Sebagai orang Islam, kita sepatutnya bersyukur kerana kita dipandu oleh al-Quran dan sunnah dalam menentukan tingkahlaku kita dalam menjalani kehidupan ini.
Andaikan kita ini pengembara, pastinya kita bersyukur jika sepanjang perjalanan itu kita dibekalkan dengan kompas sebagai penunjuk arah.
Kita sepatutnya lebih bersyukur lagi kerana tidak semua pengembara dibekalkan dengan penunjuk arah ini.
Berbeza dengan masyarakat Islam, masyarakat lain tiada panduan khusus dan jelas tentang bagaimana mereka seharusnya menjalani hidup ini.
Jika ada sekalipun, panduan itu hanyalah untuk aspek hidup yang tertentu dan tidak menyeluruh seperti Islam.
Bagi mereka, segala-galanya boleh dilakukan. Maka, ramai yang berpegang kepada motto jenama Nike, “Just do it”.
Mereka pun buatlah apa sahaja yang terlintas di hati tanpa mengambil kira kesannya pada diri mahupun orang lain.
Orang Islam tidak sepatutnya berpegang pada motto ini. Namun, ramai juga yang dengan bangganya memakai baju-T dengan slogan ini.
Dalam kehidupan seorang Muslim, ada yang boleh dan ada yang tidak boleh dilakukan. Jika sikap dan tingkahlaku umat Islam sama sahaja dengan orang bukan Islam, maka apalagi yang membezakan kita dengan mereka?
Walaupun seorang muslim itu dibatasi oleh perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan, sebenarnya, masih banyak perkara yang dibenarkan dan sedikit sahaja yang dilarang.
Satu daripada perkara yang dilarang itu ialah membuka aib diri dan aib orang lain.
Membuka aib diri itu mungkin tidak begitu menimbulkan masalah kerana orang yang waras biasanya mengunci rapat keaiban dirinya sendiri.
Namun, apa yang sedang membarah dalam masyarakat kita kini ialah sikap yang suka mengaibkan orang lain. Dalam kata-kata lain, suka mendedahkan keburukan orang lain.
Semua orang ada melakukan kesilapan dalam hidup dan lazimnya kita akan merahsiakan kesilapan itu bagi mengelakkan rasa malu jika ia diketahui umum.
Sedangkan seorang kanak-kanak pun tahu malu jika silapnya ditegur di khalayak ramai, inikan pula orang dewasa.
Maka, biasanya kita akan merahsiakan kesilapan itu agar ia tidak mengaibkan diri kita sendiri.
Namun, bila tiba kepada keaiban orang lain, sikap kita begitu berbeza sekali.
Ramai yang suka mendengar atau membaca kisah-kisah keaiban orang, malah, sanggup pula memanjangkan kisah-kisah itu kepada orang lain sedangkan Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud :
“Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah akan menutup keaibannya di akhirat kelak.”
Malangnya, ramai orang Islam yang lebih suka mengingkari perintah hadis ini. Mereka sama ada menjadi orang yang mengaibkan orang lain secara lisan mahupun tulisan; menjadi pendengar atau pembaca atau penonton setia kisah-kisah keaiban itu; mahupun, menjadi penyampai atau pemanjang cerita-cerita aib tersebut.
Malah, ada yang mengaut keuntungan daripada keaiban orang lain. Kononnya, itulah formula untuk melariskan jualan.
Soalnya, formula siapa? Formula Barat atau formula Islam yang kita bangga menjadi umatnya?
Ada juga yang mendakwa bahawa cerita seperti itu yang majoriti pembaca mahukan. Dakwaan ini mungkin benar dan biasanya majoriti akan menang.
Namun, tidak semestinya majoriti itu betul. Maka, jika ternyata majoriti cenderung memilih sesuatu yang dilarang oleh agama, apakah kita patut terus menggalakkan mereka?
Dalam Surah al-Hujurat, ayat 11, Allah SWT dengan jelas melarang umat Islam daripada menyatakan keaiban orang lain.
Dalam ayat yang sama disebut bahawa mereka yang mengingkari larangan ini, ia menjadi fasik, maka hendaklah ia bertaubat.
Larangan ini begitu penting sekali dipatuhi sehingga ia diulangi dalam ayat yang berikutnya,
“…dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang…”.
Tidak cukupkah ayat-ayat ini memandu kita ke jalan yang benar?
Amat malang sekali bila mana umat Islam yang telah dipandu tentang cara bagaimana untuk hidup bermasyarakat, telah tidak mengambil manfaat daripada panduan itu, sebaliknya mengambil sikap yang sama sekali bertentangan dengannya.
Maka, salah siapa kalau masyarakat kita banyak cacat-celanya?
Salah siapa kalau masyarakat kita tidak jauh buruk akhlaknya berbanding masyarakat Barat atau Timur yang tiada “kompas” penunjuk jalannya?
Renung-renungkan dan selamat beramal.