TUDM TERBANGKAN BAYI DARI SIBU KE HOSPITAL SUBANG


SUBANG: Seorang bayi lelaki berusia 28 hari yang menghidap penyakit gabungan kurang daya ketahanan badan atau ‘Severe Combined Immunodefeciency’ (SCID) diterbangkan dengan pesawat CN 235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Hospital Sibu, Sarawak ke Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Bayi itu, Calvin Shayne Stallone, diterbangkan bagi membolehkannya mendapatkan rawatan pakar di Hospital Serdang.

TUDM dalam kenyataannya hari ini berkata, penerbangan ihsan itu dikendalikan juruterbang TUDM,Kapten Mohd Nurul Azmi Rofdi dan dibantu pembantu juruterbang, Kapten Mohd Azizi Ayob dari No 1 Skuadron.

Katanya, pesawat berkenaan yang turut disertai lima kru berlepas dari jam 9.11 pagi dari lapangan Terbang Sibu dan selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang pada jam 12.30 tengah hari.



“Penerbangan itu turut membawa ibu bayi itu iaitu, Catherine John dan bapanya, Stallone Anthony.

“Selain itu, bayi itu turut diiringi seorang pegawai perubatan, Dr Ha Saw Jing dan seorang jururawat, Staff Nurse Marilyn Austin,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, penerbangan ihsan itu sebahagian daripada tanggungjawab TUDM dalam memenuhi keperluan kebajikan masyarakat.

“Adalah menjadi tanggungjawab TUDM untuk memberikan komitmen serta kesungguhan yang tinggi dalam memenuhi keperluan masyarakat khususnya yang memerlukan bantuan.

“Harapan kami, dengan bantuan itu, pesakit dapat menerima rawatan sewajarnya yang diperlukan dan diberikan kesembuhan,” katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment