KUCHING: Seorang anggota tentera maut apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya dipercayai terbabas lalu merempuh sebuah bas sekolah di Batu 16 Jalan Puncak Borneo, Padawan dekat sini sekitar jam 6.30 pagi hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Johari Safri berusia 36 tahun dan alamat yang didaftarkan dalam kad pengenalannya ialah Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia, Kementah Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang hadir di lokasi kejadian.
“Bomba bertindak mengalihkan mayat mangsa dan seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.
Hadir sama di lokasi kejadian ialah anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan untuk menjalankan siasatan.
Sumber : Utusan Borneo