CUKAI JUALAN 5 PERATUS PRODUK PETROLIUM DISOKONG


KUCHING: Langkah Kerajaan Sarawak mengenakan cukai jualan 5 peratus ke atas produk petroleum disokong penuh rakyat negeri ini.

Cukai tersebut akan berkuat kuasa 1 Januari 2019 dan akan dibayar semua syarikat minyak dan Petronas.

Sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan Sarawak, sekumpulan anak Sarawak berhimpun di Padang Merdeka di sini semalam.

Perhimpunan singkat tersebut disertai kira-kira 20 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dengan membawa kain rentang bertulis sokong 5 peratus cukai jualan ke atas minyak dan gas.

Antara yang menyertai perhimpunan itu semalam ialah Presiden Parti Reformasi Sarawak (STAR) Lina Soo dan Timbalan Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru Patrick Anek Uren.

Lina yang ditemui pada perhimpunan tersebut berkata ini adalah kali pertama Kerajaan Sarawak memperkenalkan cukai jualan ini ke atas produk-produk petroleum yang dikaut dari negeri ini.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan katanya, Kerajaan Sarawak mempunyai hak untuk mengenakan cukai jualan ini.

Justeru katanya, mulai 1 Januari 2019 akan ada 5 peratus cukai jualan ke atas produk petroleum yang akan dibayar semua syarikat minyak dan Petronas.

“Setiap tahun kita perlu mengemis dana daripada kerajaan persekutuan. Mereka datang mengambil minyak kita dan hanya membayar 5 peratus royalti diberi kepada kita.

“Malah di bawah Belanjawan 2019, daripada keseluruhan RM314 bilion peruntukan, Sarawak hanya dapat RM4.3 bilion,” katanya.

Tambah Lina, kita telah bersikap terlalu baik dengan kerajaan persekutuan selama 44 tahun dan ini adalah masa untuk kita melaksanakan cukai jualan ini.

Sementara itu, Patrick berkata mereka berhimpun di Padang Merdeka semalam untuk menunjukkan sokongan kepada Kerajaan Sarawak.

“Kami berhimpun di sini hari ini (semalam) untuk menyatakan sokongan kami kepada Kerajaan Sarawak mengenakan 5 peratus cukai jualan ke atas produk petroleum.

“Kita telah berada dalam Malaysia selama 56 tahun dan kita masih belum membangun dan kami mahu Kerajaan Sarawak bertegas dalam hal ini,” katanya. - Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment