KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berkata kalangan peserta industri itu menyambut baik usaha kerajaan merangsang sektor hartanah menerusi beberapa cadangan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019, Jumaat lalu.
Presidennya, Datuk Ir Soam Heng Choon berkata ini termasuk cadangan Kempen Pemilikan Rumah Kebangsaan yang merupakan langkah positif bagi menguruskan isu hartanah kediaman yang tidak terjual.
"Ini serta cadangan pengecualian duti setem bagi surat cara pindah milik bagi pembelian rumah pertama berharga antara RM300,001 sehingga RM1 juta, adalah langkah tepat bagi menggalakkan lagi orang ramai memiliki hartanah sendiri. Tindakan ini juga berkesan bagi mewujudkan instrumen pemilikan aset,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas selanjutnya, Heng Choon turut mengalu-alukan cadangan kerajaan mengecualikan duti setem bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 dan dana RM1 bilion untuk membiayai pembelian rumah pertama berpendapatan bulanan tidak lebih RM2,300 (bagi pembelian hartanah berhagra RM150,000 pada kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun) yang disifatkan beliau dapat merangsang pemilikan rumah dalam jangka panjang.
“Selain itu, (cadangan) peruntukan RM25 juta kepada Cagamas Bhd bagi jaminan pajakan untuk pembeli rumah pertama berpendapatan bulanan sehingga RM5,000, akan turut melonjakkan pertumbuhan pasaran hartanah,” katanya.
Heng Choon turut berharap usaha kerajaan melanjutkan tempoh pembiayaan perumahan sektor awam di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam kepada 35 tahun daripada 30 tahun untuk pembiayaan pertama dan kedua kepada 30 tahun berbanding 25 tahun, dapat meringankan beban tekanan kewangan untuk peminjam yang menggalas pembayaran pinjaman bulanan yang tinggi.
Beliau berkata peruntukan hampir RM1.5 bilion untuk perumahan mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat, Perumahan Penjawat Awam Malaysia, PR1MA dan Syarikat Perumahan Nasional Bhd akan memastikan bekalan rumah mencukupi bagi golongan yang layak.
“Kami berharap kerajaan akan terus melaksanakan penyediaan kategori rumah ini," katanya.
Selain itu, beliau bagaimanapun melihat cadangan melaksanakan lima hingga 10 peratus cukai keuntungan harta tanah (CKHT) bagi rumah yang dijual melebihi RM200,000 serta kenaikan duti setem bagi rumah berharga melebihi RM1 juta daripada tiga peratus kepada empat peratus, sebagai kurang sesuai pada masa ini.
"Ini pasti memberi kesan kepada industri, terutama dalam tempoh mencabar ketika ini," katanya.
No comments:
Post a Comment