Showing posts with label Bintulu. Show all posts
Showing posts with label Bintulu. Show all posts

PELIK TAPI BENAR. NELAYAN HILANG 3 HARI DILAUT DIHANTAR PULANG OLEH ORANG BUNIAN?


24 Oktober lalu seorang nelayan dari Kampung Hilir Pusa, Betong terjatuh ke laut dari kapal menangkap ikan di perairan Bintulu (35 batu nautika dari Tanjung Kidurong) kira-kira jam 9.15 malam.

Setelah 3 hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malayisa (APMM), mangsa yang dikenali sebgai Hamden Dandan berumur 41 tahun dijumpai oleh oleh Jeragan Anai dan krewnya (Pantai ABF) di kejauhan 38 batu nautika atau lebih tepat Pelantar Minyak Pemanis pada pukul 5.15 ptg 27 Oktober.

Yang peliknya, mangsa dijumpai berada diatas Pelantar Minyak Pemanis yang dikatakan tidak digunakan lagi sejak sekian lama. Dan yang peliknya lagi mangsa di berada di atas pelantar minyak yang mustahil untuk dinaiki begitu sahaja tanpa menggunakan bot atau kapal.

Ada yang mengatakan mangsa dihantar oleh orang bunian balik. Pelik tapi benar. 

Setelah beberapa hari berada di Hospital Bintulu, mangsa di bawa pulang ke kampung halaman dan beberapa kali 'diganggu'.

Semoga semuanya baik-baik saja.

Info gambar : Bintulu News

LELAKI MAUT, MOTOSIKAL REMPUH 4 X 4 DI BINTULU


BINTULU: Seorang lelaki maut setelah motosikal ditunggangnya merempuh sebuah pacuan empat roda (4X4), dalam insiden yang berlaku di kawasan Batu 8, Jalan Bintulu-Miri, sekitar jam 7.55 pagi tadi. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu mengesahkan, mangsa yang maut di lokasi kejadian, dikenali sebagai Mohammad Ikmal Andrew, 19, akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan. 

Adalah difahamkan, pemandu 4X4 terbabit, tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Jelasnya, siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa yang sedang bergerak laju dari arah Miri menujuke Bintulu, merempuh pacuan empat roda terbabit yang ingin keluar simpang. 

"Siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan berlakunya kemalangan," jelasnya.

Kes ini katanya akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Rumah Mayat Hospital Bintulu, bagi tujuan bedah siasat

LOTERI HARAM : DUA WANITA DICEKUP DI BINTULU


BINTULU: Pelbagai taktik digunakan sindiket perjudian haram di Sarawak, termasuk menjadikan gadis muda dan wanita cantik sebagai ‘pelaris’ jualan loteri haram mereka.

Helah itu terbongkar selepas dua wanita tempatan berusia 23 dan 30 tahun ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dalam dua serbuan berasingan semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti sindiket berkenaan.

“Serbuan dilakukan pada jam 1.30 petang dan 5.30 petang semalam melalui operasi khas, Ops Dadu, khusus bagi membersihkan daerah ini dari sebarang aktiviti perjudian haram.

“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM380 dipercayai hasil jualan loteri haram berkenaan, selain dua unit telefon bimbit, mesin pengira, dua unit mesin cetak mudah alih dan helaian kertas dipercayai rekod pertaruhan,” katanya.

Katanya, serbuan dilakukan atas maklumat risikan susulan aduan awam mengenai kegiatan mencurigakan di kedua-dua premis berkenaan.

“Kedua-dua suspek direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM200,000 atau lima tahun penjara atau kedua-dua sekali,” katanya.

Sementara itu, beliau menghargai kerjasama orang ramai dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerangi kegiatan perjudian haram dengan menyalurkan maklumat berkaitan. - Berita Harian

MAUT SELEPAS MELANGGAR POKOK DI BINTULU


BINTULU : Seorang lelaki maut apabila sebuah van yang ditumpanginya terbabas melanggar pokok di tepi jalan dalam kemalangan kendiri di Jalan Alamanda 12 Bandar Jaya Park di sini pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu TPgB Mohamad Meramit berkata, kemalangan tersebut melibatkan dua mangsa yang mana pemandu van, Raymond Bengau, 26, yang cedera di kepala dan tangan kanan berjaya keluar dari kenderaan tersebut namun penumpang sebelah pemandu tersepit di tempat duduk. 

"Anggota yang tiba di lokasi bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan 'hydrolic tool'. Setelah berjaya di keluarkan mangsa, Adin Len, 29, yang disahkan meninggal dunia oleh paramedik Hospital Bintulu di tempat kejadian seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," ujarnya di sini hari ini. 

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sekitar jam 5.23 pagi dan bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera FRT, sebuah EMRS bersama 10 anggota yang diketuai PBK II Stephen Plen. - Utusan Borneo

LEBUHRAYA PAN BORNEO AKHIRI PENANTIAN 50 TAHUN

Kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo giat dijalankan di
laluan Kampung Penan-Muslim, Jalan Bintulu-Miri.

BINTULU: Selepas 50 tahun 'menunggu', impian penduduk Sabah dan Sarawak memiliki lebuh raya moden merentasi kedua-dua negeri terbesar di Malaysia ini bakal terlaksana dalam tempoh kurang lima tahun dari sekarang.

Menjangkau jarak kira-kira 1,089 kilometer, bermula dari Telok Melano, Sematan, Sarawak iaitu titik paling selatan Kepulauan Borneo ke Lawas, projek mega berkenaan dibawakan Barisan Nasional (BN) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan peruntukan RM14.2 bilion.

Fasa Pertama - Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dirasmikan sendiri Najib di Tapak Projek Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Simpang Bakun pada 30 Mac 2015, sekali gus memperlihatkan beliau serius dalam membawakan kemajuan ke negeri ini.

Disifatkan sebagai Projek Kejuruteraan Terhebat di Kepulauan Borneo, ia sebahagian daripada aku janji dalam manifesto BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), dengan kerja-kerja pembinaannya sedang rancak berjalan ketika ini.

Malah, ia turut mencipta sejarah sebagai projek lebuh raya empat lorong Kategori 'R5' pertama dibina tanpa tol, selain diyakini mampu merangsang pembangunan setempat, sekali gus meningkatkan sosio-ekonomi rakyat, termasuk melalui kewujudan banyak bandar baharu di sepanjang lebuh raya, selain sektor pelancongan.

"Ia bakal membawa satu ledakan perubahan yang cukup besar kepada Sarawak, bukan hanya dalam konteks pembangunan, bahkan juga sosioekonomi rakyat," katanya.


Tingkat sosioekonomi

Keyakinan Najib bersandarkan keupayaan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang berjaya membawa banyak impak pembangunan dari Johor hingga ke Perlis sebelum ini.

Bagi Najib yang juga Pengerusi BN Pusat, projek berkenaan dilihatnya sebagai 'agen perubahan' yang berupaya membawa perubahan kepada pembangunan negeri ini, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar, sekali gus memberi impak positif kepada sosio-ekonomi rakyat.

"Ia bukan hanya membuka akses perhubungan darat lebih cekap, seterusnya mewujudkan banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat setiap kawasan laluannya, termasuk kemunculan banyak bandar baharu.

"Dari segi pelaksanaan pula, ia turut memberi banyak faedah kepada kontraktor kecil, terutama milik Bumiputera Sarawak yang terbabit dalam projek itu melalui kaedah Rakan Pelaksana Projek (PDP)," katanya.

Malah, beliau turut memberi jaminan projek mega itu, yang juga sebahagian daripada usaha merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, dapat disiapkan mengikut jadual kerana tidak mahu rakyat di kedua-dua negeri ini terus 'menunggu'.

Sementara itu, tinjauan wartawan NSTP di tapak projek Fasa Pertama Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, mendapati kerja pembinaan berjalan lancar membabitkan Jajaran Simpang Nyabau - Simpang Bakun, di sini.

Bagi penduduk Kizie Matusup, 36, pembinaan lebuh raya itu satu rahmat yang sudah tentu memudahkan pergerakan penduduk dari wilayah utara ke selatan negeri, yang sebelum ini mengambil tempoh terlalu lama.

"Dari Kuching ke Miri ketika ini, kita mengambil masa perjalanan antara 12 hingga 13 jam, bergantung kepada keadaan trafik, yang cukup memenatkan. Adanya lebuh raya ini, tempoh perjalanan dapat dipendekkan sekurang-kurangnya separuh," katanya.

Lakaran artis dari udara bangunan International Convention Centre (SICC) di Kota Kinabalu.
Jana pertumbuhan ekonomi

Malah, pembinaan lebuh raya itu, yang dimulakan sejak tiga tahun lalu turut membantu pertumbuhan ekonomi penduduk setempat melalui aktiviti perniagaan makanan dan minuman, termasuk barangan keperluan harian kepada kontraktor serta pekerja mereka.

Di Sarawak, 11 fasa projek itu sedang giat dilaksanakan, dengan kebanyakannya membabit proses menaik taraf Jalan Persekutuan daripada dua kepada empat lorong, kecuali Jajaran Teluk Melano-Sematan, satu-satunya jajaran baharu dibina atas permintaan bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Ia turut membabitkan pembinaan jambatan penghubung, selain kemudahan berkaitan yang diperlukan bagi rangkaian lebuh raya seperti Kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah pula, membabitkan 35 pakej kerja bernilai RM12.8 bilion bermula dari Sindumin, Sipitang hingga ke Tawau, dengan tujuh fasa sedang dilaksanakan ketika ini selepas dilancarkan Najib antara April 2016 hingga Disember 2017.

Pengarah Urusan Borneo Highway PDP, Ir Shahelmy Yahya, berkata sehingga akhir Mac 2018, lima daripada pakej itu pada peringkat kerja tanah untuk membina jajaran jalan raya dan jambatan, manakala dua lagi dalam proses memasuki tapak.

Beliau berkata, penyerahan baki pakej projek itu kepada kontraktor dijangka diselesaikan pada akhir Jun depan dengan 10 daripadanya membabitkan jajaran di kawasan pantai barat, manakala 18 pakej lagi di kawasan tengah dan pantai timur Sabah.

"Setakat Mac 2018, 10 pakej baharu diluluskan Kementerian Kewangan dengan lima daripadanya sudah dikeluarkan surat lantikan, manakala lima lagi dalam proses untuk mengeluarkan surat. Empat pakej lagi di peringkat menunggu kelulusan peruntukan, manakala 14 pakej dalam proses tender dan penilaian awal kejuruteraan," katanya.

Di Sabah, projek itu turut membabitkan pembinaan tiga jajaran baharu iaitu Putatan - Inanam dikenali Jalan Lingkaran Luar Kota Kinabalu (KKOR), Jalan Pesisir Pantai Tuaran - Kudat dan Jalan Lahad Datu Bypass.

Shahelmey berkata, berdasarkan perkembangan semasa, termasuk keperluan bahan pembinaan asas jalan raya seperti batu aggregat yang dijamin mencukupi, pihaknya yakin projek itu mampu disiapkan mengikut jadual.

Katanya, walaupun ada pihak meragui perkara itu, pihaknya memberi jaminan pelaksanaan projek berjalan lancar selepas proses tender dan penyerahan semua pakej kepada kontraktor selesai.

Kerja mengikut jadual

"Jika ada pun masalah, ia mungkin berpunca keadaan cuaca dan proses pengambilan tanah yang melewatkan kerja. Namun, kita sudah mengingatkan semua kontraktor supaya memastikan kerja berjalan lancar mengikut jadual," katanya.

Sementara itu, tempoh dua jam menunggu adalah sesuatu yang biasa perlu diharungi penduduk setempat, terutama pada waktu puncak dan hujung minggu, untuk menggunakan perkhidmatan feri menyeberangi Sungai Batang Sadong.

Ia boleh berlarutan hingga empat jam pada musim perayaan apabila pengguna terpaksa berbaris panjang menunggu giliran, tidak termasuk termasuk tempoh 'belayar' di antara 30 hingga 45 minit, bergantung kepada arus sungai.

Kepayahan penduduk itu mendapat perhatian Perdana Menteri ketika meluangkan masa meninjau keadaan berkenaan dalam siri lawatan kerjanya sebelum ini, seterusnya mengumumkan pembinaan Jambatan Batang Sadong.

Siap sepenuhnya pada 2016, jambatan dua lorong bernilai RM231 juta itu 'hadiah istimewa Kerajaan Persekutuan kepada warga Parlimen Batang Sadong, yang juga antara kubu terkuat BN di Sarawak.

Binaan sepanjang 1.5 kilometer menjadi akses perhubungan darat yang cekap kepada 70,000 penduduk setempat, termasuk dari kawasan berhampiran seperti Sebuyau dan Simunjan.

Penduduk, Affendi Ayub,52, berkata jambatan itu tidak hanya menyediakan laluan penghubung yang selesa, tetapi membuka banyak peluang ekonomi di kawasan setempat, terutama berasaskan aktiviti pertanian, perikanan dan penternakan.

"Jambatan Batang Sadong bukti keprihatinan Kerajaan Pusat dan BN membawa kemajuan ke kawasan pedalaman dan luar bandar di Sarawak, bukan hanya dalam konteks pembangunan, bahkan juga ekonomi.

"Ia membantu penduduk membawa keluar hasil pertanian dan perikanan mereka ke bandar berhampiran, termasuk Kuching secara lebih cekap, menjimatkan kos dan tempoh perjalanan," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, menyifatkan jambatan itu antara projek infrastruktur terbesar dalam Parlimen Batang Sadong, atas inisiatif Najib sendiri yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, berkata berikutan kemudahan itu, lebih banyak agenda pembangunan dapat dibawakan ke kawasan terbabit, termasuk Projek Jalan Pesisir yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri.

"Banyak perubahan dapat disaksikan berlaku pada landskap pembangunan dan ekonomi di kawasan pesisir negeri ini melalui pembukaan jambatan itu," katanya.

Jambatan Batang Sadong adalah sebahagian daripada 11 jambatan baharu di Sarawak, dengan sebahagian besarnya sedang dalam pembinaan membabitkan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Ini termasuk pembinaan Jambatan Batang Lupar di Sri Aman, sepanjang lima kilometer membabitkan kos keseluruhan RM1 bilion, yang dicadangkan Perdana Menteri, sekali gus bakal muncul sebagai 'Jambatan Sungai Terpanjang Di Malaysia' apabila siap sepenuhnya kelak.

Ia antara komponen terpenting bagi melengkapkan Projek Jalan Pesisir atau 'Lebuhraya Pesisir' sepanjang 900 kilometer yang sedang pembinaan ketika ini sebagai laluan alternatif kepada Lebuhraya Pan Borneo.

Projek SICC, TAED dapat suntikan dana Pusat

Hubungan akrab Kerajaan Sabah dan Persekutuan, membolehkan peruntukan besar disalurkan bagi pembinaan dua projek besar berimpak tinggi di negeri ini.

Dua projek berkenaan ialah Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan Tanjung Aru Eco Development (TAED) di bandar raya ini.

Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM250 juta bagi projek SICC yang kini dalam pembinaan, selain RM500 juta melalui dana Pemudahcara projek TAED.

Pembangunan Pakej 2 SICC bermula pada Januari 2015 dan dijangka siap pada Oktober ini yang mendapat sokongan padu kerajaan negeri dan Pusat, dengan pembinaannya membabitkan kawasan seluas kira-kira enam hektar.

Mercu tanda baharu

Pembinaan SICC yang dilaksanakan Kumpulan Yayasan Sabah dengan ditampung menerusi dana yayasan itu mampu menampung antara 15,000 hingga 20,000 orang dalam satu masa.

SICC bukan saja menjadi mercu tanda baharu bandar raya ini, malah berperanan sebagai pusat persidangan antarabangsa, di samping menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata Kerajaan Pusat di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak, memberi begitu banyak peruntukan kepada Sabah.

"Kerajaan negeri merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri kerana memberi geran sejumlah RM250 juta bagi membangunkan SICC dan dana Pemudahcara bagi projek TAED.

"Ini juga hasil hubungan baik antara kerajaan negeri dan Pusat. SICC bakal menjadi mercu tanda baharu di bandar raya ini apabila siap nanti," katanya.

Tingkat industri pelancongan

Sementara itu, projek TAED dilancarkan Perdana Menteri pada 2013 akan memberi nafas baharu kepada Tanjung Aru yang terkenal sebagai lokasi peranginan tepi laut di pinggir bandar raya ini dengan melakukan pembangunan semula membabitkan keluasan 348 hektar yang mengetengahkan ciri-ciri mesra alam.

Difahamkan, Pantai Tanjung Aru dan Taman Prince Philip akan kekal sebagai tempat awam dengan ciri-ciri baharu seperti persiaran, tempat berjalan kaki dan laluan berbasikal.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Edward Yong Oui Fah, berkata projek TAED  bukan saja pembaharuan kepada pantai Tanjung Aru, malah membuktikan keprihatinan kerajaan Pusat untuk menyalurkan dana bagi membantu melaksanakan projek berkenaan.

"Penyaluran dana oleh Kerajaan Pusat ke atas projek TAED adalah hasil hubungan baik kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya sambil memberitahu fasa pertama projek TAED dijangka bermula dalam masa terdekat. - Berita Harian

KONTRAKTOR PAN BORNEO PERLU PIKUL TANGGUNGJAWAB


BINTULU: Kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo, khususnya membabitkan jajaran menghubungkan Selangau dan Bintulu digesa agar membaiki segera kerosakan laluan berkenaan atas faktor keselamatan pengguna lalu lintas di kawasan terbabit.

Tinjauan BH semalam mendapati laluan itu mengalami kerosakan teruk, termasuk berlubang disebabkan pergerakan keluar masuk kenderaan berat di kawasan itu, yang dikhuatiri boleh menyebabkan kemalangan jika tidak dibaiki segera.

Menurut Farisson Fong, 55, beliau cukup resah setiap kali berulang alik antara Bintulu dan Sibu menggunakan laluan berkenaan, terutama ketika melakukan pemanduan pada waktu malam.

"Bila malam, memang sukar melihat lokasi jalan yang berlubang kerana keadaan agak gelap. Ini tentunya mendatangkan bahaya, termasuk risiko tayar pancit atau kenderaan terbabas semata-mata mahu mengelak lubang," katanya.

Malah, pernah tayar kenderaan dipandunya pancit selepas terperosok ke dalam lubang yang agak dalam di laluan berkenaan berhampiran kawasan Sungai Arip.

Bagi penduduk setempat, Rubin Belaja, 50, meminta kontraktor dilantik bagi melaksanakan projek mega itu agar lebih bertanggungjawab, terutama dalam memastikan keselamatan orang ramai yang menggunakan laluan berkenaan.

"Laluan itu satu-satunya jalan penghubung di kawasan ini. Sementara menunggu projek siap, kontraktor perlu memastikan mereka menyelenggara laluan sedia ada dengan baik demi keselamatan dan kemudahan orang ramai.

"Cukup kita bimbang kerana terdapat banyak lubang besar serta jalan pecah yang amat berbahaya, terutama pada waktu malam atau selepas hujan. Bila hujan, susah kita mahu kenal pasti kedudukan lubang itu kerana ditenggelami air," katanya.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan memantau pergerakan jentera berat, termasuk lori pengangkut bahan binaan agar menggunakan laluan berkenaan secara berhemah dan mengikut peraturan lalu lintas bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.

"Selain kawasan berhampiran Jambatan Mukah/Selangau, laluan lain yang mengalami kerosakan teruk ialah berhampiran Jambatan Balingian/Tepus dan Sungai Selabi, Sungai Kemena, Sungai Aping Balingian, Sungai Arip dan Sungai Buluh," katanya. - Berita Harian