Showing posts with label Sekolah. Show all posts
Showing posts with label Sekolah. Show all posts

KEBAKARAN DI SMK MENDAMIT


LIMBANG: Pelbagai dokumen dan peralatan sekolah musnah selepas empat buah pejabat di tingkat satu bangunan pentadbiran  sekolah SMK  Medamit ranap dalam kebakaran yang berlaku tengah malam tadi.

Kejadian jam 12.10 tengah malam itu disedari pengawal keselamatan yang pada awalnya berusaha memadam api dengan menggunakan dua tong pemadam api namun tidak berjaya kerana api merebak dengan cepat. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang Tawang Lingem berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 12.28  tengah malam.

"Kebakaran melibatkan bangunan bilik guru  di tingkat atas  yang 50 peratus terbakar.

 " Tindakan pihak bomba adalah dengan memadamkan kebakaran tersebut menggunakan sumber air dari jentera dan sumber air terbuka sehingga api padam sepenuhnya,"katanya di sini, sebentar tadi.

Jelasnya  teknik RECEO telah di aplikasikan di dalam operasi pemadaman, dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 5:16 pagi. 

Kebakaran jelasnya  tidak melibatkan kecederaan mangsa.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata kebakaran melibatkan empat pejabat  di tingkat  satu Pejabat Pentadbiran SMK Medamit.

 Hasil siasatan awal katanya kebakaran dipercayai berpunca dari percikan api wayar dibahagian tiang pejabat Kaunseling dan merebak ke pejabat lain. - Utusan Borneo

JANGAN SAMAKAN KOS BINA SEMULA SEKOLAH DAIF


KUCHING : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Chong Chieng Jen seharusnya tidak menyamakan kos pembinaan semula setiap sekolah daif negeri ini.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee berkata pelbagai faktor berkaitan projek berkenaan mesti diambil kira dan setiap sekolah memerlukan keperluan berbeza.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Chong Chieng Jen mempersoal kos pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Segan, Bintulu dan SK Maludam, Betong yang mencecah kira-kira RM88.2 juta.

Beliau berkata kedua-dua sekolah berkenaan mempunyai keperluan berbeza terutama dari segi fasiliti disediakan.

“Sebagai contoh, SK Ulu Segan mempunyai dua asrama untuk 200 pelajar, tidak hanya bilik darjah. Apabila ada asrama, ia perlu dua blok, satu untuk pelajar lelaki dan satu blok lagi untuk perempuan serta dewan makan.

“Sesetengah sekolah tidak memerlukan fasiliti seperti ini dan kos (pembinaannya) lebih murah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bilik Media, Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Beliau menambah, faktor lain perlu diambil kira termasuk lokasi sekolah serta struktur tanah (tapak).

“Faktor-faktor ini perlu diambil kira dan oleh itu beliau (Chong) tidak boleh me-      nyamakan ‘Sekolah A’ kosnya RM40 juta dan ‘Sekolah B’ juga RM40 juta.

“Kamu tidak boleh me-nyamakannya seperti itu,” ujarnya.

Dr Annuar yang juga ADUN Nangka juga berkata adalah tidak adil untuk Chong mempersoal kenapa sekolah yang hanya mempunyai kira-kira 200 pelajar memerlukan sebuah sekolah yang kosnya RM40 juta.

“Ini tidak adil kerana kita mengambil kira masa depan, kawasan ini akan berkembang maju. Penduduknya akan bertambah pada masa akan datang.

“Jika kita membina sekolah hanya untuk menempatkan 250 pelajar, 10 tahun kemudian, jika ada keperluan untuk membina sekolah baharu, kosnya mungkin lebih mahal,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sebagai pemimpin, perlulah lebih bertanggungjawab me-rancang masa depan.

“Beliau (Chong) adalah timbalan menteri, jadi beliau perlu lebih bertanggung-       jawab apabila bertanya soalan. Kamu perlu merancang untuk masa depan bukan hanya untuk hari ini,” ujarnya.

Terdahulu pada sidang media pagi semalam, Chong yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak mencabar Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Tek-nologi Dato Sri Michael Manyin dan Dr Annuar agar mendedahkan spesifikasi penuh cadangan projek bina semula SK Ulu Segan dan SK Maludam.

Chong berkata RM40 juta untuk membina semula SK Ulu Segan di lokasi baharu dan RM48.2 juta juga untuk membina semula SK Meludam, Betong di lokasi baharu adalah jumlah yang luar biasa.

“Semalam Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Pe-nyelidikan Teknologi Dr Annuar dalam jawapannya berkata setiap sekolah memerlukan kos jumlah yang berbeza untuk dibaik pulih atau dibina semula dan jumlah pelajar bukan penentu kos.

“Justeru turut mencabar Menteri (Manyin) dan Menteri Muda menyatakan spesifikasi penuh projek pembinaan semula sekolah ini, sehingga ia memerlukan kos yang sangat tinggi termasuk bagaimana tender dibuat sama ada kontraktor dilantik atau dipilih,” katanya. - Utusan Borneo

AZMIN SEDIH LIHAT SEKOLAH DAIF DI SARAWAK


KOTA SAMARAHAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Tambay, di sini akan dibangunkan semula membabitkan kos siling RM10 juta bermula tahun depan menerusi kontrak secara tender terbuka.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika mengumumkan perkara itu, berkata beliau sedih melihat keadaan sekolah berkenaan yang begitu daif dan menjadi lokasi pembelajaran 127 murid.

“Mengikut statistik baik pulih dan bina semula sekolah daif di Sarawak, 116 sekolah di negeri ini berada dalam senarai terbabit. Namun, kita mendapati Kementerian Pendidikan dulu hanya mampu menyiapkan 25 sekolah berkenaan.

“Berbanding projek diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, agensi berkenaan berjaya menyiapkan semua 50 sekolah. Jadi, kita membuat keputusan semua sekolah yang masih tertangguh proses baik pulih itu diserahkan kepada JKR Sarawak kerana mereka mempunyai kepakaran,” katanya.

MOHAMAD Azmin meninjau kedaifan Sekolah ketika melawat Sekolah Kebangsaan Kampung Tambey, Kota Samarahan. - NSTP/Muhd Amirul Faiz Ahmad

Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan di SK Tambay, di sini hari ini.

Turut mengiringinya Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya serta Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang.

Mohamed Azmin berkata, secara keseluruhannya, RM443 juta diperuntukkan bagi proses baik pulih dan bina semula membabitkan 116 sekolah daif di negeri ini.

“Jumlah sekolah daif keseluruhan yang berdepan masalah kritikal adalah sebanyak 415 sekolah,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata SK Tambay tidak berada dalam senarai sekolah yang terbabit dalam baik pulih dan bina semula, namun bersandarkan kepada keperluan mendesak, pihaknya bersetuju meluluskan peruntukan RM10 juta berkenaan.

Sementara itu, Abdul Karim mendedahkan, beliau sudah empat penggal atau selama 20 tahun memohon peruntukan baik pulih SK Tambay dan berterima kasih kerana akhirnya peruntukan diluluskan Kerajaan Pusat yang baharu.

“Saya yakin Kerajaan Pusat hari ini berkemampuan menjadi lebih baik daripada kerajaan terdahulu,” katanya. - Berita Harian

SEKOLAH DAIF DI SARAWAK AKAN DI BANTU


Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri akan merumuskan cadangan bagi mewujudkan pakej kewangan yang efektif untuk melaksanakan pelbagai inisiatif penyelesaian terhadap isu sekolah daif di Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Cadangan itu akan dikemukakan kepada mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Itu antara langkah penyelesaian yang dicadangkan terhadap isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat Penyelarasan Pembinaan Sekolah-sekolah Daif Sarawak yang dipengerusikan Ahmad Zahid dalam lawatan kerjanya di sini semalam.

Bercakap pada persidangan media di penghujung lawatan kerja dua harinya di Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Sibu di sini, beliau berkata selain sekolah daif , masalah yang dibangkitkan termasuk isu sekolah kurang murid dan kekurangan kemudahan seperti bekalan air (447 sekolah) dan elektrik (375 sekolah).

Mesyuarat sebelum itu diberitahu hanya 29.9 peratus sekolah di Sarawak yang berada pada tahap pembelajaran selesa dan selebihnya daif dan separa daif.

Ahmad Zahid berkata kerajaan persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 juga telah meluluskan 300 projek pembangunan semula sekolah untuk dilaksanakan di Sarawak dalam usaha menangani isu sekolah daif ini.

Pada masa yang sama 183 sekolah telah diluluskan dalam rolling plan kedua di bawah RMK-11 untuk dilaksanakan melalui kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan peruntukan RM366 juta.

“Sepanjang 2016 dan tahun ini, 50 sekolah daif telah dan sedang dibina Kementerian Pendidikan menerusi kaedah tersebut dengan kos RM153.3 juta. Daripada 50 sekolah itu, 23 telah pun siap dibina, manakala 27 lagi sedang dalam pembinaan, termasuk empat sekolah yang dibina JKR, ” jelas beliau.

Timbalan perdana menteri berkata kerajaan Sarawak menjadikan pembangunan sekolah daif sebagai keutamaan dan fokus termasuk mengadakan pembentangan dan membincangkan isu-isu berkaitannya dalam mesyuarat menteri Kabinet negeri pada 24 Ogos lepas, bagi memperinci tindakan-tindakan proaktif yang perlu diambil untuk menanganinya.

Sekolah yang dikatakan daif ialah sebanyak 1,020 daripada 1,454 sekolah di Sarawak termasuk yang mengalami kerosakan kritikal lebih 75 peratus dan kebanyakan berusia lebih 50 tahun yang memerlukan pembaikan segera. - BERNAMA

KOS RM90 JUTA : 30 SEKOLAH DAIF SIAP HUJUNG TAHUN INI



Keseluruhan projek yang dibahagikan kepada beberapa pakej menelan kos sekitar RM90 juta menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).

SADONG JAYA : Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohammad Yusoff berkata projek menaik taraf 30 sekolah daif di seluruh Sarawak siap selewat-lewatnya akhir 2017.

Khair semasa melawat dan meninjau SK Haji Bujang Rawangan Putin berkata, keseluruhan projek yang dibahagikan kepada beberapa pakej menelan kos sekitar RM90 juta menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).

SK Haji Rawangan Putin siap dalam tempoh 19 hari menggunakan produk konkrit IBS sepenuhnya menelan kos sekitar RM1.5 juta.

Dikenal pasti terdapat 183 sekolah daif yang mendesak di Sarawak untuk dibaik pulih dan dipertingkatkan prasarananya demi kesejahteraan guru dan pelajar.

Terdapat beberapa sekolah diganti dengan bangunan baru yang menggunakan teknologi IBS, sementara yang lain masih diperbaiki mengikut pembinaan biasa.

Kini, penubuhan kementerian baharu dalam barisan kabinet negeri menjadikan Sarawak lebih fokus terhadap isu pendidikan di negeri ini.

Pada rombakan kabinet awal Mei lepas, portfolio pelajaran diletakkan di bawah Kerajaan Negeri dengan Datuk Sri Michael Manyin menggalas jawatan sebagai Menteri Pelajaran, Sains dan Teknologi Penyelidikan.

Selain isu membaik pulih sekokah daif, kerajaan juga sedang memberi fokus kepada isu penggabungan beberapa Sekolah Kurang Murid (SKM).

SKM ditangani demi kebaikan kebajikan pelajar, guru dan ibu bapa, mengelak berlaku keciciran dan urid terabai selain menjimatkan sumber tenaga.