BELANJAWAN 2019 : USAH GOPOH PERKENAL DASAR BAHARU


BELANJAWAN 2019 yang selesai dibentang baru-baru ini menghadirkan dua isu mendapat perhatian lebih daripada rakyat, iaitu bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi potongan gaji serta subsidi bersasar petrol RON95 bagi kenderaan dengan kapasiti enjin 1,500 cc ke bawah.

Bagi bayaran balik pinjaman PTPTN yang diperdebatkan ialah syarat dikenakan kepada mereka yang memiliki pendapatan lebih RM1,000 dengan kadar potongan ditetapkan bermula dua peratus hingga 15 peratus.


Dari satu aspek, cadangan itu sebenarnya satu pendekatan baharu yang positif diperkenal kerajaan, terutama dalam meningkatkan kutipan daripada peminjam, namun langkah itu bertentangan dengan janji Pakatan Harapan (PH) sendiri untuk menangguhkan bayaran PTPTN kepada peminjam berpendapatan kurang RM4,000 sebulan.

Lebih menghangatkan perdebatan, ialah ketetapan baharu bayaran balik pinjaman berkenaan diumumkan hanya beberapa bulan selepas PH diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan.

Sehari selepas membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakui janji Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebelum ini sukar diteruskan, manakala hujah bagi melaksanakan langkah baharu kutipan itu bertujuan menjamin kelestarian dana PTPTN.

Dengan pengumuman langkah baharu itu, ada kebimbangan berkisar kepada aspek bagaimana kaedah pelaksanaan akan dibuat kelak serta sama ada ia mampu mencapai keberkesanan yang optimum dan menyeluruh.

Perlu pendekatan teliti

Apakah akan ada syarat baharu dikenakan PTPTN untuk memastikan peminjamnya membayar semula hutang pinjaman? Sudah pasti dengan mewajibkan pemotongan gaji, ia memerlukan satu pendekatan teliti, progresif dan menyeluruh.

Pertama, bagaimana PTPTN mengenal pasti peminjam yang mempunyai pendapatan RM1,000 hingga RM2,800 sebulan yang selama ini tiada rekod Potongan Cukai Berjadual (PCB) dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

LHDN sebelum ini menetapkan mulai 2015, individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 atau RM2,833 sebulan (selepas potongan KWSP) perlu mendaftarkan fail cukai pendapatan.

Kedua, bagi individu bekerja sendiri, bagaimana rekod dan profil mereka boleh dijejak dan diperoleh supaya termasuk dalam senarai untuk diwajibkan potongan gaji bulanan.

Ketiga, bagaimana penetapan kadar dua peratus hingga 15 peratus ditentukan kepada seseorang peminjam dan apa syarat tambahan ditentukan kepada peminjam sebelum mereka layak menerima kadar peratusan tertentu.

Dalam hal sebegini, ia pasti membuka kritikan hebat kelak oleh peminjam, terutama mereka yang berpendapatan RM1,000 hingga RM3,000 sebulan kerana ia membabitkan komitmen bulanan mereka dan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung ketika ini.

Walau apapun pendekatan bakal diperkenal, rakyat sudah mula melihat dasar tidak konsisten PH dalam soal PTPTN, terutama selepas pengumuman menangguhkan bayaran dan menarik semula senarai hitam keluar negara bagi peminjam yang ingkar.

Isu kedua, subsidi petrol RON95 bagi kenderaan bawah 1,500cc dan motosikal bawah 125cc. Cadangan seumpama ini pernah berbangkit ketika era Barisan Nasional (BN), namun tidak dilaksanakan.

Sehari selepas pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, kerajaan akan mengambil kira juga pendapatan pemilik, usia dan kuasa kuda kereta dalam menentukan kelayakan penerima.

Apa pun syarat yang akan ditetapkan, ia mungkin tidak menjejaskan matlamat pengenalan dasar ini, namun kebimbangan wujud berkait soal keberkesanan pelaksanaannya nanti, sama ada ia benar-benar satu dasar yang memenuhi konsep pemberian subsidi bersasar atau hanya membuka kepada kelompong ketirisan.

Cadangan kad elektronik

Presiden Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, mencadangkan penggunaan kad elektronik mengandungi nilai bulanan RM30 untuk pemilik kereta dan RM12 untuk pemilik motosikal diguna pakai bagi melaksanakan subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter itu.

Jika pengenalan kad seumpama itu diperkenal, sudah pasti penentuan kelayakan ketika proses permohonan mesti diteliti secara menyeluruh serta aspek penggunaannya supaya hanya individu yang layak menikmati insentif itu, sekali gus mengelak sebarang penyalahgunaan kad.

Satu lagi perkara diperdebatkan ialah penetapan kuasa kuda kereta. Ada juga kenderaan import yang mempunyai kuasa kuda bawah 1,500cc, malah ada individu berpendapatan melebihi RM5,000 sebulan atau bekerja sendiri, turut menggunakan kenderaan bawah 1,500cc.

Justeru, kerajaan mesti memikirkan mekanisme yang berkesan dalam pengenalan subsidi petrol cara baharu ini. Jika tidak, ia bakal menjadi satu lagi isu yang mungkin boleh menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan baharu.

Subsidi petrol menjadi isu yang begitu dekat dengan rakyat. BN hilang mandat dua pertiga di Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 disebabkan salah satu faktornya adalah keputusan kerajaan ketika itu menaikan harga petrol secara mendadak.

Sebelum PRU-14 juga, BN memperkenalkan dasar mengapungkan harga petrol RON95 di pasaran mengikut Mekanisme Harga Automatik (APM).

Kesan pelaksanaan itu, harga ditentukan mengikut pasaran sehingga mempengaruhi peningkatan harga bagi industri tertentu. Akhirnya, rakyat menanggung kenaikan kos barangan.

Mengambil iktibar daripada polemik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), walaupun diakui sendiri oleh Guan Eng bahawa GST satu cukai cekap dan telus, namun stigma rakyat menganggap ia menyusahkan.

Semua itu berpaksi kepada aspek keberkesanan pelaksanaan yang gagal dipenuhi kerajaan terdahulu.

Justeru, berbekalkan tempoh singkat mentadbir selama enam bulan sejak menguasai Putrajaya pada Mei lalu, kerajaan PH tidak seharusnya terlalu terkejar-kejar untuk memperkenalkan dasar baharu.

Lebih baik fokus kepada keberkesanan pelaksanaan dasar sedia ada ditinggalkan BN, jika ia terbukti membawa manfaat kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment