AZMIN SEDIH LIHAT SEKOLAH DAIF DI SARAWAK


KOTA SAMARAHAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Tambay, di sini akan dibangunkan semula membabitkan kos siling RM10 juta bermula tahun depan menerusi kontrak secara tender terbuka.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika mengumumkan perkara itu, berkata beliau sedih melihat keadaan sekolah berkenaan yang begitu daif dan menjadi lokasi pembelajaran 127 murid.

“Mengikut statistik baik pulih dan bina semula sekolah daif di Sarawak, 116 sekolah di negeri ini berada dalam senarai terbabit. Namun, kita mendapati Kementerian Pendidikan dulu hanya mampu menyiapkan 25 sekolah berkenaan.

“Berbanding projek diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, agensi berkenaan berjaya menyiapkan semua 50 sekolah. Jadi, kita membuat keputusan semua sekolah yang masih tertangguh proses baik pulih itu diserahkan kepada JKR Sarawak kerana mereka mempunyai kepakaran,” katanya.

MOHAMAD Azmin meninjau kedaifan Sekolah ketika melawat Sekolah Kebangsaan Kampung Tambey, Kota Samarahan. - NSTP/Muhd Amirul Faiz Ahmad

Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan di SK Tambay, di sini hari ini.

Turut mengiringinya Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya serta Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang.

Mohamed Azmin berkata, secara keseluruhannya, RM443 juta diperuntukkan bagi proses baik pulih dan bina semula membabitkan 116 sekolah daif di negeri ini.

“Jumlah sekolah daif keseluruhan yang berdepan masalah kritikal adalah sebanyak 415 sekolah,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata SK Tambay tidak berada dalam senarai sekolah yang terbabit dalam baik pulih dan bina semula, namun bersandarkan kepada keperluan mendesak, pihaknya bersetuju meluluskan peruntukan RM10 juta berkenaan.

Sementara itu, Abdul Karim mendedahkan, beliau sudah empat penggal atau selama 20 tahun memohon peruntukan baik pulih SK Tambay dan berterima kasih kerana akhirnya peruntukan diluluskan Kerajaan Pusat yang baharu.

“Saya yakin Kerajaan Pusat hari ini berkemampuan menjadi lebih baik daripada kerajaan terdahulu,” katanya. - Berita Harian