RM112.9 JUTA BAIKI KUARTERS POLIS


KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019 yang memperuntukkan sebanyak RM112.9 juta bagi tujuan pembaikan dan ubahsuai kuarters polis bakal memberi manfaat kepada anggota dan ahli keluarga yang mendiami kuarters di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peruntukan berkenaan akan digunakan untuk membaiki kuarters polis yang memerlukan pembaikan dengan segera, sekali gus memberikan keselesaan kepada anggota polis yang berkhidmat untuk negara.

“Terima kasih kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang memperuntukkan sejumlah RM15.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi tahun 2019 berbanding RM14.2 bilion bagi tahun ini.

“Peningkatan peruntukan ini adalah selaras dengan pertambahan dua agensi di bawah KDN iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1, sebanyak 63,963 (69.6 peratus) unit kuarters disediakan kepada anggota polis dalam usaha mempertingkatkan kebajikan anggotanya.

Daripada jumlah itu, penyediaan kuarters bagi Ibu Pejabat Polis Bukit Aman/Kontinjen adalah sebanyak 46,589, Pasukan Gerakan Am (11,939); Pusat Latihan (2,517); Pasukan Simpanan Persekutuan (1,682); Pengkalan Marin PDRM (1,179) dan Pengkalan Udara PDRM adalah sebanyak 57 kuarters.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), berkata pembentangan belanjawan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) melakar sejarahnya yang tersendiri.

Katanya, menerusi tiga fokus belanjawan iaitu melaksanakan reformasi institusi, memastikan kesejahteraan rakyat dan memupuk budaya keusahawanan, beliau yakin belanjawan terbabit mampu membiayai pengurusan negara, merangsang pertumbuhan ekonomi serta memberi faedah kepada rakyat.

“Keyakinan ini adalah berasaskan beberapa petunjuk ekonomi yang memberangsangkan antaranya prestasi ringgit yang semakin baik, kadar inflasi yang kekal rendah dan pertumbuhan ekonomi yang dijangka lebih positif pada tahun hadapan.

“Dengan langkah-langkah konsolidasi fiskal yang akan diambil oleh kerajaan, defisit juga akan berkurangan sehingga 2.8 peratus pada tahun 2021.

“Tanggungan negara juga akan berkurangan dengan pembatalan beberapa projek mega kerajaan kleptokrat Barisan Nasional yang dilaksanakan berasaskan perjanjian yang berat sebelah dan kos yang tidak munasabah,” katanya.

No comments:

Post a Comment