BARU BIAN BIDAS PEMIMPIN GPS, 55 TAHUN ABAI SEKOLAH DAIF


KUCHING – Menteri Kerja Raya, Baru Bian hari ini membidas pemimpin keajaan negeri dan wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Amat menyedihkan untuk mengetahui bahawa selepas 55 tahun, pemimpin dalam kerajaan negeri akhirnya sedar dan mengakui situasi sebenar Sarawak dan rakyat Sarawak.

“Masih belum terlambat untuk mengakui yang kita jauh ketinggalan. Namun, ironinya adalah ahli politik GPS dengan mudah terlepas pandang akan hakikat bahawa legasi ini dicipta oleh bekas kawan baik mereka sendiri – Umno/BN, yang GPS menjadi sebahagiannya selama 55 tahun,” katanya semasa membahaskan Belanjawan Sarawak 2019 pada persidangan Dun Sarawak hari ini.

Baru, yang juga Adun Ba’kelalan dan Ahli Parlimen Selangau membawa kepada perhatian Adun bahawa sekolah-sekolah di Sarawak tidak menjadi daif dalam tempoh semalaman, begitu juga jalan raya menghubungkan bandar dengan kampung di luar bandar tiba-tiba menjadi rosak sebaik sahaja PH memenangi pilihan raya umum, tetapi telah diabaikan lebih 55 tahun.

“Sekiranya pemimpin GPS sedar lebih awal dan telah mengambil tindakan bijak dan cukup berani untuk bersuara kepada tuan Umno/BN mereka, Sarawak mungkin tidak berada dalam keadaan teruk begini,” katanya.

Baru mengambil perhatian bahawa dalam ucapan belanjawan ketua menteri dan komen oleh pemimpin GPS selepas Belanjawan 2019 persekutuan dibentangkan, perkara pokok yang diutarakan ialah Sarawak tidak diberi peruntukan yang cukup oleh kerajaan PH.

“Pengulas ini tidak mahu menyatakan bahawa kerajaan baharu hanya berusia enam bulan dan perlu berdepan dengan beban hutang tinggi yang ditinggalkan oleh tokoh yang dilaungkan oleh pemimpin GPS yang sama hanya setahun lepas sebagai perdana menteri “terbaik” bagi Sarawak.

Beliau berkata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam ucapan belanjawannya berkata angka sebenar hutang negara adalah 1.065 trilion, iaitu RM350 bilion lebih banyak daripada yang diakui oleh kerajaan sebelum ini.

Beliau menambah kerajaan juga perlu membayar bayaran balik cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion yang tidak dibayar oleh kerajaan terdahulu.

Berhubung cukai jualan lima peratus bagi semua produk petroleum, Baru berkata beliau menyambut baik perkara itu selagi ia dilakukan dengan cara betul. – Bernama