SIASAT AIR PANCUT TERMAHAL DI MALAYSIA. DEPAN DUN SARAWAK.


PETRA JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat pembinaan Air Pancut Darul Hana yang didakwa mencecah RM31 juta.

Air pancut berirama di tebing Sungai Sarawak, di hadapan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) itu yang disifatkan termahal di Malaysia dan dirasmikan sempena sambutan hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong, berkata adalah tidak masuk akal membelanjakan wang pembayar cukai hanya untuk membina air pancut itu, yang hanya mempunyai tiga komponen asas iaitu air, muzik dan lampu.

“Ini hanyalah air pancut biasa yang sebahagian besarnya dari China. Selain itu, ia tidak memaparkan apa-apa kesan istimewa lain, tidak seperti yang di Dubai yang disertai dengan pertunjukan api dan cahaya.

“Oleh itu, tidakkah kita terfikir projek itu terlalu mahal, dengan peruntukan itu boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain yang memberi lebih banyak faedah kepada rakyat,” katanya mempertikaikan kos projek berkenaan ketika membahaskan Bajet Sarawak 2019 pada Persidangan DUN Sarawak, di sini hari ini.

Violet berkata, beliau difahamkan tiada tender terbuka dibuat untuk pelaksanaan projek berkenaan yang diletakkan di bawah tadbir urus Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

“Malah, ketika projek itu dibina, tiada langsung papan tanda projek didirikan di tapak projek,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) enggan mendedahkan identiti kontraktor membina air pancut itu.

Malah, katanya, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, sendiri sentiasa mengelak untuk menjawab isu berkenaan apabila didedahkan media, terutama kos pembinaannya yang tidak masuk akal.

“Apa yang begitu rahsia dengan syarikat yang membina air pancut mahal ini,” katanya.

Beliau juga mengkritik Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) kerana gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Jadi, saya ingin menggesa SPRM untuk menyiasat projek ini dengan segera,” katanya. - Berita Harian