MAT REDHO JULANG NAMA MALAYSIA


Bekas juara Fear Factor Malaysia, Mohd Redha Rozlan mencipta sensasi di bumi Australia apabila menjuarai saingan Grand Final Liga Cabaran Ninja 2018 (NCL) selepas menewaskan 95 peserta lain, Isnin lepas (5 November 2018).

Dia yang lebih dikenali sebagai Mat Redho diangkat sebagai juara selepas mengungguli pentas akhir dengan melepasi semua halangan dalam tempoh 5 minit 13.09 saat (s).

MOHD Redha Rozlan (tengah) ungguli saingan Grand Final Liga Cabaran Ninja 2018.

Walaupun tidak diletakkan harapan tinggi selepas sekadar menduduki tempat kelapan pada peringkat kedua, pakar teknologi maklumat berusia 30 tahun itu jauh mengatasi pemenang tempat kedua Jake Murray dengan perbezaan masa 10s.

Malah, Mat Redho muncul satu-satunya peserta yang berjaya menghabiskan semua rintangan di pentas akhir sekali gus melayakkan dia memenangi anugerah 'Last Man Standing' ketika Murray gagal menghabiskannya.

"Saya berasa hebat dan terima kasih kepada halangan ini, ia amat menarik dan sudah pasti saya akan kembali ke sini pada tahun depan," kata Mat Redho.

Mat Redho hadir ke sana hanya ditemani isteri dan anaknya yang menjadi sumber kekuatan buatnya untuk mengatasi perasaan gemuruh.

Malah, pengorbanannya itu nyata berbaloi apatah lagi selepas membelanjakan wang sendiri untuk ke kejohanan berkenaan.

NCL menyediakan tiga peringkat yang berbeza dari segi tahap kesukaran, manakala peserta perlu melepasi semua peringkat sebelum layak ke final.

Antara rintangan yang perlu dilalui adalah lompat berhalangan, memanjat tali dan memanjat dinding.

Sumber : Berita Harian