPTN mengenal pasti peminjam yang mempunyai pendapatan RM1,000 hingga RM2,800 sebulan yang selama ini tiada rekod Potongan Cukai Berjadual (PCB) dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

LHDN sebelum ini menetapkan mulai 2015, individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 atau RM2,833 sebulan (selepas potongan KWSP) perlu mendaftarkan fail cukai pendapatan.

Kedua, bagi individu bekerja sendiri, bagaimana rekod dan profil mereka boleh dijejak dan diperoleh supaya termasuk dalam senarai untuk diwajibkan potongan gaji bulanan.

Ketiga, bagaimana penetapan kadar dua peratus hingga 15 peratus ditentukan kepada seseorang peminjam dan apa syarat tambahan ditentukan kepada peminjam sebelum mereka layak menerima kadar peratusan tertentu.

Dalam hal sebegini, ia pasti membuka kritikan hebat kelak oleh peminjam, terutama mereka yang berpendapatan RM1,000 hingga RM3,000 sebulan kerana ia membabitkan komitmen bulanan mereka dan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung ketika ini.

Walau apapun pendekatan bakal diperkenal, rakyat sudah mula melihat dasar tidak konsisten PH dalam soal PTPTN, terutama selepas pengumuman menangguhkan bayaran dan menarik semula senarai hitam keluar negara bagi peminjam yang ingkar.

Isu kedua, subsidi petrol RON95 bagi kenderaan bawah 1,500cc dan motosikal bawah 125cc. Cadangan seumpama ini pernah berbangkit ketika era Barisan Nasional (BN), namun tidak dilaksanakan.

Sehari selepas pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, kerajaan akan mengambil kira juga pendapatan pemilik, usia dan kuasa kuda kereta dalam menentukan kelayakan penerima.

Apa pun syarat yang akan ditetapkan, ia mungkin tidak menjejaskan matlamat pengenalan dasar ini, namun kebimbangan wujud berkait soal keberkesanan pelaksanaannya nanti, sama ada ia benar-benar satu dasar yang memenuhi konsep pemberian subsidi bersasar atau hanya membuka kepada kelompong ketirisan.

Cadangan kad elektronik

Presiden Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, mencadangkan penggunaan kad elektronik mengandungi nilai bulanan RM30 untuk pemilik kereta dan RM12 untuk pemilik motosikal diguna pakai bagi melaksanakan subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter itu.

Jika pengenalan kad seumpama itu diperkenal, sudah pasti penentuan kelayakan ketika proses permohonan mesti diteliti secara menyeluruh serta aspek penggunaannya supaya hanya individu yang layak menikmati insentif itu, sekali gus mengelak sebarang penyalahgunaan kad.

Satu lagi perkara diperdebatkan ialah penetapan kuasa kuda kereta. Ada juga kenderaan import yang mempunyai kuasa kuda bawah 1,500cc, malah ada individu berpendapatan melebihi RM5,000 sebulan atau bekerja sendiri, turut menggunakan kenderaan bawah 1,500cc.

Justeru, kerajaan mesti memikirkan mekanisme yang berkesan dalam pengenalan subsidi petrol cara baharu ini. Jika tidak, ia bakal menjadi satu lagi isu yang mungkin boleh menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan baharu.

Subsidi petrol menjadi isu yang begitu dekat dengan rakyat. BN hilang mandat dua pertiga di Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 disebabkan salah satu faktornya adalah keputusan kerajaan ketika itu menaikan harga petrol secara mendadak.

Sebelum PRU-14 juga, BN memperkenalkan dasar mengapungkan harga petrol RON95 di pasaran mengikut Mekanisme Harga Automatik (APM).

Kesan pelaksanaan itu, harga ditentukan mengikut pasaran sehingga mempengaruhi peningkatan harga bagi industri tertentu. Akhirnya, rakyat menanggung kenaikan kos barangan.

Mengambil iktibar daripada polemik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), walaupun diakui sendiri oleh Guan Eng bahawa GST satu cukai cekap dan telus, namun stigma rakyat menganggap ia menyusahkan.

Semua itu berpaksi kepada aspek keberkesanan pelaksanaan yang gagal dipenuhi kerajaan terdahulu.

Justeru, berbekalkan tempoh singkat mentadbir selama enam bulan sejak menguasai Putrajaya pada Mei lalu, kerajaan PH tidak seharusnya terlalu terkejar-kejar untuk memperkenalkan dasar baharu.

Lebih baik fokus kepada keberkesanan pelaksanaan dasar sedia ada ditinggalkan BN, jika ia terbukti membawa manfaat kepada rakyat.

CUKAI PRODUK PETROLIUM : RAKYAT SARAWAK AKAN TANGGUNG BEBAN - PM



Rakyat Sarawak akan menanggung beban apabila kerajaan negeri mengenakan cukai lima peratus terhadap produk petroleum.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata cukai tambahan yang dikenakan itu akan ditanggung oleh penduduk di sana.

"Kalau kenakan cukai tambahan, orang mereka (Sarawak) akan tanggung. Mereka akan beli minyak pada harga yang lebih," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Dr Mahathir mengulas mengenai langkah kerajaan negeri Sarawak yang buat pertama kali akan mengenakan cukai jualan lima peratus terhadap produk petroleum berkuatkuasa 1 Januari depan.

Difahamkan, pengenalan cukai itu dilaksanakan bertujuan untuk meningkat dana kerajaan negeri, selepas parti yang menguasai Sarawak tidak lagi bernaung di bawah Barisan Nasional (BN), selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Berhubung dengan royalti lima peratus yang diminta oleh kerajaan negeri Kelantan, Dr Mahathir berkata Kerajaan Pusat sedang meneliti perkara itu.

"Kita sedang berusaha bagaimana nak bagi royalti ke Kelantan...cara kita akan tentukan," katanya.

Kerajaan negeri Kelantan mahu bayaran royalti lima peratus daripada hasil pengeluaran diberi kepada mereka.

Dr Mahathir berkata, kerajaan negeri tidak bersetuju dengan cadangan untuk memberi royalti 20 peratus daripada hasil keuntungan.

"Mereka mahu sebahagian daripada kos pengeluaran yang bermakna menjadi 40 peratus. Kalau begitu (40 peratus) sebagai royalti, Petronas boleh bankrap," katanya. - Berita Harian

SARAWAK PENGELUAR GAS ASLI TERBESAR DI MALAYSIA


KUCHING: Sarawak merupakan negeri pengeluar gas asli terbesar di Malaysia dengan rizab negara sebanyak 52.7 peratus.

Perkara itu didedahkan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri  (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol ketika menjawab pertanyaan Aidel Lariwoo (PBB-Sadong Jaya) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau memberitahu Sarawak mengeluarkan gas asli iaitu pada 52.89 TSCF daripada jumlah keluaran negara pada 2017 berdasarkan sumber 'Malaysia Natural Gas Industry: Annual Review 2017 Edition, Malaysian Gas Association'.

"Negeri ini juga merupakan penyumbang terbesar melalui aliran pendapatan rizab gas tersebut daripada loji tahap dunianya di Bintulu-MLNG dan Shell MDS," jelasnya.

Sehubungan itu, Abdullah berkata, untuk menambah penyertaan negeri dan pendapatan daripada rizab gas, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) diberi mandat oleh kerajaan negeri untuk memainkan peranan sebagai Pengawal Selia Bersama dan Pemain aktif Production Sharing Contracts (PSC) gas negeri ini.

"Petros akan memperkukuhkan pengawasan sumber-sumber gas melalui Strategi Jaringan Bersepadu, mengimbangi bekalan huluan dengan penggunaan hiliran dan pendapatan yang disasarkan.

"Pada masa ini, Petros menyasarkan penyertaan di dalam PSC untuk beberapa aliran penjanaan pendapatan di Sarawak," katanya.

Menurutnya lagi, sasaran awal adalah PSC yang sekarang ini dikawal sepenuhnya oleh Petronas.

Menjawab soalan tambahan berhubung nilai anggaran kewangan rizab gas di Sarawak dan berapa lamakah ia akan bertahan, Abdullah berkata, minyak dan gas di Sarawak menggunakan piawaian nisbah rizab kepada pengeluaran kepada kadar pengurangan terserlah.

"Rizab negeri yang ditemui dianggarkan boleh memberi bekalan untuk 15 hingga 17 tahun pada kadar pengeluaran tahunan sebanyak 5,000 MMscf sehari.

"Oleh sebab itu, pentingnya negeri ini menerusi Petros menguatkuasakan pengawasan dan melindungi kepentingan minyak dan gasnya," tegasnya.

Selain itu, beliau memberitahu, portfolio aspirasi perniagaan dan peranan PETROS digariskan oleh keinginan kerajaan negeri untuk meningkatkan sumbangan pendapatan dari hasil minyak dan gas kepada ekonomi dan pendapatan keseluruhan kerajaan negeri. 

"Pendapatan kerajaan negeri sekarang dari sumber minyak dan gas adalah kira-kira RM3 hingga 4 biliion dan kerajaan negeri mengekalkan aspirasi kenaikan sebanyak 20 peratus," ujarnya. - Utusan Borneo

SIASAT AIR PANCUT TERMAHAL DI MALAYSIA. DEPAN DUN SARAWAK.


PETRA JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat pembinaan Air Pancut Darul Hana yang didakwa mencecah RM31 juta.

Air pancut berirama di tebing Sungai Sarawak, di hadapan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) itu yang disifatkan termahal di Malaysia dan dirasmikan sempena sambutan hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong, berkata adalah tidak masuk akal membelanjakan wang pembayar cukai hanya untuk membina air pancut itu, yang hanya mempunyai tiga komponen asas iaitu air, muzik dan lampu.

“Ini hanyalah air pancut biasa yang sebahagian besarnya dari China. Selain itu, ia tidak memaparkan apa-apa kesan istimewa lain, tidak seperti yang di Dubai yang disertai dengan pertunjukan api dan cahaya.

“Oleh itu, tidakkah kita terfikir projek itu terlalu mahal, dengan peruntukan itu boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain yang memberi lebih banyak faedah kepada rakyat,” katanya mempertikaikan kos projek berkenaan ketika membahaskan Bajet Sarawak 2019 pada Persidangan DUN Sarawak, di sini hari ini.

Violet berkata, beliau difahamkan tiada tender terbuka dibuat untuk pelaksanaan projek berkenaan yang diletakkan di bawah tadbir urus Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

“Malah, ketika projek itu dibina, tiada langsung papan tanda projek didirikan di tapak projek,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) enggan mendedahkan identiti kontraktor membina air pancut itu.

Malah, katanya, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, sendiri sentiasa mengelak untuk menjawab isu berkenaan apabila didedahkan media, terutama kos pembinaannya yang tidak masuk akal.

“Apa yang begitu rahsia dengan syarikat yang membina air pancut mahal ini,” katanya.

Beliau juga mengkritik Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) kerana gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Jadi, saya ingin menggesa SPRM untuk menyiasat projek ini dengan segera,” katanya. - Berita Harian

ISU SEKOLAH DAIF DI SARAWAK BUKAN ISU BARU - KAMEK MADAH AJAK


Bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf dalam satu laporan di Astro Awani pada Jun lalu menyatakan bahawa 50 buah daripada sekolah daif di Sarawak yang diurus oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam proses pembinaan. 

21 buah sekolah dalam proses pembinaan mendahului jadual dan 29 buah sekolah berdepan masalah.

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima bagi pembinaan semula dan menaik taraf sekolah daif menggunakan kaedah IBS telah diadakan pada 23 Februari 2018.

50 buah sekolah dari jumlah 116 sekolah daripadanya diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) manakala bakinya adalah di bawah JKR.

Antara sekolah telibat ialah ; 

- Sekolah Kebangsaan Rentap, Sarikei
- Sekolah Kebangsaan Sungai Petai, Sarikei
- Sekolah Kebangsaan Pujut Corner, Miri
- Sekolah Kebangsaan Sungai Sugai, Julau
- Sekolah Kebangsaan Sungai Salim, Sibu
- Sekolah Kebangsaan Limpaki, Limbang
- Sekolah Kebangsaan Sebangki, Lubok Antu
- Sekolah Kebangsaan Sungai Pinang, Padawan
- Sekolah Jenis Kebangsaan Hua Kwong, Miri
- Sekolah Kebangsaan Melaban, Lubok Antu
- Sekolah Kebangsaan Sekarok, Lubok Antu
- Sekolah Kebangsaan Teh, Mukah
- Sekolah Kebangsaan Sungai Merah, Padawan, - Sekolah Kebangsaan Ridan, Lubok Antu
- Sekolah Kebangsaan Sungai Semerah, Padawan
- Sekolah Kebangsaan Tengin / Sedarat, Lubok Antu
- Sekolah Kebangsaan Ulu Daro
- Sekolah Kebangsaan Nanga Kumpang, Lubok Antu
- Sekolah Kebangsaan Tanah Putih, Sarikei
- Sekolah Kebangsaan Kuala Mendalam, Limbang
- Sekolah Kebangsaan Ulu Strass, Sarikei
- Sekolah Kebangsaan Nanga Lipus, Kanowit
- Sekolah Kebangsaan Rantau Kemiding, Kanowit
- Sekolah Kebangsaan Assun, Sarikei

** Mungkin banyal lagi sekolah di Sarawak yang berstatus daif dan memerlukan penambahbaikan dengan kadar segera. Selain sekolah, kemudahan asas (Elektrik, jalan dan bekalan air bersih) juga perlu diberikan perhatian serius.

JKR Malaysia juga melantik JKR Sarawak bagi agensi pelaksana menggunakan reka bentuk disediakan JKR Malaysia dan kontraktor dipilih sendiri oleh JKR Sarawak. Sebanyak 13 kontraktor telah dipilih oleh JKR Sarawak melaksanakannya dalam 13 pakej.

Kaedah pembinaan projek menggunakan teknologi sistem IBS ini mampu disiapkan dalam tempoh lebih singkat berbanding dengan konvensional.

Kerajaan sebelum ini telah memutuskan supaya kaedah IBS digunakan sepenuhnya dalam pembinaan sekolah daif ini. Kesemua 50 projek di bawah JKR Sarawak dilaksana (di Sarawak) sepatunya siap 27 Jun 2018.

Kerja-kerja pembinaan sekolah daif di negeri Sarawak dilaksana secara berpeingkat dengan peruntukan sejumlah RM1 billion dibawah Bajet 2018.

Semoga urusan pembangunan sekolah daif di Sarawak diberikan tumpuan khusus oleh kerjaan persekutuan dan kerjaan negeri.


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semsa lawatan ke Sarawak pada September 2017.


MOHAMAD Azmin meninjau kedaifan Sekolah ketika melawat Sekolah Kebangsaan Kampung Tambey, Kota Samarahan baru-baru ini. (Artikel Penuh > Azmin Sedih Lihat Sekolah Daid di Sarawak)


AZMIN SEDIH LIHAT SEKOLAH DAIF DI SARAWAK


KOTA SAMARAHAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Tambay, di sini akan dibangunkan semula membabitkan kos siling RM10 juta bermula tahun depan menerusi kontrak secara tender terbuka.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika mengumumkan perkara itu, berkata beliau sedih melihat keadaan sekolah berkenaan yang begitu daif dan menjadi lokasi pembelajaran 127 murid.

“Mengikut statistik baik pulih dan bina semula sekolah daif di Sarawak, 116 sekolah di negeri ini berada dalam senarai terbabit. Namun, kita mendapati Kementerian Pendidikan dulu hanya mampu menyiapkan 25 sekolah berkenaan.

“Berbanding projek diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, agensi berkenaan berjaya menyiapkan semua 50 sekolah. Jadi, kita membuat keputusan semua sekolah yang masih tertangguh proses baik pulih itu diserahkan kepada JKR Sarawak kerana mereka mempunyai kepakaran,” katanya.

MOHAMAD Azmin meninjau kedaifan Sekolah ketika melawat Sekolah Kebangsaan Kampung Tambey, Kota Samarahan. - NSTP/Muhd Amirul Faiz Ahmad

Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan di SK Tambay, di sini hari ini.

Turut mengiringinya Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya serta Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang.

Mohamed Azmin berkata, secara keseluruhannya, RM443 juta diperuntukkan bagi proses baik pulih dan bina semula membabitkan 116 sekolah daif di negeri ini.

“Jumlah sekolah daif keseluruhan yang berdepan masalah kritikal adalah sebanyak 415 sekolah,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata SK Tambay tidak berada dalam senarai sekolah yang terbabit dalam baik pulih dan bina semula, namun bersandarkan kepada keperluan mendesak, pihaknya bersetuju meluluskan peruntukan RM10 juta berkenaan.

Sementara itu, Abdul Karim mendedahkan, beliau sudah empat penggal atau selama 20 tahun memohon peruntukan baik pulih SK Tambay dan berterima kasih kerana akhirnya peruntukan diluluskan Kerajaan Pusat yang baharu.

“Saya yakin Kerajaan Pusat hari ini berkemampuan menjadi lebih baik daripada kerajaan terdahulu,” katanya. - Berita Harian

Belanjawan 2019 mesra sektor hartanah

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berkata kalangan peserta industri itu menyambut baik usaha kerajaan merangsang sektor hartanah menerusi beberapa cadangan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019, Jumaat lalu.

Presidennya, Datuk Ir Soam Heng Choon berkata ini termasuk cadangan Kempen Pemilikan Rumah Kebangsaan yang merupakan langkah positif bagi menguruskan isu hartanah kediaman yang tidak terjual.

"Ini serta cadangan pengecualian duti setem bagi surat cara pindah milik bagi pembelian rumah pertama berharga antara RM300,001 sehingga RM1 juta, adalah langkah tepat bagi menggalakkan lagi orang ramai memiliki hartanah sendiri. Tindakan ini juga berkesan bagi mewujudkan instrumen pemilikan aset,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas selanjutnya, Heng Choon turut mengalu-alukan cadangan kerajaan mengecualikan duti setem bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 dan dana RM1 bilion untuk membiayai pembelian rumah pertama berpendapatan bulanan tidak lebih RM2,300 (bagi pembelian hartanah berhagra RM150,000 pada kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun) yang disifatkan beliau dapat merangsang pemilikan rumah dalam jangka panjang.

“Selain itu, (cadangan) peruntukan RM25 juta kepada Cagamas Bhd bagi jaminan pajakan untuk pembeli rumah pertama berpendapatan bulanan sehingga RM5,000, akan turut melonjakkan pertumbuhan pasaran hartanah,” katanya.

Heng Choon turut berharap usaha kerajaan melanjutkan tempoh pembiayaan perumahan sektor awam di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam kepada 35 tahun daripada 30 tahun untuk pembiayaan pertama dan kedua kepada 30 tahun berbanding 25 tahun, dapat meringankan beban tekanan kewangan untuk peminjam yang menggalas pembayaran pinjaman bulanan yang tinggi.

Beliau berkata peruntukan hampir RM1.5 bilion untuk perumahan mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat, Perumahan Penjawat Awam Malaysia, PR1MA dan Syarikat Perumahan Nasional Bhd akan memastikan bekalan rumah mencukupi bagi golongan yang layak.

“Kami berharap kerajaan akan terus melaksanakan penyediaan kategori rumah ini," katanya.

Selain itu, beliau bagaimanapun melihat cadangan melaksanakan lima hingga 10 peratus cukai keuntungan harta tanah (CKHT) bagi rumah yang dijual melebihi RM200,000 serta kenaikan duti setem bagi rumah berharga melebihi RM1 juta daripada tiga peratus kepada empat peratus, sebagai kurang sesuai pada masa ini.

"Ini pasti memberi kesan kepada industri, terutama dalam tempoh mencabar ketika ini," katanya.

RM112.9 JUTA BAIKI KUARTERS POLIS


KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019 yang memperuntukkan sebanyak RM112.9 juta bagi tujuan pembaikan dan ubahsuai kuarters polis bakal memberi manfaat kepada anggota dan ahli keluarga yang mendiami kuarters di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peruntukan berkenaan akan digunakan untuk membaiki kuarters polis yang memerlukan pembaikan dengan segera, sekali gus memberikan keselesaan kepada anggota polis yang berkhidmat untuk negara.

“Terima kasih kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang memperuntukkan sejumlah RM15.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi tahun 2019 berbanding RM14.2 bilion bagi tahun ini.

“Peningkatan peruntukan ini adalah selaras dengan pertambahan dua agensi di bawah KDN iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1, sebanyak 63,963 (69.6 peratus) unit kuarters disediakan kepada anggota polis dalam usaha mempertingkatkan kebajikan anggotanya.

Daripada jumlah itu, penyediaan kuarters bagi Ibu Pejabat Polis Bukit Aman/Kontinjen adalah sebanyak 46,589, Pasukan Gerakan Am (11,939); Pusat Latihan (2,517); Pasukan Simpanan Persekutuan (1,682); Pengkalan Marin PDRM (1,179) dan Pengkalan Udara PDRM adalah sebanyak 57 kuarters.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), berkata pembentangan belanjawan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) melakar sejarahnya yang tersendiri.

Katanya, menerusi tiga fokus belanjawan iaitu melaksanakan reformasi institusi, memastikan kesejahteraan rakyat dan memupuk budaya keusahawanan, beliau yakin belanjawan terbabit mampu membiayai pengurusan negara, merangsang pertumbuhan ekonomi serta memberi faedah kepada rakyat.

“Keyakinan ini adalah berasaskan beberapa petunjuk ekonomi yang memberangsangkan antaranya prestasi ringgit yang semakin baik, kadar inflasi yang kekal rendah dan pertumbuhan ekonomi yang dijangka lebih positif pada tahun hadapan.

“Dengan langkah-langkah konsolidasi fiskal yang akan diambil oleh kerajaan, defisit juga akan berkurangan sehingga 2.8 peratus pada tahun 2021.

“Tanggungan negara juga akan berkurangan dengan pembatalan beberapa projek mega kerajaan kleptokrat Barisan Nasional yang dilaksanakan berasaskan perjanjian yang berat sebelah dan kos yang tidak munasabah,” katanya.

SEKOLAH DAIF DI SARAWAK AKAN DI BANTU


Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri akan merumuskan cadangan bagi mewujudkan pakej kewangan yang efektif untuk melaksanakan pelbagai inisiatif penyelesaian terhadap isu sekolah daif di Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Cadangan itu akan dikemukakan kepada mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Itu antara langkah penyelesaian yang dicadangkan terhadap isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat Penyelarasan Pembinaan Sekolah-sekolah Daif Sarawak yang dipengerusikan Ahmad Zahid dalam lawatan kerjanya di sini semalam.

Bercakap pada persidangan media di penghujung lawatan kerja dua harinya di Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Sibu di sini, beliau berkata selain sekolah daif , masalah yang dibangkitkan termasuk isu sekolah kurang murid dan kekurangan kemudahan seperti bekalan air (447 sekolah) dan elektrik (375 sekolah).

Mesyuarat sebelum itu diberitahu hanya 29.9 peratus sekolah di Sarawak yang berada pada tahap pembelajaran selesa dan selebihnya daif dan separa daif.

Ahmad Zahid berkata kerajaan persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 juga telah meluluskan 300 projek pembangunan semula sekolah untuk dilaksanakan di Sarawak dalam usaha menangani isu sekolah daif ini.

Pada masa yang sama 183 sekolah telah diluluskan dalam rolling plan kedua di bawah RMK-11 untuk dilaksanakan melalui kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan peruntukan RM366 juta.

“Sepanjang 2016 dan tahun ini, 50 sekolah daif telah dan sedang dibina Kementerian Pendidikan menerusi kaedah tersebut dengan kos RM153.3 juta. Daripada 50 sekolah itu, 23 telah pun siap dibina, manakala 27 lagi sedang dalam pembinaan, termasuk empat sekolah yang dibina JKR, ” jelas beliau.

Timbalan perdana menteri berkata kerajaan Sarawak menjadikan pembangunan sekolah daif sebagai keutamaan dan fokus termasuk mengadakan pembentangan dan membincangkan isu-isu berkaitannya dalam mesyuarat menteri Kabinet negeri pada 24 Ogos lepas, bagi memperinci tindakan-tindakan proaktif yang perlu diambil untuk menanganinya.

Sekolah yang dikatakan daif ialah sebanyak 1,020 daripada 1,454 sekolah di Sarawak termasuk yang mengalami kerosakan kritikal lebih 75 peratus dan kebanyakan berusia lebih 50 tahun yang memerlukan pembaikan segera. - BERNAMA