KUCHING : Kos besar sememangnya diperlukan untuk pembinaan air pancut berirama, jelas Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip.
“Sangat mengejutkan Yang Berhormat bagi Pending mendakwa projek Musical Fountain Darul Hana ini dapat disiapkan dengan kos hanya RM5 juta jika dilaksanakan secara tender terbuka,” jelasnya dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.
Antara contoh projek air pancut berirama yang mahal adalah Song of the Sea di Pantai Siloso, Sentosa di Si-ngapura (RM91 juta/$30 juta dolar Singapura) dibina pada 2017 dan Dubai Fountain (RM910 juta/AS$218 juta) dibina pada 2009.
“Ini kos pembinaan dan teknologi 10 tahun yang lepas, sekarang sudah tentu kosnya jauh lebih tinggi,” jelas beliau.
Kerajaan Sarawak katanya, bersedia berkongsi reka bentuk dengan pembangkang untuk melaksanakan projek ini dengan kos RM5 juta.
Beliau menambah, projek bernilai RM31 juta itu sangat kompleks dan memerlukan kepakaran khusus kerana beroperasi menggunakan teknologi terkini dengan pontun selebar 100 meter berserta 372 ‘nozzle’ khas dengan keupayaan pancutan air ‘central spray’ setinggi 60 meter dan ‘cascade fountain’ 25 meter.
Ia juga dilengkapi ciri-ciri unik dengan dinding air berketinggian sembilan meter dan 80 meter panjang sebagai latar belakang pancutan air.
Takungan air di bahagian dinding air direka bersama jubin khas, memberi sentuhan semula jadi terhadap projek ini.
“Ia dilengkapi dengan ‘water screen’ untuk tayangan audio visual. Projek ini juga melibatkan pembinaan ‘walkway waterfront’, bilik kawan berkomputer, ‘sub-station’ elektrik, sistem cahaya serta bunyi dan hiasan landskap,” jelasnya.
Projek telah dilaksanakan melalui kaedah reka dan bina dan mematuhi prosedur operasi standard DBKU dan Regulation 221 Part VII Local Authorities Financial Regu-lation 1997.
Di samping itu, kos projek telah dibentang dan melalui ‘Special Cost Committee’ yang dipengerusikan setiausaha kewangan negeri.
Skop kontrak juga meliputi dua tahun kos penyelenggaraan dan lima tahun jaminan rekaan.
Mengenai isu projek solar hibrid, isu sedang ditangani Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di mana beberapa saksi telah dipanggil untuk diambil keterangan.
Projek adalah untuk membekalkan tenaga elektrik kepada luar bandar di Sarawak melibatkan syarikat swasta iaitu Jepak Holdings.
“Dakwaan mengatakan ada usaha untuk menutup kes ini ternyata sekali satu tohmahan berniat jahat untuk mencalar imej baik Kerajaan Sarawak. Inilah kerja mereka yang penuh dengan agenda politik tanpa mengira kesannya kepada rakyat,” tegas beliau.
Menurut Talib, objektif pembangkang adalah untuk menanam di pemikiran rakyat secara konsisten agar rakyat terpengaruh dengan tohmahan mereka tanpa sebarang bukti, tidak kira sama ada cerita tersebut benar atau tidak. - Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment